Rencana

Kreativiti: Antara fikiran dan perasaan? – Hafizuddin Kamarudin

December 17, 2013

Ken Robinson, seorang pakar pendidikan di dalam bukunya Out of Our Mind pernah menulis, "Being creative is not only about thinking: It is about feeling".

Saya tertarik dengan sebuah restoran Pakistan yang terletak di Kuching, berhampiran bulatan Simpang Tiga, antara kawasan utama di Kuching. Apa yang menarik di kedai ini adalah bagaimana ia mampu bertapak, berasimilasi dan maju dengan mengenal pasti peluang peluang yang ada untuk mencambah idea yang baru, serta bagaimana ia menguruskan idea tersebut.

Di restoran ini, ia mampu menyajikan masakan Asia Tengah,Timur Tengah, dan juga masakan tempatan seperti mee kolok, laksa Sarawak dan juga tidak ketinggalan nasi kerabu. Apa yang menarik adalah kebolehan kedai ini untuk mempunyai menu yang pelbagai, dapat mengekalkan rasa tempatan dan juga memperkenalkan rasa tradisi masakan mereka di Kuching. Mereka juga mampu untuk membuka restoran 24 jam (yang agak sukar didapati di Kuching) dan juga mempunyai sistem pelayan yang amat teratur, pantas dalam penyediaan makanan dan juga mampu memberikan “predatory pricing” di mana harga makanan mereka lebih rendah daripada kebanyakan kedai di Kuching walaupun kedai mereka terletak di lokasi yang agak mahal pada kiraan saya.

Berbalik kepada kata-kata Ken Robinson di atas, saya berpendapat kita kurang menggunakan “common sense” (merujuk kepada perkataan “feeling”) yang ada dalam memajukan pelbagai sektor yang ada. Ternyata peniaga Pakistan tersebut berjaya menggunakan “common sense” beliau dan menukarkannya kepada idea. Beliau berjaya mengenal pasti permintaan yang ada di Kuching, dan cuba untuk memajukan idea tersebut.

Saya kira, kita lebih mengikut trend berbanding memajukan sebuah idea agar ia lebih menjadi baik. Kita ambil contoh banyak  perniagaan makanan dan minuman yang agak terkenal di sekitar Kuala Lumpur, seperti terdapat berberapa  francais ayam goreng dan minuman ice blanded di mana ia mendapat sambutan ramai pada mulanya. Selepas itu, terdapat banyak francais francais yang wujud turut mengeluarkan produk yang sama tanpa memajukan idea tersebut agar ia mampu menjadi produk yang lebih baik dan mendapat sambutan. Akhirnya permintaan akan berkurang kerana produk tersebut mencapai “plateau” dan “saturated”.Saya rasa perkara ini boleh berlaku kerana kurangnya penambahbaikan idea dan mencari nafas baru dalam industri.

Saya teringat bagaimana kebijakan Sony dalam bersaing dengan Toshiba ketika merevolusi cakera padat HD. Sony mengeluarkan Blue Ray manakala Toshiba mengeluarkan HD DVD, dan mereka berebut untuk menjadi pemilik utama revolusi cakera padat HD. Apa yang Sony lakukan adalah dengan memasukan pemain Blue Ray pada permainan konsol Playstation 3 dan dijual pada harga yang lebih murah berbanding dengan kos untuk membuatnya. Toshiba yang bergantung pada penjualan pemain cakera padat HD, akhirnya terkeluar daripada persaingan tersebut. Sony dapat mengenal pasti dengan mengabungkan pemain cakera Blue Ray pada permainan konsolnya, ia berjaya menutup kebolehan pesaing walaupun ia memakan belanja yang besar pada mulanya.

Untuk menjadi “world player” saya percaya kreativiti sangat sangat penting. Tidak kira di mana jua kita berada, saya percaya jika kita mampu untuk berfikir luar daripada kotak, kita mampu lebih jauh kehadapan. Mengambil idea orang lain tanpa memperbaharuinya adalah satu perkara yang sia sia.

Saya juga percayai kita mampu untuk maju dengan merevolusikan idea yang ada walaupun kita berpegang pada tradisi yang kita ada. Kita tidak perlu kelihatan seperti orang Jepun,Korea mahupun Barat untuk maju dengan hanya mengikut trend fesyen yang ada kini. Kita perlu melihat bagaimana mereka bangun daripada zaman gelap mereka (seperti Korea, selepas Perang Korea, Jepun, selepas perang dunia kedua dan Barat selepas Zaman Kegelapan.)

Seperti mana pizza, burger, sushi, kimchi, kebab dan sebagainya telah merentas benua kerana kemampuan bangsa bangsa mereka berfikir luar dari kotak, tidak takut untuk mencuba idea yang baru dan tidak takut untuk terjatuh, mereka berjaya memperkenalkannya di mata dunia walaupun begitu asing ketika dahulu.

Kita perlu percaya pada diri kita, ubah dan berusaha dengan menggunakan “common sense” yang ada serta memajukan idea idea luar biasa dengan azam yang tinggi. Idea tidak mampu diterjemahkan tanpa usaha, semangat yang memerlukan pengunaan minda dan perasaan untuk lebih maju ke hadapan. 17 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi