Rencana

Keresahan ahli dipandang mudah — Yulpisman Asli

November 19, 2012

19 NOV — Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa, Kota Baru, melabuhkan tirai.

Selepas “berkampung” selama tiga hari di pusat berkenaan, seramai 1,116 perwakilan PAS akan pulang ke kawasan masing-masing dengan memikul tugas berat untuk meyakinkan ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi supaya tetap setia bersama parti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Ini berikutan keputusan PAS untuk menjalin pakatan politik atau tahaluf siyasi dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), semata-mata untuk mencapai kemenangan dalam PRU-13.

Rentetan daripada pakatan itu, ahli-ahli PAS diarah supaya mengundi calon-calon bukan Islam daripada DAP dan PKR sekutu PAS dalam pakatan pembangkang.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula mengambil sikap berlembut dalam soal meminta sekutunya DAP dan PKR mengeluarkan arahan sama kepada ahli-ahli mereka supaya mengundi calon-calon PAS.

“Tak berbangkit meminta, itu hak parti lain, kita tak boleh, itu menunjukkan keanjalan kita dalam pakatan rakyat dan boleh memahami hasrat antara satu sama lain,” kata Abdul Hadi dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dasarnya pada muktamar tersebut.

Sepanjang muktamar, ternyata banyak isu dibangkitkan perwakilan terutama mengenai masa depan PAS yang ketika ini dilihat banyak pihak sebagai parti “tempelan” dalam pakatan sehingga mengundang rasa gelisah ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi.

Sebagai wakil ahli di peringkat akar umbi, perwakilan yang hadir tampil menyampaikan luahan dan isi hati rakan-rakan mereka dengan menggesa parti itu yang mendakwa memperjuangkan Islam, mendominasi pakatan tersebut.

Perwakilan Pemuda PAS Negri Sembilan, Mohd Zulkarnain Md Zaki dalam Muktamar Pemuda PAS Pusat misalnya, menegur kepemimpinan parti itu yang seolah-olah tidak konsisten dalam melaksanakan tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR.

Tegas Mohd Zulkarnain, PAS sepatutnya mendominasi pakatan itu terutama dalam memimpin kepada pembangunan Islam, bukannya dipimpin.

Kenyataan beliau “disambut” oleh wakil PAS Perak, Razman Zakaria apabila meminta pimpinan tertinggi PAS memperlihatkan kepada masyarakat bahawa mereka adalah pemimpin pakatan pembangkang dan bukannya menjadi parti tempelan.

“Dalam konsep perkongsian kuasa, PAS sebagai parti lama yang mempunyai jentera yang tersusun wajib memperlihatkan kepada masyarakat bahawa kita memimpin dan bukannya parti tempelan,” katanya menyuarakan kebimbangan.

Selain mahu PAS tidak ibarat “melukut ditepi gantang”, perwakilan turut mahukan Presiden mereka, Abdul Hadi yang diangkat sebagai Perdana Menteri jika pakatan menang PRU-13, di mana jawatan itu selama ini dikhabarkan akan diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim — pemimpin yang dilaporkan berdepan dengan pelbagai skandal salah laku.

Malah, wakil Dewan Ulama PAS Pusat, Hairun Nizam dengan lantang menegaskan, ahli-ahli PAS tidak sepatutnya berkempen agar orang lain menjadi pemimpin.

“Kita meletakkan satu keyakinan Tuan Guru Presiden (Abdul Hadi) seorang yang begitu berkaliber untuk memimpin sebuah negara lantas mengundang apa yang disebut sebuah negara yang baik, dasar kerahmatan dan pengampunan daripada Allah SWT,” katanya sambil disambut dengan laungan takbir oleh perwakilan.

Ternyata Hairun tidak bersendirian apabila beberapa perwakilan lain turut melaungkan sokongan supaya Abdul Hadi yang menerajui pentadbiran kerajaan jika pakatan menang. Antaranya, wakil Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Atirah Al-Jundi dan Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz yang mahu PAS menjadi tulang belakang atau peneraju kepada pakatan pembangkang kerana parti itu paling senior jika dibandingkan dengan DAP dan PKR.

“Adalah selayaknya parti kita menjadi tonggak, adalah selayaknya Presiden kita menjadi Perdana Menteri, tidak ada berbelah bagi untuk itu,” kata Aiman Atirah.

Mahfodz pula meminta supaya ahli PAS tidak mempromosikan individu lain sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih Putrajaya.

Namun, hasrat dan kemahuan perwakilan itu seolah-olah diambil tidak serius oleh Abdul Hadi apabila menyatakan, individu yang layak menjadi Perdana Menteri adalah mereka yang diterima serta dapat menyatukan rakyat dengan menegakkan keadilan.

“Saya sanggup jadi nelayan, sebolehnya saya mahu menjadi khadam untuk negara dan rakyat, siapa yang layak dan tiba masanya siapa yang layak akan menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Kenyataan beliau itu tentunya mematahkan semangat perwakilan dan ahli-ahli PAS yang selama ini mengimpikan pemimpin mereka menjadi peneraju dan parti mereka pula tidak hanya dijadikan “kuda tunggangan” oleh pihak lain bagi mencapai agenda politik mereka.

Perwakilan muktamar kali ini turut membangkitkan kedudukan hukum hudud yang merupakan agenda teras perjuangan PAS selama ini, namun mendapat tentangan daripada pemimpin DAP seperti Pengerusinya, Karpal Singh. Pelaksanaan hukum hudud tersebut telah dibangkitkan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib sebelum itu yang menyatakan pakatan pembangkang secara umumnya bersetuju syariat Islam itu dilaksanakan dengan PAS mendapat majoriti di Parlimen.

Bagaimanapun, ketegasan kepemimpinan PAS dalam soal itu terus menjadi tanda tanya apabila Abdul Hadi dalam ucapan dasar dan penangguhannya langsung tidak menyentuh soal tersebut.

Beliau sebaliknya, mengambil masa agak panjang memperjelaskan kepada perwakilan mengenai pendekatan tahaluf siyasi parti itu dengan DAP dan PKR. Mungkin Abdul Hadi sedar masih ramai dalam ahli PAS keliru dan kemungkinan juga menolak persepakatan politik itu kerana dilihat hanya menguntungkan parti sekutu, bukannya PAS sendiri.

Kebimbangan itu dibangkitkan oleh Hairun yang mengingatkan agar persepakatan politik atau tahaluf siyasi yang diadakan dengan DAP dan PKR, tidak menyebabkan PAS tersasar daripada perjuangan parti itu.

“Dalam masa sama, kita perlu meletakkan kemenangan ini adalah apabila ia diperkenankan oleh Allah, menjadi satu kegusaran apabila sudah ada bibit-bibit untuk kita mula meletakkan Islam ini perlu disorokkan sementara dalam mendapatkan kemenangan,” kata Hairun.

Abdul Hadi mahupun saf kepimpinan PAS yang lain juga tidak menyentuh soal pembentukan negara Islam, kepimpinan ulama dan pelaksanaan hukum hudud dalam ucapan mereka. Walhal, antara gesaan perwakilan ialah supaya PAS mempertahankan kepimpinan ulama dan memastikan kedudukan mereka tidak tergugat kerana beranggapan hanya golongan itu yang dapat memberi panduan betul dalam perjuangan PAS menuju ke Putrajaya.

Presiden PAS itu juga mengambil sikap mempertahankan lidah rasmi parti itu, Harakah yang dikritik hebat oleh perwakilan yang didakwa memberi peluang kepada pihak tertentu menyebabkan banyak pandangan daripada golongan bawahan tidak disiarkan. 

Apa yang pasti, setiap keresahan ahli PAS bawahan yang disuarakan perwakilan seolah-olah dianggap “isu kecil” oleh saf kepimpinan PAS pada muktamar ini, mungkin bagi menjaga hati rakan mereka dalam pakatan. Malah, Majlis Syura Ulama PAS terpaksa tampil membuat penegasan bahawa parti itu tidak pernah lari daripada perjuangan asal, sedangkan cakap-cakap yang berlegar dalam khalayak ialah tahaluf siyasi hanya menguntungkan DAP dan PKR, bukannya PAS.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis atau penerbitan. The Malaysian Insider tidak semestinya bersetuju dengan pandangan ini melainkan dinyatakan secara spesifik.

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi