Rencana

Kisah aku dan Abe Mad Nelang – Haji Osama

Aku mendapat panggilan daripada Abe Mad Nelang kira-kira pukul 4 petang kelmarin. Aku rasa semua ini berkaitan dengan pemecatan jawatan Em Binya.

Stail nelang Abe Mad, kalau dia panggil maknanya ada kerja untuk diselesaikan. Kata orang Kelantan, rebah menerap juga kena pastikan kerja itu selesai.

Apa yang Abe Mat tahu, segalanya selesai. Kalau tidak selesai, maknanya makan penampar kapit Abang Mad Nelang.

Jangan main-main dengan penampar kapit Abe Mad Nelang. Kalau tidak mati, nescaya kedua-dua telinga anda menjadi tuli.

Sebelum aku pergi lebih jauh, mari aku ceritakan tentang tapak tangan Abe Mad Nelang.

Pernah sekali Abe Mad Nelang pergi ke Amerika Syarikat hanya untuk mengukur tapak tangannya dengan Mike Tyson.

Bagi Abe Mad, Mike Tyson adalah hero ikutannya.

Aku tahu, Abe Mad selalu membuat latihan membesarkan tapak tangannya. Dia sanggup membayar jurulatih yang melatih Mike Tyson.

Semua itu tidak disedari oleh semua orang, termasuk anak Rajak.

Abe Mad seorang pesilat ulung. Dia merupakan satu-satunya murid kepada guru Hang Tuah, selain Hang Tuah.

Dikatakan juga, keris Taming Sari yang di war-warkan berbisa itu ada dengan Abe Mad. Aku pernah melihatnya sekali.

Sebagai orang politik, biasanya mereka memiliki pistol. Tapi tidak bagi Abe Mad, dia hanya membawa keris Taming Sari di pinggangnya.

Cuba anda perhatikan pinggangnya setiap kali dia muncul di khalayak ramai. Pasti anda akan percayakan saya.

Selain daripada ilmu Tapak Tangan Ajaibnya dan keris Taming Sarinya, Abe Mad juga mendalami ilmu batin.

Ilmu ini dinamakan 'Harimau Jaga'.

Jarang orang mengetahui dan mengamalkannya. Ilmu ini diambil oleh Abe Mad di Telaga Hijau Besut.

Ia adalah ilmu bunian untuk menjaga hasil tanaman mereka. Di alam bunian, harimau adalah binatang peliharaan seperti kucing. 

Inilah antara sebab mengapa harimau sudah semakin kurang di alam nyata. Mereka sudah berpindah ke alam bunian.

Oh, anda tentu pernah melihat Abe Mad dengan anak harimau dan singa.

Itu bukan suka-suka untuk berselfie. Hendak mampus berselfie dengan harimau atau singa? Abe Mad berani buat begitu kerana beliau benar-benar berilmu.

Selain tapak tangannya, tahukah anda mengapa gigi Abe Mad jarang di depan. Mari aku ceritakan tentang sisi aneh Abe Mad ini.

Zaman remaja Abe Mad di universiti merupakan zaman emas baginya. Walaupun dikenali sebagai kaki pukul, Abe Mad merupakan seorang pencinta wanita.

Ini kerana beliau sangat meminati Madonna. Semua orang mengetahui Abe Mad merupakan peminat setia Madonna.

Setiap hari Abang Mad akan menyanyikan lagu Madonna. Bilik di universitinya dipenuhi dengan gambar Madonna. Sumber inspirasi, katanya.

Hampir semua lagu Madonna dihafalnya.  Kata pensyarah Englishnya, itulah rahsia Abe Mad lulus subjek English di universitinya.

Abe Mad pernah menghantar surat cinta kepada Madonna dan yang menariknya, Madonna membalas cinta Abe Mad.

Dek kerana cintanya berbalas itulah Abe Mad pergi ke klinik gigi menjarangkan gigi depannya. Semuanya kerana cintanya kepada Madonna.

Kalau tidak kerana agama, Madonnalah isterinya. Madonna juga sangat kecewa.

Anda dengarkan lagu Madonna yang ditujukan kepada Abe Mad yang bertajuk : The Power of Goodbye.

Kalau anda mahu tahu, lagu ini 'totally' ditujukan kepada Abe Mad.

Selain lagu itu, lagu 'Don't Cry for Me Argentina' juga ditujukan kepada Abe Mad Nelang. Argentina itu ganti nama kepada Abe Mad.

Jika anda berkesempatan berjumpa dengan Abe Mad, cuba anda panggilkan nama Mr Argentina kepada Abe Mad, nescaya beliau akan menoleh manja.

Eh, sudah panjang aku melalut ini. Sebenarnya aku mahu menceritakan tentang pertemuan aku dengan Abe Mad Nelang semalam. Ah, nantilah aku ceritakan di bahagian kedua nanti.

Oh, gambar selfie aku dengan Abe Mad Nelang juga ada aku ambil semalam. Nanti aku sertakan sekali.

#Solidariti4AbeMadNelang!

Tunggu! – 9 Mei, 2014.

*Ini adalah cerita rekaan semata-mata tanpa merujuk kepada yang hidup atau sudah mati.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments