Rencana

Malaysia hadapi ancaman serangan gerila bandar — Zainuddin Maidin

March 04, 2013

4 MAC — Setelah penyelesaian  tuntutan Fipilina ke atas Sabah, kerajaan Malaysia menampakkan keyakinan penuh tidak akan timbul kebangkitan untuk mengambil semula Sabah dengan tindakan bersenjata. Ancaman yang bersifat pencolekan dan pencerobohan dari Filipina yang berlaku dari semasa ke semasa lebih diketahui sebagai tindakan lanun yang tiada jelas hubungannya dengan politik.

Bagaimanapun, pencerobohan Tentera Diraja Kesultanan Sulu di Lahad Datu yang setakat ini mengorbankan tujuh anggota keselamatan Malaysia (dua komando dan lima anggota polis) oleh penembak tepat (sharpshooter) atas alasan mahu Sabah dikembalikan kepada mereka, mencetuskan beberapa persoalan tentang kedudukan keselamatan negara sekarang dan juga taraf keupayaan pengawal negara; polis dan tentera, terutama bahagian Perisikan Tentera dan Unit Cawangan Khas Polis Di Raja Malaysia.

Anggapan bahawa pencerobohan itu datang hanya dari tentera asing tanpa kerjasama rakyat tempatan atau pemastautin tetap dari Selatan Filipina tidaklah  bagitu tepat oleh kerana menurut laporan akhbar, tentera Kesultanan Sulu itu telah berada di beberapa kawasan di Sabah sejak empat bulan lalu. Tentunya mereka telah mengatur perancangan serangan yang berstrategik dan taktik yang rapi.

Bahawa tentera kesultanan ini dapat bertahan dan dapat melepaskan tembakan tepat ke sasaran, membuktikan bahawa mereka cukup terlatih dan  mempunyai alat pemantauan keselamatan yang cukup canggih.

Bahawa Pasukan Keselamatan menaburkan risalah menerusi helicopter supaya mereka menyerah diri menampakan betapa kita masih menggunakan strategi zaman penjajah yang sudah outdated.

Peristiwa ini juga membuka mata kita terhadap kemungkinan besar akan boleh berlaku gerakan gerila bandar (urban guerilla) menggantikan perjuangan pengganas komunis di hutan rimba dengan adanya pelbagai anasir di dalam kemasukan jutaan pendatang asing yang dimudahkan oleh perasuah di pintu masuk negara kita. Tentunya di antara mereka terdapat perisek, pengintip dan sebagainya selain dari penjenayah yang lebih mudah untuk ditangani.

Keadaan sekarang adalah berbeza dengan sebelum berlaku konfrantasi Indonesia di tahun enam puluhan di mana ketika itu jumlah rakyat asing yang berada di negara ini terutama dari Indonesia dan Filipina adalah kecil .Pergerakan mereka lebih mudah  lagi dengan adanya pemimpin-pemimpin politik Malaysia yang menjadi alat kuasa asing.

Peristiwa Lahad Datu tentunya telah menggemparkan dunia, kerana Malaysia dan Singapura di ketahui di Asia sebagai dua buah negara yang mempunyai taraf keselamatan yang tinggi. Seperti terkejutnya kita dengan peristiwa pengembomam di London pada 7 June 2005, maka demikianlah dunia gempar dengan letupan pencerobohan berdarah di Lahad Datuk  Sabah.

Malaysia diketahui mempunyai kecekapan dalam memantau gerakan militan Islam seperti gerakan Jemaah Islamiah Nusantara yang hendak menegakkan Darul Islam di Nusantara, tetapi tentunya tidak terfikir bahawa Tentera Kesultanan Sulu boleh mendatangkan bahaya lebih besar kepada negara.

Satu demi satu wira kita telah gugur dengan tembakan tepat dan tentunya mereka ini telah melalui taraf latihan yang kental dan bukan sebarangan dan tidak boleh ditolak kaitannya dengan Gerakan Jemaah Islamiah Nusantara sekalipun kemungkinannya adalah tipis.

Dan jika benar ada rakyat negara ini yang terlibat dalam membantu penyusupan, perancangan dan serangan dalaman maka mereka mestilah menghadapi balasan dan hukuman yang setimpal dengan dosa mereka sebagai pembelot dan penderhaka negara.

Apakah persitwa ini juga merupakan akibat dari penghapusan ISA yang walaupun pihak perisek telah mengetahui kegiatan  anasir musuh dari dalam lebih awal, tetapi tidak dapat bertindak tanpa bukti untuk dihadapkan ke mahkamah. — zamkata.blogspot.com

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi