Rencana

Menteri Penerangan daripada PAS? ― Syahir Sulaiman

January 09, 2013

9 JAN ― Apabila Pakatan Rakyat ditakdirkan berjaya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan, apakah kementerian yang paling utama perlu dipegang oleh PAS?

Persoalan ini, pertama kali diajukan kepada saya oleh seorang sahabat pada tahun 2011, dan soalan yang sama kerap saya ajukan kepada pimpinan dan kenalan terdekat apabila berbicara tentang agenda menuju Putrajaya.

Persoalan ini bukan untuk mengajak kita berfikir tentang agenda merebut kuasa, tetapi mengajak kita berfikir tentang agenda memanfaatkan kuasa, bagi memastikan amanah kemenangan dapat diurus dan dicorak mengikut dasar dan tujuan perjuangan PAS, dengan mengambil kira tuntutan realiti semasa. Jawapan yang diterima, pelbagai.

Bermula daripada jawatan Perdana Menteri, sehinggalah kepada jawatan Menteri Agama, Menteri Kewangan, Menteri Pendidikan, Menteri Undang-Undang, Menteri Belia dan Sukan, dan Menteri Kebajikan, di mana setiap jawapan yang diberi turut disandarkan dengan alasan dan hujah, yang juga pelbagai.

Seterusnya, saya akan ajukan soalan, “Jika ditakdirkan PAS hanya boleh memegang satu kementerian sahaja, kementerian apakah yang PAS perlu pilih?”

Jawapan yang diterima, juga pelbagai. Jawapan saya secara peribadi adalah, Kementerian Penerangan.

Amanah menyampaikan risalah kebenaran Ketinggian nilai kebenaran telah dibuktikan oleh Al-Quran sebagaimana termaktub di dalam Surah Al- Fatihah, ayat 6-7 yang bermaksud: “Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”

 Tugas untuk menyampaikan risalah kebenaran ini diamanahkan kepada para rasul dan anbiya’ sebagaimana tercatit di dalam Surah An-Nahl, ayat 36 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah Thaghut itu”, maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)”.

Diutuskan juga para rasul untuk memberi petunjuk dengan bukti-bukti yang nyata dan neraca keadilan, agar manusia dapat menegakkan keadilan dan berhukum dengannya.

Malah, antara sifat terpuji yang dimiliki para Rasul dalam membawa risalah kebenaran adalah bersifat benar, amanah, bijak, dan menyampaikan. Pendemokrasian ilmu dan maklumat Demokrasi yang sihat di dalam sesebuah negara diukur dengan suburnya budaya berfikir di kalangan rakyatnya yang menatijahkan kepada keberanian rakyat untuk membuat keputusan di atas paksi kebenaran.

Inilah elemen terpenting dalam pembentukan sebuah sistem demokrasi yang matang di Malaysia, sebuah negara yang mengamalkan prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang telah menghuraikan dengan panjang lebar berkenaan dengan nilai dan tatakelola pelaksanaan demokrasi di Malaysia di dalam sebuah artikel yang ditulis pada 9 Januari 2011 bertajuk “Media dan Pilihanraya Adil”, antara lain menyebut: “Demokrasi adalah hak rakyat untuk menjadi hakim dalam sistem politik moden, sebagai satu proses untuk memilih kepimpinan mereka. Terminologi akar umbi ‘demokratía’ yang berasal dari bahasa Greek ini memberi maksud ‘rule by the people’ atau ‘pemerintahan oleh rakyat’. Pemahaman terhadap maksud demokrasi ini yang pada pandangan Barat tidak mempunyai kaitan dengan Tuhan Yang maha Pencipta, telah diperkembangkan dan disuntik roh hubungan Manusia-Tuhan menerusi pandangan para sarjana Islam dalam bentuk penulisan di sepanjang zaman kegemilangan Islam. Sistem demokrasi moden melantik rakyat menjadi hakim bagi menentukan pemimpin atau parti yang memerintah negara. Mengikut ajaran Islam pula, urusan politik memilih pemimpin adalah amanah yang sangat besar. Maka pilihanraya adalah mahkamah rakyat dalam menunaikan amanah besar ini.”

Agenda pendidikan politik (political education) melalui peranan media yang adil adalah elemen terpenting dalam membentuk budaya pemikiran dan persefahaman di kalangan rakyat untuk memupuk semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum di Malaysia.

Beliau menambah, “Dalam amalan demokrasi adil, peranan media disemua lapangan, dikira sangat penting bagi pilihanraya yang adil, kerana mereka meletakkan media sebagai saksi kepada mahkamah rakyat untuk mejatuhkan hukuman dengan adil, kerana pengundi yang membuat keputusan adil wajib mendapat maklumat yang benar dan teliti.”

Peranan membentuk budaya pemikiran rakyat dan mengawal selia media yang adil dalam negara dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, sebagaimana termaktub di dalam pernyataan misi dan objektif Kementerian, antaranya: “Menyebarkan maklumat mengenai falsafah, dasar dan program nasional secara berkesan bagi melahirkan masyarakat berilmu, bermaklumat dan berbudaya luhur; Meningkat dan mengukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat berteraskan Rukun Negara melalui khidmat dan aktiviti penerangan, komunikasi dan kebudayaan; Membangun, menyemarak dan merakyatkan seni budaya dan warisan menerusi penerangan dan komunikasi; Menyampaikan maklumat terkini dan dasar Kerajaan kepada masyarakat dengan sahih, tepat, cepat, jelas dan berkesan menerusi media elektronik, cetak dan komunikasi bersemuka”.

PAS berhak mendapat ruang demokrasi seluas-luasnya untuk melaksanakan agenda penerangan terhadap falsafah dan dasar negara yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah, memupuk perpaduan kaum serta budaya saling-memahami dan saling- menghormati di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa, di samping menjawab setiap tohmah dan fitnah yang diterima selama PAS berpatisipasi di dalam sistem demokrasi Malaysia, bagi memastikan setiap yang benar dilihat sebagai yang benar. Inilah ruang demokrasi terpenting yang wajib dimanfaatkan oleh PAS untuk mencorak kemenangan kelak.

* Syahir Sulaiman adalah Pengarah Kajian Polisi DPPM.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi