Rencana

Memahami ‘Amanat Tun Mahathir’ — Abdul Hadi Awang

22 MAC — Amanat Tun Dr Mahathir Mohamad berbunyi, “Lebih baik berkawan dengan syaitan yang dikenali daripada malaikat yang tidak dikenali” adalah satu sindiran tajam supaya rakyat jangan lagi menyokong Umno dan BN bersamanya.

Walaupun ada kalangan yang berhujah bahawa perkataan “devil” dan “angel” dalam ungkapan asal Tun Mahathir adalah suatu metafora atau kiasan, tetapi ianya tidak menafikan hakikat bahawa Tun Mahathir sendiri telah membuat dua cabang kelas bahawa Umno BN berada di pihak yang “buruk dan rosak” manakala Pakatan Rakyat berada di pihak yang “baik”.

Tun Mahathir adalah Tokoh Besar Umno, Mantan Presidennya dan Mantan Perdana Menteri, yang paling lama memegang jawatan dalam Umno. Tun Mahathir mendedahkan beberapa kali, dalam ayat dan perkataannya sendiri, bahawa Umno adalah parti berpenyakit kronik, mungkin tidak dapat diubati kerana sudah melarat ke dalam usus. Penyakit rasuah dan gila mendapat kuasa. Sebagai seorang ahli perubatan yang tahu bagaimana parahnya sesuatu penyakit itu, sehingga beliau memberi gambaran penyakit kronik yang melarat ke dalam usus, atau dalam kata lain ianya tidak mampu diberi rawatan.

Penyakit politik wang (rasuah) menjalar dalam pemilihan Umno daripada akar umbi sehingga ke hujung pucuk, tidak lagi menjadi rahsia kepada umum. Penyakit ini dimasukkan ke dalam gelanggang rakyat dalam setiap kali Pilihanraya Umum dan kecil dan membahayakan seluruh jentera kerajaan.

Betapa parahnya penyakit itu sehingga terpaksa diselamatkan dengan Amanat Tun Mahathir yang begitu jelas ucapan dan ungkapannya. Kalau mahu hidup mati bersama Umno juga, maka begitulah konsepnya.

Sila fahami pula Firman Allah dalam surah An-Nas, ayat 1-6:

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia, Tuhan Yang berhak disembah oleh sekalian manusia, “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam (syaitan), Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”.

Maksud peringatan Allah ini ialah supaya semua umat manusia berwaspada menghadapi tipu daya syaitan, sama ada yang dikenali atau tidak, samada terdiri dari kalangan makhluk manusia yang dapat dilihat, atau juga bisikan makhluk jin yang tidak dapat dilihat kerana termasuk kalangan alam ghaib yang wajib beriman wujudnya.

Adalah menjadi hikmat paling besar, surah ini diletakkan di akhir penyusunan al-Quran, dengan perhatian lebih khusus pula kepada ayatnya yang terakhir, mendedahkan adanya syaitan di kalangan manusia yang lebih mudah dikenali.

Permulaan al-Quran pula Surah al-Faatihah, yang menjadi rukun solat pada tiap-tiap rakaat, termasuk rukun solat jenazah yang tidak ada rakaat. Ianya adalah merupakan doa yang diulang, supaya Allah memberi petunjuk ke jalan yang benar. Selepasnya pula Surah al-Baqarah, yang menegaskan al-Quran adalah petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa. Seterusnya membahagikan manusia kepada tiga kumpulan: Beriman dan beramal soleh, kafir dan munafiq.

Berikutnya pula, dibawa kesah kejadian Adam a.s. dan tujuan kejadiannya di bumi, diikuti dengan pertarungan di antara Adam dan Iblis sehingga dihalau dari syurga dan bertarung di bumi sehingga hari kiamat.

Adam dilantik menjadi Rasul memimpin keluarganya berpegang teguh dengan ajaran Allah dan petunjuknya, dan seterusnya dilahirkan para Rasul untuk meneruskan perjuangan Adam dengan petunjuk Allah sehingga hari kiamat pula.

Iblis pula mengumpulkan pengikutnya yang dinamakan syaitan, terdiri daripada kalangan manusia dan jin, yang meneruskan perjuangan menentang Adam dan para rasul dan pengikutnya yang berpegang dengan petunjuk Allah.

Al-Quran bukan sahaja menyatakan petunjuk akidah, syariat dan akhlak serta sistemnya secara menyeluruh bahkan al-Quran juga membawa kisah syaitan manusia seperti al-Malaa, Namrud, Firaun, Abu Lahab, Abu Jahal dan lain-lain yang menentang para rasul di sepanjang zaman.

Semua syaitan itu kalah berhujah dengan para rasul yang membawa ajaran yang benar. Demi meneruskan cita-cita jahatnya, maka syaitan ini meneruskan juga kerjanya dengan cara menggoda seperti iblis pernah menggoda Adam a.s. di zaman dahulu, tetapi caranya berubah dari semasa ke semasa, zaman ke zaman yang berterusan, menggoda dengan fitnah, menipu, menggunakan harta dan kemewahan hidup.

Allah mengesahkan Iblis (bapa syaitan) menggoda Adam dan Hawa, seperti yang disebut dalam Surah Thoha ayat 120–121:

Maksudnya: Setelah itu maka Syaitan (iblis) membisikkan (hasutan) kepadanya (Adam), dengan berkata: “Wahai Adam! Mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya (tidak mati), dan kekuasaan (kerajaan) yang tidak akan hilang lenyap?”.

“Kemudian mereka berdua (Adam dan Hawa) memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).”

Allah juga menceritakan para pemimpin yang tersebut nama-namanya di atas, menentang para rasul di zaman masing-masing, secara fitnah dan menuduh para rasul membawa ajaran sesat, serta menggoda dengan menawarkan kesenangan pangkat harta kepada sesiapa yang menyokongnya berkuasa dan menghalang para rasul membawa ajaran Allah yang sebenar.

Firaun menyampaikan ucapan bahawa dialah yang memberi segala kemudahan, seperti mengalirkan tali air yang menyuburkan bumi Mesir, mendirikan bangunan-bangunan dan lain-lain. Firaun juga menjelaskan bahawa Nabi Musa pula hanya membawa ajaran secara berucap tidak jelas dan tidak membawa apa-apa kesenangan bahkan tidak mengenang budi dan tidak bersyukur, kerana menjadi anak angkat yang pernah dibesarkan di bawah naungan istananya yang indah dan mewah.

Pendekatan yang sama dilakukan oleh mereka yang menentang Nabi Akhir Zaman Muhammad S.A.W. Firman Allah:

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, di dalam al-Quran ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); Dalam pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran. Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (Wahai Muhammad), sehingga Engkau memancarkan mata air dari bumi, bagi kami. Atau (sehingga) Engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian Engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau (sehingga) Engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang Engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) Engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) Engkau mempunyai sebuah Rumah terhias dari emas; atau (sehingga) Engkau naik ke langit; dan Kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum Engkau turunkan kepada kami sebuah Kitab yang dapat kami membacanya”. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Maha suci Tuhanku ! Bukankah Aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul? [al-Isra’ : 89–93]

Syaitan juga menggunakan para ulama yang mencari kesempatan hidup senang sehingga lupa hari akhirat. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) kami (seorang yang alim ilmu kitab Allah). Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika Engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika Engkau membiarkannya : ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. [Surah Al A’araf: 175–176].

Semua kisah al-Quran itu adalah wahyu yang dibawa oleh malaikat yang wajib dikenali sifatnya paling baik, walau pun tidak mengenali wajahnya kerana mereka makhluk ghaib. Al Quran pula wajib dipercayai petunjuknya di sepanjang zaman. Sila bandingkan secara insaf dengan apa yang dilakukan oleh Umno-BN sekarang.

Amanat Tun Mahathir adalah sindiran tajam supaya ahli Umno dan penyokongnya, serta parti komponen yang bersekongkol dengannya secara nyata dan bersembunyi. Beliau sendiri sudah dua kali keluar masuk Umno, secara sifat kemanusiaan yang wajib merawat pesakit walau pun tidak ada harapan sembuhnya.

Seruan saya kepada rakan taulan dalam Umno-BN. Tinggalkanlah Umno dan BN bersama syaitan yang dikenali atau tidak dikenali. Jadikan PAS Ganti Umno, Pakatan Rakyat ganti BN. Disebabkan juga pendekatan berbeza, maka PAS bertahaluf dengan bukan Islam dan masyarakat majmuk bersama prinsip dan konsep Islam yang teguh. Umno pula berwala’ dengan bukan Islam dan bukan melayu dengan prinsip dan konsep nasionalisma yang rapuh sehingga menghilangkan jati diri bersama syaitan yang dikenali dan tidak dikenali. Fahamilah secara ilmu dan ikhlas jangan menolak secara jahil murakkab. — harakahdaily.net

* Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah Presiden PAS.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments