Rencana

Melayu Johor paling miskin, Melayu mana kaya? — Nasrudin Hassan

January 21, 2013

21 JAN — Kenyataan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Syed Ali Alattas yang menyifatkan Melayu Johor paling miskin di Malaysia menarik perhatian ramai.

Hujahnya kerana kos sara hidup di Johor semakin meningkat ekoran ramainya orang asing datang ke negeri itu dan menduduki Iskandar Malaysia sehingga lebih 80 peratus.

Katanya Orang Melayu Johor sudah ketinggalan dari sudut ekonomi dan tidak mampu lagi untuk menetap di kawasan terbabit kerana harga rumah melambung tinggi.

Dakwaan Syed Ali seharusnya dipandang serius kerana faktanya berasas. Kerajaan perlu melihat semula dasar mereka selama ini terhadap Iskandar Malaysia.

Ternyata tindakan mereka membuka Iskandar Malaysia kepada warga asing merugikan rakyat tempatan di negeri itu. Ibarat senjata makan tuan, akhirnya Iskandar Malaysia memundurkan ekonomi umat Melayu sendiri.

Jika selama ini, negeri Kelantan sering ditohmah sebagai negeri paling mundur dan miskin, kini negeri yang dimilik sepenuhnya oleh Umno (sehingga dijuluki sebagai negeri Umno paling kuat di dunia) pula merudum jatuh.

Kalaulah Kelantan dipinggirkan kerana ia dipimpin PAS dan pembangkang, Johor yang dipimpin sepenuhnya oleh Umno juga terpinggir. Apa sudah jadi?

Di manakah perjuangan Umno yang membela nasib orang Melayu selama ini? Jika orang Melayu di negeri Umno sendiri sudah menjadi Melayu paling miskin, Melayu manakah menjadi asas pembelaan perjuangan Umno? Bumiputera atau UmnoPutera?

Dakwaan Syed Ali Alattas membuka tembelang Umno sebenarnya. Suara mereka yang berdegar-degar selama ini dengan slogan “Hidup Melayu” hanyalah bersifat retorik. Hakikatnya orang Melayu jauh terpinggir, daripada negeri di Borneo membawa ke negeri semenanjung termasuk di Johor.

Nampaknya semakin lama Umno memerintah negara ini, nasib orang Melayu semakin kelam. Apa yang dibimbangkan nanti adanya pendedahan lain dari cendikiawan Melayu bahawa umat Melayu akan ketinggalan di semua segi, dan tenggelam dibuminya sendiri.

Lihatlah apa yang terjadi kepada kampung-kampung Melayu di bandar-bandar, daripada Kuala Lumpur sehingga ke negeri-negeri. Kampung Baru yang menjadi satu-satunya mercu tanda keberadaan umat Melayu di tengah bandaraya juga menerima nasib yang sama dan orang Melayu juga menjadi mangsanya.

Tidak ada pilihan kedua bagi orang Melayu yang melihat kenyataan ini melainkan mereka perlu berubah. PRU 13 adalah masa yang terbaik untuk menghukum Umno yang terbukti gagal membela bangsanya sendiri. — harakahdaily.net

* Nasrudin Hassan adalah Ketua Dewan Pemuda PAS.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi