Rencana

Isu nama Allah – Amir Hamzah

21 Jan – Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, kita semestinya menyamakan para Sultan Melayu sebagai seorang Islam, yang bertutur bahasa Melayu, yang mengikuti adat resam Melayu dan sebagainya. Namun sedarkan kita bahawa orang Melayu asalnya adalah penganut Hindu? Kesannya daripada Paduka Raja Parameswara yang hanya memeluk Islam dan menukar agamanya kepada Raja Iskandar Shah?

Saya merasakan perlu untuk memberikan pendapat berkenaan isu diatas memandangkan ia diberi liputan meluas dan dikaitkan pula oleh media massa termasuk parti munafik UMNO dan juak-juak mereka dalam BN untuk mengoncangkan keyakinan Rakyat terhadap Pakatan Rakyat. Saya berdiri teguh bahawa Pakatan Rakyat harus mengenepikan isu furu’ ini dan bekerjasama atas dasar-dasar yang sama untuk menyelamatkan dan memajukan Malaysia.

Mereka dikira berjaya juga menimbulkan kegelisahan diantara mereka yang kurang ilmu dan paling kurang pun berjaya menyentuh fius seorang pelakon terkenal Patrick Teoh sehingga beliau mengeluarkan kata-kata yang boleh dikatakan sebagai menghina Islam.

Namun isu asasi disini bukanlah penggunaan nama Allah SWT, ia lebih berkisar kepada kejumudan sesetengah orang yang selama ini merasakan bahawa Islam itu asalnya daripada Tanah Melayu dan orang Melayu semestinya Islam.

Pada waktu itu bahasa yang digunakan adalah bahasa Melayu lama, namun yang selebihnya masih sama. Cuma sembahannya yang lain. Adat Melayu lainnya telah tercampur aduk dan akhirnya menjadi caca-merba antara elemen Islam dan elemen adat turun-temurun yang berorientasikan budaya Hindu. Kesannya masih terlihat kini dengan adat bersanding, mempercayai tahyulan dan berbagai lagi amalan yang tidak semestinya secocok dengan Islam.

Perlu diingatkan bahawa sehingga kini tahun 2012 terdapat banyak lagi amalan adat yang sememangnya bertentangan dengan Islam namun diterimapakai dan diuruskan pula oleh satu badan dibawah pihak kesultanan negeri sebagai pejabat Adat dan Agama Islam. Penggunaan ‘Yang Maha Mulia’ merupakan satu contoh pertentangan jelas dan merupakan penghinaan kepada Allah SWT.

Namun kesemua ini tidak dikira penghinaan kepada Islam.

Penyajian minuman keras dalam kapal terbang MAS, kelulusan judi dan penerimaan hasil judi kepada pendapatan negara, disamping kos perkahwinan yang melampau dan diluar kemampuan, badan zakat yang saban tahun melaporkan ‘lebihan zakat’ walhal TV3 konsisten melaporkan kewujudan golongan da’if miskin. Kesemuanya ini menunjukkan beberapa contoh perkara yang sepatutnya diselesaikan dahulu oleh orang Islam sebelum menyerang anutan orang lain yang kebetulan bertutur dalam bahasa Melayu.

Saya ingin menegaskan bahawa sememangnya ada usaha untuk propagasi agama Kristian dan sesungguhnya merasakan bahawa ada tujuan tersembunyi daripada mereka untuk menyebarkan anutan mereka. Namun saya mempersoalkan orang Islam yang fobia terhadap perkara ini. Mereka seolah-olah hilang akal dan berlakon bahawa tindakan ini tidak boleh berlaku kepada orang Melayu.

Islam adalah agama berdasarkan hujah dan keyakinan. Tidak gentar Islam kepada mana-mana suku, kaum mahupun negara. Manusia memerlukan Islam, Islam tidak perlu kepada manusia dari apa jua ceruk sekalipun.

Maka, saya berkeyakinan bahawa masyarakat Muslim perlu memperhebatkan ilmu Islam didada, bukannya dengan cara taqlid buta dan berkeadaan defensif kepada agama lain.

Tidak dinafikan, kita menyayangi Melayu dan menyayangi Islam. Kita mahu orang Melayu kekal Islam, kita mahu Islam sehingga kita mati. Tapi cara kita salah. Kita letakkan banteng rapuh  yang sekiranya dicerobohi walau sekali, akan terlepas dan aqidah kita tergoncang. Maaf saya tidak setuju cara ini. Ia tidak tahan lama dan pegangan Islam sedia ada akan melalui kakisan dengan peredaran masa.

Seantero dunia Kristian kini, jika dilihat sebenar-benarnya mereka enggan dan tidak mahu menggunakan ‘Allah’ dan mahu menggunakan ‘Lord’ atau ‘God’ dan ‘Yahweh’. Paus Katolik juga pernah menafikan penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam usahanya untuk menenangkan para Katolik daripada tuduhan beliau menggunakan perkataan ‘Allah’. Di Malaysia terbalik pula!

Saya beranggapan bahawa masyarakat Muslim di Malaysia sepatutnya menerima ia dengan tidak banyak masalah. Dalam surah Al-Fathihah telah dinyatakan Allah SWT sebagai ‘Tuhan sekalian alam’ dan bukannya ‘Tuhan orang Melayu’, pendapat yang disahkan oleh Yusuf al-Qaradhawi.

Sifat defensif yang ditonjolkan akan mencairkan imej ‘agama toleran’ dan menjadikan Islam sebagai ‘extreme’ akibat daripada tindakan drastik melampau seperti cadangan pembakaran Bible edisi Melayu oleh PERKASA. Dalam keghairahan mempertahankan Islam, kita pula menghina agama lain. Itu bukan diajar oleh Rasulullah SAW.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Ketahuilah! sesiapa yang menzalimi mu’ahid (rakyat bukan Islam) ataupun mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada Hari Kiamat”.

(Riwayat Abu Daud, sahih)

Cara terbaik adalah dengan ilmu. Didiklah anak bangsa dengan ilmu Islam. Dengan penghayatan atau tafaqquh fi ad-diin, maka benteng aqidah kukuh dan dapat memantul segala serangan. Bersihkan negara daripada elemen Islam hanya berdasarkan label, pisahkan pejabat adat dan Islam, perhebatkan majlis ilmu dan promosikan Islam kepada generasi muda. InsyaAllah masalah ini akan selesai, dan mereka boleh cetak dan gunakan nama Allah SWT sebanyak-banyaknya tanpa hal.

Berkenaan Majlis Syura pula, saya merasakan bahawa ayat ‘wa amruhum syuraa bainahum’ memberitahu kita bahawa kita perlu mendapatkan kehadiran wakil Kristian sebelum mengeluarkan keputusan.

Wallahu a’lam.

* Artikal ini telah dimuat di sini.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments