Rencana

Najib tidak boleh samakan buah epal dengan bacang — Aspan Alias

21 NOV — Najib masih menyanyikan lagu lama dengan dendangan yang lama. Najib seorang yang sangat terdesak dan kata-kata nya pun sangat tidak bernilai sebagai satu ucapan pemimpin yang setimpal sebagai kata-kata dan ucapan seorang pemimpin kepada rakyat yang sedang dalam pencarian ini. Najib terpaksa menggunakan ‘testimonial’ orang lain untuk mendapat kepujian dan pengiktirafan dan tidak mampu menunjukkan ‘testimonial’ sendiri bagi meyakinkan rakyat.

Najib masih meminta rakyat memberikan sokongan kepada UMNO dan BN kerana memberikan sokongan kepada UMNO khususnya kepada beliau itu tidak akan menjejaskan pelan transformasi beliau yang telah beliau umumkan setiap bulan dan minggu itu. Jika memberikan sokongan kepada pihak lain ia akan menjejaskan pelan pembangunan dan kemajuan negara dan akan membantutkan usaha kerajaan pimpinan beliau untuk menjadikan negara ini sebagai negara yang berpendapatan tinggi dan sebuah negara maju menjelangnya tahun 2020 nanti.

Najib mengambil Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh pandangannya itu. Rakyat AS telah memberikan ‘continuity’ kepada pentadbiran Barack Obama dari Demokrat dalam pilihanraya Presiden baru-baru ini dan rakyat Malaysia perlu mengikut contoh itu dan memberikan sambungan pentadbiran kepada Barisan Nasional. Mendengar ucapan beliau itu, ramai termasuk diri saya hampir jatuh dari kerusi kerana hendak menyamakan beliau sebagai Barack Obama dan beliau tidak nampak bagaimana AS telah melakukan perubahan acapkali dalam pilihanraya Presiden di negara itu.

Di antara Parti Republican dan Demokrat, mereka ini telah bertukar-tukar dan bergilir gilir mentadbir negara kuasa dunia itu sejak negara itu merdeka 200 tahun dahulu. Najib sepatutnya tahu yang Presiden Jimmy Carter adalah dari parti Demokrat dan Presiden  George W Bush dan George Bush (senior) adalah dari Republican. Tidak tahu kah Najib yang Presiden Bill Clinton dan Obama adalah dari Demokrat?. Rakyat AS telah menukar parti-parti memerintah negara itu bergilir-gilir puluhan kali sejak kemerdekaannya dahulu.

Sebaliknya di negara kita, Tunku Abd Rahman, Tun Razak, Hussein Onn, Dr Mahathir, Abdullah Badawi dan sekarang Najib semuanya dari Barisan Nasional. Rakyat Malaysia belum pernah melakukan perubahan ini. Jika benar-benar hendak jadikan rakyat AS sebagai contoh kita mesti lakukan perubahan sekarang sebagaimana yang selama ini dilakukan oleh rakyat negara ‘Uncle Sam itu’.

Rakyat AS ada sebab untuk mengekalkan pentadbiran Obama kali ini seperti mana kita ada sebab untuk mengubah pentadbiran kita di Malaysia ini. Malahan Obama hanyalah merupakan Presiden dari parti Demokrat yang kedua selepas Clinton dalam beberapa dekad ini yang berjaya mengekalkan pentadbiran mereka buat kali kedua berturut-turut. Selain dari itu setiap Presiden dari parti Demokrat hanya mentadbir satu penggal sahaja.

Oleh itu Najib tidak perlu untuk menempel kejayaan orang lain untuk mencapai kejayaan sendiri. Pimpinan kerajaan sekarang elok elakan dari melihat AS dalam situasi ‘double Standard' kerana UMNO selalunya melihat AS sebagai sebuah negara yang tidak bermoral dan sebagai sebuah negara demokrasi yang tidak boleh kita ikuti. Mahathir berkata kita tidak boleh mengikut jejak AS kerana kita mempunyai demokrasi acuan sendiri. Kenapa kali ini pula dipuji rakyat AS kerana mengekalkan Obama sebagai Presiden buat penggal kedua?

Najib patut bergantung kepada kewibawaan sendiri. Tidak payah menumpang kewibawaan Obama. Bagi Najib untuk menjadikan Obama sebagai ‘equation’ dalam politik beliau ia merupakan satu perkara yang agak terlalu jauh dari yang sepatutnya. Jangan kita hendak samakan buah epal dengan bacang.

Di antara buah epal dengan buah bacang amat jauh perbezaannya. Buah bacang ini sangat kuat baunya dan boleh di hidu dari jauh. Baunya itu memeningkan kepala kita. — aspanaliasnet.blogspot.com

* Ini adalah pandangan peribadi penulis atau penerbitan. The Malaysian Insider tidak semestinya bersetuju dengan pandangan ini melainkan dinyatakan secara spesifik.

 


 

 

Comments