Rencana

Kerajaan Umno-BN punca polemik isu kalimah Allah dan Amanat Haji Hadi — Muhammad Ismi Mat Taib

10 JAN — Kekeliruan yang timbul di kalangan rakyat terhadap isu penggunaan kalimah Allah di dalam kitab Bible dan juga kekeliruan ahli-ahli Umno terhadap “Amanat Haji Hadi” sebenarnya berpunca daripada amalan pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional yang korup dan tidak demokratik. 

Isu ini tidak seharusnya diperpanjangkan jika rakyat dan semua pihak yang terlibat menerima penjelasan dan penerangan daripada pihak yang terlibat secara telus dan secara langsung. Malangnya, pihak yang tidak sealiran dengan kerajaan akan dipinggirkan malah menjadi mangsa keadaan disebabkan oleh tindakan bias dan tidak demokratik yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional. 

Sebagai negara yang mengamalkan prinsip demokrasi, sewajarnya isu ini boleh diperjelaskan secara terbuka, dengan mengemukakan penjelasan daripada pihak-pihak yang terlibat. Supaya, rakyat boleh membuat pertimbangan yang wajar. Demokrasi bererti setiap rakyat mempunyai hak untuk bersuara dan menyatakan pendirian masing-masing. Maka, hak ini dikawal oleh perlembagaan dan undang-undang yang berteraskan nilai dan keadilan. 

Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang seharusnya diberikan ruang untuk memberikan penjelasan kerana kekeliruan ini bermula daripada amanat yang beliau keluarkan pada tahun 1991. Maka, beliaulah selayaknya memberikan penjelasan. Apabila saban hari dan waktu, media memainkan isu “amanat haji hadi”, dan menuduh amanat tersebut “mengkafirkan” orang Umno, Tuan Guru berhak diberikan peluang untuk memberikan penjelasan. 

Atas prinsip demokrasi dan keadilan, seseorang itu tidak boleh terus dihukum tanpa terlebih dahulu dibuktikan bersalah. Tindakan dolak-dalik Menteri Penerangan dan JAKIM adalah sangat tidak demokratik dan zalim terhadap presiden parti politik yang berdaftar secara sah mengikut undang-undang tubuh persatuan dan pertubuhan di Malaysia. 

Begitu juga isu penggunaan kalimah Allah di dalam kitab Bible. Penjelasan oleh pihak yang berkepentingan terhadap isu ini perlu diadakan secara terbuka. Hanya dengan cara inilah penilaian yang telus dan tepat dapat dibuat oleh rakyat. Malangnya, sekali lagi Umno menggunakan isu ini untuk menaikkan emosi umat Islam, secara korup dan tidak demokratik membangkitkan kemarahan dan mengganggu pemikiran rakyat. Rakyat yang masih keliru tidak diberikan penjelasan, sebaliknya mereka yang bertindak secara emosi diberikan liputan yang meluas dalam media arus perdana. 

Keadaan ini akan bertambah keruh, sekiranya Umno-Barisan Nasional tidak mahu bertindak secara matang, dan mengembalikan prinsip demokrasi ke dalam kaedah dan amalan pentadbiran negara. 

* Muhammad Ismi Mat Taib adalah Penolong Setiausaha Dewan Ulama’ PAS Malaysia.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

Comments