Rencana

Kemandulan wahana ilmu di Sabah — Sharifah Nursyahidah Syed Annuar

February 12, 2013

12 FEB — Setelah semalaman berfikir, sebetulnya setahun, akhirnya saya akur kepada sesuatu yang sudah lama menjadi permasalahan di Sabah. Ketika menjalankan profesi sebagai penganggur usai pengajian ijazah sarjana muda di UiTM Kota Kinabalu, saya menemukan banyak ide untuk membangun diri sendiri dan berkongsi ilmu dengan masyarakat di sini. Saya sememangnya terdorong untuk melakukan sesuatu yang saya boleh dan saya suka. 

Salah satunya adalah dengan mengadakan acara Buku Jalanan Kota Kinabalu yang diilhamkan terus dari Buku Jalanan Shah Alam. Ia adalah satu ruang untuk memasyarakatkan budaya membaca serta mencetuskan aktiviti seni dan sastera. Dari pembaca untuk pembaca. Percuma. 

Saya dan seorang rakan penggerak, Anwaruddin Tajuddin, memilih Pantai Tanjung Aru sebagai lokasi kami setiap dua minggu sekali. Baru-baru ini juga, sebagai tindak balas terhadap isu membakar Bible, ada rakan-rakan pencinta buku di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang menganjurkan Pesta Membaca Bukan Membakar dan kami turut bersolidariti. Lalu, lokasi Taman Chong Thien Vun dipilih. 

Genap setahun

29 April nanti, genap setahun Buku Jalanan Kota Kinabalu diadakan. Jujur saya katakan bahawa dalam tempoh ini, kami ada berusaha untuk menarik minat orang ramai. Pelbagai aktiviti dilangsungkan — dari acara puisi, busking sehinggalah kami bekerjasama menyertai #kktweetupbazaar. Namun begitu, setiap kali acara tersebut diadakan, sambutannya agak hambar.

Saya bandingkan pula senario ini dengan Buku Jalanan Shah Alam yang pernah saya hadiri beberapa kali dan ternyata situasi di situ memang mengagumkan. Baiklah, kita lupakan Buku Jalanan. Barangkali kami gagal menyusun strategi. Pada 1-9 September 2012, julung-julung kalinya diadakan Pesta Buku Kota Kinabalu. Saya berada di sana untuk membantu seorang rakan penerbit buku alternatif urban dari Kuala Lumpur yang turut serta membuka booth di pesta itu. Ini adalah satu perkembangan yang positif dalam industri perbukuan kerana Sabah memang jarang mendapat tempat di hati para penganjur sebarang pesta buku dan saya pasti mereka ada sebab yang konkrit.

Ini kerana di Semenanjung Malaysia dengan mudahnya ada Big Bad Wolf, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Pesta Buku Read Malaysia, Ekspo Buku Islam dan yang terkini Pesta Buku 1 Malaysia. Tetapi tidak begitu di Sabah. Sepanjang keberadaan saya di Pesta Buku Kota Kinabalu tersebut, saya ada perhatikan trend pengunjung yang datang. Usia, jantina, bilangan serta bahan bacaan apa yang dibeli oleh mereka. Hanya senyuman pahit yang mampu diberikan.

Umum mengetahui bahawa di bandar Kota Kinabalu, untuk mendapatkan buku-buku yang bagus adalah payah sekali. Ini kerana kedai-kedai buku yang ada memang terhad dan tidak banyak pilihannya. Yang menjadi tumpuan cumalah Eaton’s, Popular, Harris dan Times. Kunjungan ke mana-mana perpustakaan awam di sini juga selalunya akan berakhir dengan kehampaan. Selain bahan bacaan yang terbatas, rata-rata yang datang hanya ada dua tujuan iaitu dating dan revision. Yang betul-betul ingin membaca, semuanya boleh dibilang dengan jari. Lalu, peranan utama perpustakaan untuk membina budaya membaca kiranya sudah tidak berjaya. Mungkin agaknya para pembaca sudah menjadi elit dan eksklusif, cuma mahu membeli buku dan membacanya di rumah sahaja tanpa meraikan perkongsian ilmu. Selain itu juga, jarang ada penganjuran forum ataupun diskusi intelektual di sini oleh pihak luar selain institusi pengajian. Ada beberapa faktor yang boleh jadi menyebabkan hal ini iaitu faktor geografi, penerimaan mahupun kekurangan tenaga dan pakar. 

Melihat kepada situasi-situasi seperti ini, saya jadi tertekan. Mungkin hanya saya yang agak ambil serius akan hal-hal sebegini. Tetapi, ada kenyataan yang menjentik benak pemikiran saya. Cara hidup orang Sabah yang “laidback” telah menyebabkan mereka menjadi terlalu naif sehinggakan mereka tidak ambil pusing akan keadaan yang berlaku di sekitar mereka. Natijahnya, mereka ini senang ditipu dan mudah pula untuk ditindas. Sikap yang begitu akomodasi, toleransi dan kompromi akhirnya memakan diri apabila mereka hanya tahu duduk sahaja serta membiarkan diri menjadi apati dan ignorance kendatipun mereka sebenarnya sedang dianiaya. 

Candu 

Bukan itu sahaja, antara konsert hiburan dan majlis ilmu, pasti ramai yang akan memilih konsert. Jangan salah sangka, saya tidak menentang kalau mereka mahu berhibur. Manusia perlu berlibur. Namun begitu, kalau hiburan dan bahan yang disogokkan ataupun dipilih terus menerus picisan, saya tertanya-tanya, bila agaknya pemikiran mereka boleh kedepan? Bukankah dengan membaca sesuatu yang analitikal ia boleh merangsang minda kita supaya jadi makin kritis? Ini yang menjadi kerisauan terhadap tatanan masyarakat sebegini apabila hedonisme televisyen serta hiburan tidak dapat dipisahkan dari mereka dan ia mengakibatkan percakapan akademis tidak mampu untuk dibudayakan. Lebih-lebih lagi apabila apresiasi terhadap soal-soal pemikiran turut menjadi mangsa. 

Boleh jadi kelompok manusia ini telah banyak dicandukan dengan pelbagai jenis khayalan dan ilusi sehinggakan mereka lupa apa yang benar-benar telah terjadi kepada mereka. Inilah yang dinamakan sebagai manufacturing consent. Mengolah pandangan masyarakat agar menerima sebarang bentuk pembonsaian. Kesudahannya, mereka malas untuk berfikir sesuatu yang berat dan kalaupun mereka ada membicarakan sesuatu isu, tidak ada satu pemahaman dan kaji selidik yang kukuh dilakukan. Rentetan itu, robot-robot yang suka berhibur sahaja lebih ramai dilahirkan berbanding manusia yang menggunakan daya fikrah mereka sebaik-baiknya.

Dalam kalimah Lailahaillallah yang kita tuturkan, saya yakin ia bukan sekadar untuk kita mengiyakan bahawa Tuhan itu Esa. Sebaliknya ia menuntut agar kita menolak sesuatu dahulu sebelum menerimanya dengan bulat-bulat. Penafian itu pula harus disertai dengan membuat kajian agar kita betul-betul faham akan hal yang sebenarnya. Kalau bukan untuk kita mencari pencerahan dan kebenaran, masakan ada perkataan “tidak ada” di dalam kalimah tersebut. Kenapa tidak sahaja disebut terus “Tuhan yang disembah hanya Allah”? Justeru, apa sahaja yang kita lakukan di muka bumi ini harus diikuti dengan ilmu. Maka kerana itulah kalimah al-Quran yang pertama awal-awal lagi sudah menekankan tuntutan untuk membaca — “bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan”.

Punca dan kesan

Apabila satu-satu masyarakat tidak mengambil perhatian mahupun minat terhadap bahan yang bermutu, pemikiran turut akan menjadi sama. Mereka akhirnya nanti akan gagal memahami keadaan semasa yang berlaku kerana kurang membaca tulisan yang lebih berakal dan kelesuan dalam sifat ingin tahu. Kesannya, mereka akan cenderung menjadi jumud dan tidak ada tindakan yang signifikan dilakukan. Mungkin ini jawapan bagi persoalan tentang kesedaran politik di negeri ini yang masih dibelakang kalau dibanding dengan rakan-rakan di Semenanjung Malaysia. 

Sebagai contoh, kenapa rakyat Sabah masih kekal dan setia dengan sebuah parti politik sahaja untuk sekian lama walaupun ia telah menjadi negeri yang miskin dibawah pemerintahan parti tersebut. Barangkali itu juga sebab bagaimana isu Projek IC yang memang sudah lama diketahui namun mereka hanya berdiam diri dan langsung tidak memperlakukan apa-apa protes meskipun hak dan kedaulatan mereka sudah dicabuli. Ini membayangkan bahawa rendahnya kebiasaan kita dalam membaca sesuatu yang berkualiti boleh menjadi satu situasi yang menjejaskan. Menurut Francis Bacon, membaca menjadikan seseorang itu lengkap dengan ilmu, dan ia adalah seutuh-utuh kuasa yang boleh memerdekakan minda manusia. Dan perkara seperti inilah yang harus dititikberatkan oleh semua.

Jujurnya, saya tidak tahu kalau kita ada harapan untuk mengubah keadaan ini. Yang pasti, kita masih punya suara dan suara itu tidak patut dibiarkan diam. Bahkan, kalau boleh, kita harus berteriak untuk menuntut apa yang sepatutnya serta menyedarkan yang lain tentang hakikat yang sebenar. Semua jenis perdayaan ini mesti dihentikan dan anak-anak Sabah perlu mula bertindak dengan membaca. Sesudah mempersiapkan diri dengan ilmu, barulah kita berupaya untuk bangkit melawan. Kita wajib bangun dari tidur dan dari mimpi-mimpi kita yang kosong. Kalau kita tidak beranjak sekarang, kita dan negeri ini pasti tidak akan ke mana-mana. Malahan, boleh jadi hancur. 

Penghargaan 

Menyentuh hal lain tapi tidak kurangnya masih berkaitan, kita harus sedar bahawa sebenarnya ramai rakyat Sabah yang berkebolehan terutamanya dalam bidang seni dan sastera. Dua perkara ini langsung tidak pernah lenyap di negeri ini namun ia sedang menempuh masa-masa yang tenat kerana kurang dihargai oleh masyarakat sekarang. Bahkan, kewujudan Laman Seni yang dibina di perkarangan bangunan Lembaga Kebudayaan Sabah pun tidak ramai yang tahu dan jadi sepi tanpa pengunjung. Ada beberapa nama yang baru saya ketahui bahawa mereka ini sangat bagus, dan rupa-rupanya orang Sabah. Mereka ini telah berpindah ke Semenanjung Malaysia kerana mungkin di situ, peluang berkarya serta berekspresi lebih luas dan diterima baik oleh orang ramai. Saya yakin mereka semua ini pernah berbuat sesuatu di negeri sendiri namun usaha mereka tidak dihargai dan tidak ada sambutannya. Lalu mereka terpaksa berhijrah ke tempat lain. Kalau tidak, mereka boleh “mati” di sini. Dan akhirnya, kehilangan orang-orang sebegini juga akan membuatkan kita “pupus”.

* Penulis ialah calon sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang sains politik.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi