Rencana

Kalimah Allah bukan hak esklusif Melayu Malaysia — Mohamad Radzwill Abdullah

15 JAN — Hanya orang Melayu Malaysia sahaja mengesklusifkan kalimah Allah untuk diri mereka. Orang Islam ataupun orang Melayu Indonesia tidak mengesklusifkan, orang Islam atau orang Arab tidak mengesklusifkan, orang putih Islam tidak mengesklusifkan, orang India Islam tidak mengesklusifkan. Hanya orang Melayu Malaysia sahaja mengesklusifkan kalimah Allah untuk orang Islam Melayu Malaysia.

Benarkah orang Melayu Islam Malaysia mempunyai hak eksklusif penggunaan perkataan Allah?

Islam dikatakan tiba ke Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1303 masehi. Ini dibuktikan dengan penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Catatan Batu Bersurat antara lain menyebut mengenai kaitan antara Islam, Rasullullah dan undang-undang Terengganu.

Batu Bersurat tidak terdapat langsung perkataan Allah.Batu Bersurat tidak terdapat langsung perkataan Allah.Yang menariknya apabila Islam tiba di Semenanjung (melalui catatan batu bersurat itu), ianya tidak membawa Allah bersamanya. Ini kerana di sepanjang tulisan batu bersurat itu walaupun menyebut kalimah Islam dan Rasullullah, tidak terdapat langsung perkataan Allah.

Yang ada hanyalah Dewata Mulia Raya. Antara catatan tersebut antaranya:

1. RasululLah dengan yang arwah santabi mereka

2. Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam

3. Dengan benar bicara derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya

4. Di Benuaku ini penentu agama RasululLah sallallahi wassalama raja.

5. Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam

6. Bumi penentu itu fardhu pada sekalian Raja Manda.

7. Lika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar.

8. Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka.

9. Tuhan menduduki Tamra ini di Benua Terengganu adi pertama ada.

10. Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan disasanakala.

11. Baginda RasululLah telah lalu tujuh ratus tua.

Bukti tersebut menunjukkan apabila Islam tiba di Semenanjung Tanah Melayu, mereka sendiri memilih untuk mengekalkan perkataan Dewata Mulia Raya bagi Tuhan. Dewata Mulia Raya adalah satu kuasa ghaib Yang Maha Agung, Yang Tiada Awalan dan Tiada Akhiran, Yang Mencipta segala isi langit dan bumi. 

Maka orang Islam dahulu sendiri memilih tidak mahu menggunakan perkataan Allah kerana pada mereka, Allah merupakan perkataan Arab yang membawa maksud ketuhanan yang sama seperti Dewata Mulia Raya. 

Adakah ini menunjukkan orang Melayu zaman dahulu lagi menolak ketuhanan Allah atau sebenarnya lebih bijak pemahaman dan pengasimilasian budaya dan bahasanya?

Orang Melayu zaman dahulu tidak begitu gopoh mengambil pakai istilah-istilah Arab kerana padanya terdapat istilah-istilah Melayu yang cukup untuk menggambarkan ke’syumul’an Islam itu sendiri.

Maka kita dapat lihat perkataan Jannah, Jahannam, solah, musolla tidak diambil kerana pada mereka sudah ada perkataan syurga, neraka, sembahyang dan surau yang membawa maksud yang serupa.

Kesimpulannya, jika ingin menggunapakai konsep Islam Melayu adalah berbeza dengan Islam Arab dan Islam Indonesia dan Islam di luar Malaysia maka kita tidak seharusnya menggunakan istilah Allah kerana kita sepatutnya menggunakan istilah Dewata Mulia Raya.

Jika kita mahu menghalang kaum lain atau agama lain menggunakan kalimah Allah, maka mereka juga boleh menghalang orang Melayu Islam Malaysia menggunakan kalimah Allah kerana, Islam datang ke tanah Melayu menggunakan kalimah Dewata Mulia Raya. Sementara perkataan Allah telah lama wujud sebelum kedatangan Islam dan kewujudan al-Quran dan Bible (orang Kristian Arab menyebutnya sebagai Injil) telah menggunakan kalimah Allah dalam kitab Bible Arabnya sebelum al-Quran memakainya.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments