Rencana

Melihat kebaikan AES — Mior Kamarul Shahid

12 Nov  ― Setiap tahun, kira-kira 7,000 nyawa terkorban akibat kemalangan jalan raya di Malaysia. Berpuluh ribu pengguna jalan raya menderita akibat pelbagai bentuk kecederaan.

Sebahagian besar berpunca daripada kerakusan pemandu kenderaan, mungkin kerana memandu terlalu laju, memotong sesuka hati dan pelbagai kesalahan melanggar peraturan lalu lintas.

Selain faktor pemandu dan kenderaan, kemalangan juga sering berlaku di kawasan tertentu disebabkan pelbagai faktor seperti keadaan jalan, cuaca dan sebagainya.

Dilihat daripada lokasi kemalangan ngeri, sebahagiannya berlaku di tempat yang sama.

Di lokasi inilah kebanyakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dipasang bagi mengelak kemalangan jalan raya yang meragut nyawa. Mereka mungkin anak, ibu, bapa, adik dan abang, kawasan rapat, isteri atau suami serta rakan.

Setakat ini, usaha mencegah kemalangan tidak pernah berjaya. Pelbagai inisiatif kempen mencegah kemalangan berakhir dengan jumlah kemalangan yang meningkat.

Terbaru, AES diperkenalkan semata-mata untuk membendung kematian yang tidak ada kesudahannya. Seperti sering diperkatakan, lebih ramai orang mati di jalan raya daripada di medan perang.

Dalam isu AES, banyak rungutan didengar daripada pelbagai pihak sama ada pengguna jalan raya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

Mereka yang tidak ada kenderaan juga marah setelah mendengar tentangan pelbagai pihak. AES menimbulkan kemarahan kerana ia memerangkap pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan.

Kamera yang dipasang di kawasan tertentu merakam segala kesalahan dilakukan pemandu termasuk memandu melebihi had, memotong sebelah kiri dan melalui lorong kecemasan.

Denda maksimum bagi setiap kesalahan ialah RM300. AES bukan dipasang untuk memerangkap pengguna jalan raya. Berbeza dengan cara dilakukan terhadap mereka yang memandu laju khasnya oleh polis trafik yang menggunakan kamera perangkap laju.

Kadang-kadang dilihat polis trafik bersembunyi di dalam semak atau di bawah jambatan bagi memerangkap mereka yang tidak takut mati.

Tujuannya untuk memberi amaran kepada pemandu supaya mematuhi had kelajuan kerana mereka mungkin dikenakan saman di mana-mana saja jika melanggar peraturan lalu lintas.

AES pula dibuat secara terang-terang. Kamera diletakkan di tempat statik dan setiap lokasi yang akan menempatkan kamera AES dimaklumkan kepada orang ramai di media, laman web dan sebagainya. Ia juga boleh diketahui menerusi GPS ketika menghampiri kawasan AES.

Maknanya, sesiapa saja melalui kawasan berkenaan boleh bersiap sedia jika tidak mahu disaman.

Mungkin ada pengguna yang sudah mendapat banyak saman di 14 kawasan AES sejak dimulakan 23 September lalu tetapi ada juga pengguna yang lebih kerap menggunakan jalan yang sama tetapi tidak pernah sekali pun mendapat saman.

Ia membezakan sikap seseorang pengguna jalan raya dengan yang lain. Kalau pengguna marah kerana disaman, ia sesuatu yang biasa.

Jika tidak mahu disaman, mereka perlu berhemah di jalan raya.

Setakat ini 89,000 saman dikeluarkan hanya di 14 kawasan AES. Bayangkan jika semua 831 kawasan AES dikuatkuasakan kemudian.

Ini menunjukkan masih ramai yang melanggar peraturan jalan raya. Tanpa AES mungkin jumlah itu berkali ganda lebih besar.

Ikut hukum akal, tidak ada sesiapa boleh diperangkap oleh sistem ini.

Setiap dua kilometer sebelum sampai ke kawasan itu pengguna sudah dimaklumkan menerusi tanda jalan bahawa di depan mereka ada kamera dan satu kilometer kemudian satu lagi tanda jalan memberitahu di depan mereka ada kamera AES dan 500 meter sebelum tiba di kawasan kamera, mereka dimaklumkan sekali lagi.

Kalau masih ada yang melakukan kesalahan, mereka sengaja mencari masalah.

Mungkin pada masa ini ada kelemahan dari segi saiz penanda amaran atau ia diletakkan di tempat yang tidak sesuai seperti terlindung dan sebagainya menyebabkan pengguna terlepas pandang. Ini perlu diperbaiki bagi mengelak ia dianggap sebagai perangkap.

Matlamat AES baik tetapi disebabkan dikaitkan dengan isu politik, semuanya menjadi kelam kabut, tambahan pula ia dianggap sebagai keputusan yang tidak bijak menjelang pilihan raya.

Lagi lewat dilaksanakan, mungkin banyak nyawa yang melayang, mungkin di kalangan saudara mara kita.

Tidak mustahil dengan AES, ada nyawa sudah dapat diselamatkan kerana mereka lebih beringat ketika melalui jalan itu.

Di negeri dikuasai pembangkang, janganlah mempolitikkan isu ini kerana tujuannya untuk menyelamatkan nyawa manusia.

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

Comments