Rencana

Manifesto pencetus harapan — Nurul Izzah Anwar

March 06, 2013

6 MAC — Harapan dijadikan tempat berteduh bagi idaman seseorang itu tercapai. Harapan mampu menyatukan semua jiwa — apabila dijadikan panduan kepada yang miskin, mahupun kaya dalam usaha membina masa depan lebih baik.

Begitulah impian bagi Pakatan Rakyat — untuk mewarnakan landskap masa depan Malaysia menerusi Manifesto Pakatan Rakyat yang dilancarkan pada 24 Februari lalu — bertemakan Pakatan Harapan Rakyat.

Bertitik-tolak dari Dasar Bersama Pakatan Rakyat empat tahun lalu, kepada Buku Jingga, sehinggalah manifesto dinihari, empat perkara penting telah dikenal pasti dalam usaha murni untuk memperbaiki hidup rakyat: Kesejahteraan rakyat, ekonomi rakyat, rakyat bersaudara dan ekonomi rakyat.

Reformasi ekonomi: Kerajaan Pakatan Rakyat membuktikan bahawa gagasan tiga parti ini boleh mentadbir Selangor dan Pulau Pinang dengan penuh ketelusan dan akauntabiliti. Kedua-dua negeri ini menunjukkan hasil pendapatan yang baik bagi tahun 2012, mengikut laporan Ketua Audit Negara, dan pada masa sama membawa perubahan kepada rakyat negeri-negeri tersebut. Antara prinsip utama yang perlu diberi tumpuan kini adalah untuk beralih dari era pemusatan kekayaan kepada segelintir kroni ke pengagihan kekayaan saksama.

Jurang kekayaan antara golongan termiskin dan terkaya merupakan antara masalah utama akan menekan rakyat Malaysia.

Jurang kekayaan disebabkan oleh kekurangan pekerjaan yang berkualiti tinggi dan menjanjikan taraf hidup lebih baik adalah antara punca kadar jenayah yang semakin meningkat.

Menurut laporan Merdeka Center yang terbaru, 64 peratus daripada rakyat Malaysia sering alami kesempitan wang manakala hanya 34 peratus daripada rakyat Malaysia mempunyai lebih dari cukup untuk hidup di negara ini.

Justeru, Pakatan Rakyat bertekad untuk bekerja keras sedaya upaya agar dapat memastikan gaji minimum di Malaysia terlaksana supaya pendapatan boleh guna rakyat mencukupi serta kos sara hidup dikurangkan agar rakyat boleh ada simpanan yang lebib banyak.

Reformasi politik: Kini, politik di Malaysia mula dicemari oleh politik wang, rasuah, retorik perkauman dan juga taktik politik kotor. Dari skandal PKFZ sehinggalah fitnah dan tohmahan yang langsung tidak berasas kepada pemimpin Pakatan Rakyat. Majoriti rakyat sudah serik dengar fitnah-fitnah dibawa oleh media massa mahupun laman sosial yang tidak bertanggungjawab.

Pakatan Rakyat mahu melihat meritokrasi menjadi realiti di mana ahli politik yang berkemampuan dan punyai gravitas akan boleh memerintah untuk kebaikan rakyat Malaysia yang menyeluruh. Kami tidak mahu melihat sesetengah daripada mereka yang hanya mahukan kerusi di dalam Parlimen untuk kuasa kebaikan diri sendiri. Anak muda mahukan ahli politik yang akan memperjuangkan hak mereka, membawa suara mereka ke Parlimen dan dapat meningkatkan lagi taraf kehidupan rakyat menerusi dasar berkebajikan.

Selain itu, anak muda juga mahukan demokrasi mereka terjaga melalui pilihan raya yang lebih telus. Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah bekerjasama dengan lebih serius bersama-sama aktivis, NGO, dan juga badan-badan bertanggungjawab yang lain. Sebagai contoh, semasa Pilihan Raya Presiden di Kenya, seramai 23,000 pemerhati lokal dan 2,600 pemerhati antarabangsa  bertugas agar dapat memastikan ketelusan pilihan raya tersebut.

Manifesto Pakatan Rakyat juga menjanjikan, sebuah reformasi politik yang mampu menjadikan demokrasi negara ini sebagai contoh kepada negara-negara yang masih membangun.

Reformasi Sosial: Impian mana-mana rakyat adalah supaya mereka mempunyai kualiti hidup yang lebih baik. Rakyat Malaysia mahukan peluang pekerjaan yang berkualiti, dan juga keamanan masyarakat sejagat.

Untuk merealisasikan impian ini, dua faktor akan jadi penentu.

Baru-baru ini, taraf pendidikan negara telah menurun. Laporan TIMMS yang terbaru menyatakan pencapaian dalam Matematik dan Sains di negara kita adalah di kedudukan lebih teruk berbanding negara-negara membangun yang lain. Justeru, Pakatan Rakyat menjanjikan bantuan tambahan kepada setiap murid setiap tahun dari SAR, SJKC, SJKT, dan sekolah persendirian lain untuk membantu memperbaiki kualiti sedia ada.

Sekolah teknikal dan vokasional juga akan diberi tumpuan agar dapat menambah lagi jumlah dan juga kualiti tenaga kerja sedia ada, Insya-ALLAH dengan ini, kita akan dapat mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja luar negara.

Masa Depan Malaysia: Rakyat yang akan mengundi dalam masa terdekat ini hendaklah menilai, adakah mana-mana manifesto itu mampu ditunaikan?

Walaupun pemerintahan selama lima tahun yang lepas telah berlalu dengan begitu pantas sekali, Pakatan Rakyat telah berjuang untuk merealisasikan harapan rakyat, dengan pelbagai dasar yang membantu rakyat marhaen dan juga pembangunan saksama bagi komuniti-komuniti  lain. Rekod sebeginilah begitu penting dalam detik-detik penentuan bagi rakyat Malaysia. Kita mahukan pilihan raya kali ini menjadi lembaran baru di dalam sejarah negara kita.

Marilah bersama menjadikan manifesto pilihan raya ini sebagai permulaan membawa reformasi ekonomi, politik, pendidikan ke arah membina Malaysia lebih baik. Bayangkan lima tahun mendatang mampu kita capai bersama. — Sinar Harian

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi