Rencana

Kerajaan gelap? — Ismail Hashim Yahaya

5 MEI — Pada pilihan raya ini kesedaran orang awam sekarang diganggui oleh dua kejadian yang memprihatinkan. Pertama, provokasi parti-parti politik yang boleh mencetuskan pergaduhan dan persengketaan terbuka dan kedua ialah dakwaan kehadiran dan kebanjiran “pengundi hantu” di tempat mengundi yang heboh diperkatakan di Internet. 

Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak muncul untuk menafikan penglibatan Barisan Nasional (BN) dan komited untuk pilihan raya yang adil.

“Pertuduhan mengatakan parti mesra BN membawa pekerja asing untuk mengundi adalah tidak benar. Kami komited untuk pilihan raya adil,” tulis beliau dalam akaun Twitternya @najibrazak BN komited untuk pilihan raya adil.

Tidaklah dipasti sejauh manakah kebenarannya tetapi jika ia benar-benar berlaku ini bermakna wujudnya kekuatan politik tidak kelihatan dalam negara yang beroperasi secara rahsia dan tidak tersentuh oleh kekuatan negara.

Sementara hiruk-pikuk kempen pilihan raya perkara-perkara tersebut sedang berlaku di belakang tabir.

Dua peristiwa dan kekuatan tidak kelihatan itu menunjukkan negara ini tengah mengalami degradasi sifat-sifat  ketidakberdayaan rakyat dan instiutisi politik dan siasah negara.

Pelbagai peristiwa kekerasan, kegiatan samseng, penyerangan dan manipulasi dan kehadiran pengundi hantu (jika benar) yang menggugat ruang awam akhir-akhir ini menimbulkan pelbagai ketakutan, kebimbangan, kegusaran, dan keprihatinan dalam kalangan orang awam. 

Merebaknya kegiatan serta ancaman kekerasan dan ketakutan akan kehilangan kuasa, projek, kekayaan dan gaya hidup di negara ini membawa kepada pertanyaan asas tentang esensi kerajaan itu sendiri. 

Apakah wujud sebuah kerajaan gelap di sebalik kerajaan yang dipilih rakyat melalui suara demokrasi?

Sehubungan itu diutarakan sebuah konsep negara terbuka yang mengisyaratkan situasi dan segala urusan negara-bangsa harus telus di mata awam iaitu segala gerak-geri elemen-elemen pemilik kekuasaan yang perlu mempunyai ketelusan di ruang awam.

Negara terbuka adalah lakaran politik, kebebasan dan pengakuan individu melalui penglibatan terbuka di ruang awam. Walaupun terdapatnya perbezaan antara individu-individu dan masyarakat mahupun rakyat tetapi mereka hidup dalam dunia bersama untuk menjalin kebaikan bersama dan keutamaan awam. 

Dalam perbezaan ini mereka ingin mencapai matlamat bersama dengan mencari sintesis atas kepelbagaian melalui dialog atau pertarungan gagasan di ruang awam.

Meskipun kebebasan, kegiatan bebas, persaingan, perbezaan pendapat serta perbezaan keyakinan dan ideologi diberi tempat di dalamnya, konsep negara terbuka mensyaratkan semua diperlakukan melalui cara aman seperti dialog, komunikasi terbuka, pertarungan gagasan, persaingan hegemoni, pertandingan, pemujukan, debat yang dilandasi saling memahami dan toleransi serta tanggung jawab. 

Kepentingan setiap warga akan dijamin, dan konflik kepentingan diselesaikan melalui mekanisme undang-undang awam.

Pelbagai ancaman kekerasan mahupun dakwaan kehadiran pengundi hantu yang semakin meningkat kejadiannya di negara ini sekarang menunjukkan di satu pihak, tidak bergeraknya prinsip dialog, komunikasi terbuka, keutamaan, kebaikan bersama dan toleransi; manakala di pihak lain, tidak berkuatkuasa atau diamalkan undang-undang awam secara saksama. 

Tidak sahaja undang-undang awam, kita bimbang juga sekiranya instituisi pemerintah juga tidak lagi dihormati malah diinjak-injak oleh pelbagai kekerasan itu seolah-olah keseluruhan tonggak kerangka negara itu sendiri digerakkan oleh operasi belakang tabir.  

Ketidakberdayaan negara dan tidak berkuatkuasanya undang-undang awam sama ertinya dengan tidak berfungsi sebuah negara terbuka. Agak sedih apabila tonggak kerangka  negara ini (di saat pilihan raya ini) tidak lagi berfungsi ketika ia dikuasai pelbagai kekuasaan tidak kelihatan atau bergerak secara gelap iaitu kekuasaan-kekuasaan rahsia yang menguasai berbagai aspek kehidupan bernegara, secara politik, ekonomi, bahkan budaya: mafia, kartel, konspirasi, komplot, persekongkolan yang semuanya anti-negara. 

Ini membawa pengertian bahawa segala urusan awam sudah tidak lagi berlaku secara terang-benderang di mata awam (pemberian tender), di mana kerajaan sudah dikuasai oleh kekuatan-kekuatan belakang tabir dalam sebuah kerajaan gelap .

Kita bimbang jika wujudnya sebuah kerajaan gelap ini segala kekuatan gelap politik yang anti-demokrasi seperti komplot, gengters, perisikan, polis rahsia, kumpulan bawah tanah akan menebar rangkaian keganasan, kekerasan, dan penghancuran yang berlaku di mana-mana tanpa dapat dikendalikan negara; 

Maka akan muncullah nanti kekuatan gelap ekonomi seperti kartel, mafia, spekulasi dan pasar gelap yang akan  menebarkan pula keganasan sosial  menakutkan di bursa-bursa gelap ekonomi yang berupa lonjakan harga barangan yang melangit dan kelangkaan tanpa dapat diatasi negara.

Maka yang muncul ialah sebuah negara kuat (strong state) menjadikan rakyat lemah. Sebaliknya jika rakyat kuat menjadikan negara lemah (weak state). 

Namun, jika kekuatan gelap (politik dan ekonomi khususnya) yang kuat berleluasa ia akan menjadikan negara dan rakyat kedua-duanya lemah. 

Ketika rakyat dan negara lemah, tidak akan ada lagi negara terbuka. Ini kerana ia mensyaratkan rakyat kuat lagi berdaulat yang kekuasaannya diperwakilkan kepada negara yang kuat. 

Kerajaan gelap kini dikendalikan dengan potensi halimunan iaitu pelbagai kekuatan politik, ekonomi, dan budaya yang tidak keihatan dan tidak tersentuh oleh negara.

Mungkin juga segala ancaman dan kegiatan kecil-kecilan kekerasan yang berlaku dilandasi oleh motif pelepasan kebimbangan dan ketakutan yang bersandarkan tiga elemen iaitu kekerasan memperlihatkan ancaman ketidakstabilan jika rakyat membuat undian yang salah; ganguan mental bagi menghilangkan luka (kemarahan dan takut kehilangan kuasa); ia mencari “tertuduh” yang dianggap bertanggung jawab terhadap luka itu; dan ia perlu ruang untuk balas dendam sebagai cara menebus luka. Di sini, jika tidak keterlaluan dikatakan bahawa kekerasan aau manipulasi dilihat sebagai jalan mendapatkan “keadilan”.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

Comments