Rencana

Mahasiswa gesa parti politik bersama — Gerakan Mahasiswa

March 07, 2013

7 MAC — Sejak awal Februari lalu, seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan pencorobohan kumpulan bersenjata yang cuba membawa pelbagai tuntutan termasuklah mendakwa bahawa mereka merupakan warisan terhadap wiilayah yang cuba ditakluk. Bahkan suasana di Lahad Datu secara khususnya semakin membimbangkan apabila hari demi hari kita dikejutkan dengan berita kematian anggota keselamatan negara yang semakin bertambah. Tambah lagi pencerobohan terhadap beberapa daerah lain di Sabah selepas pencerobohan Lahad Datu menambahkan lagi ketakutan rakyat Malaysia khususnya rakyat di negeri Sabah.

Kami sebagai gerakan mahasiswa memandang bahawa seharusnya isu keselamatan negara merupakan isu yang paling penting untuk ditangani pada saat ini. Isu keselamatan negara yang diceroboh pendatang asing apatah lagi dengan lengkap bersenjata bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng kerana isu ini melibatkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang berdaulat sekali gus mempunyai autoriti terhadap wilayahnya.

Pandangan kami daripada pelbagai jaluran kumpulan mahasiswa hari ini memandang bahawa kesepakatan sangat penting ketika berhadapan situasi sebegini. Bahkan kami hari ini berdiri sama tinggi berganding bahu sebagai suara sepakat dengan mengenepikan idealisme fahaman sendiri bagi menyatakan pendirian bersama atas isu keselamatan negara.

Oleh itu, secara rasional kami mendesak agar kerajaan Malaysia mengadakan sidang Parlimen khas bagi membincangkan isu ini secara bersama. Dalam keadaan yang genting ini, Parlimen Malaysia haruslah mengeluarkan suatu resolusi khusus sebagai jalan terbaik dalam menyelesaikan isu pencerobohan Lahad Datu dengan resolusi jangka masa panjang.

Parlimen juga perlu membincangkan supaya perkara ini dapat diselesaikan tanpa menimbulkan sentimen politik termasuk memberikan gambaran sebenar mengenai isu yang berlaku kepada seluruh rakyat Malaysia. Kedua-dua pihak seharusnya tidak mengambil sikap saling tuding jari dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas. Media juga digesa supaya bersikap profesional dalam melaporkan perkembangan isu ini supaya rakyat mendapat maklumat yang sebenar. Kami juga berpendirian bahawa isu ini perlu digalas oleh semua pihak, termasuk parti-parti politik, media, Ngo dan seluruh rakyat Malaysia.

* Disediakan bersama oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya, Majlis Perwakilan Pelajar UM, Majlis Perwakilan Pelajar UIA, Majlis Perwakilan Pelajar UKM, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung UNISEL (GPMS), Pro Mahasiswa Universiti Malaya, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Malaysian Youth and Students Democratic Movement (DEMA), Aksi Mahasiswa Peduli UNISEL, Legasi Mahasiswa Progesif UPSI dan Universiti Malaya Association Of New Youth.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi