Rencana

Orde Melayu Baru – Anuar Mohd Nor

January 26, 2013

26 Jan – Kiblat kaum sudah runtuh. Mungkin itu yang ada hari ini. Isu perkauman tidak lagi wujud – perbezaan kaum tidak lagi menjadi isu – siapa memimpin dari kaum mana bukan lagi bahan besar tetapi yang penting kualiti kehidupan.

Apa peduli siapa kepimpinan kita, kata seorang anak muda Melayu bila berbicara dengan saya baru-baru ini. Kalau di bawah pemerintahan Cina kita lebih baik – apa salahnya.

Kita tidak perlu takut dan kita selama ini pun hidup di bawah kepimpinan Melayu – Melayu cam itu juga, ujarnya lagi. Saya bertanya semula – hidup di bawah pemerintahan Melayu – cam tu juga, apa maksud nya.

Beliau menjawab, apa yang istimewa sangat untuk orang macam saya ini, dari saya melihat Melayu yang istimewa itu buat berlipat kali ganda – angkuh dengan kuasa dan merasakan mereka saja yang betul biar sekali mereka dihukum kepimpinan Cina yang lebih adil.

Mereka tidak ada lagi demarkasi kaum dalam menceritakan politik. Mereka tidak lagi memikirkan bahawa perjuangan Melayu itu relevan dan mereka kini hanya mahu membalas – pendedahan yang timbul akibat kepincangan kepimpinan yang ada dalam menyeret nama perjuangan Melayu kemudiannya meninggalkan nama Melayu sehingga ia perlu digunakan semula pada PRU akan datang.

Ini adalah apa yang mahu mereka katakan dan merebaknya idealis kumpulan ini dan sejauh mana ia sudah berkembang masih belum dapat kita pastikan lagi.

Adakah ini sebenarnya apa yang dikatakan liberalis Melayu. Adakah ini orde baru masyarakat Melayu di negara kita atau pun ini adalah liberalis persepsi yang terbentuk akibat gelodak dan gelombang politik yang terbit sejak 1998 – sejak gelombang reformasi yang juga merupakan pertempuran politik yang terbit dalam UMNO sendiri.

Setiap kali ada pukulan kemelut dalam UMNO maka setiap masa itulah perubahan berlaku. Semua kerana kemelut dalaman dan bukan sedikit pun kerana anasir luaran yang cuba mendominasi kuasa. Semua berpunca dari kemelut dalaman – paling sahih tidak melibatkan kaum lain dalam percaturan dalaman sendiri.

Politik hari ini, percanggahan semakin besar antara perebutan kuasa yang pernah politik Malaysia saksikan adalah kerana masalah dalaman sendiri. Persengketaan dalaman inilah yang hari ini menjadikan politik Malaysia semakin bergelora, semakin panas dan semakin kuat membunuh pola-pola pemikiran kuno dan ortodoks.

Semakin diteruskan semakin terbelah kesatuan dalam kerangka kaum dan Melayu semakin terhakis dan semakin liberal dalam mengertikan perjuangan bangsa.

Perjuangan bukan pada kaum dan kaum Melayu itu tidak penting dipertahankan – yang penting adalah kedudukan kehidupan tidak kira siapa dan kaum mana memerintah.

Persoalan ini semakin kompleks kerana tidak ada sesiapa yang dapat memberi anggaran tepat kehendak liberalis Melayu dan adakah arah itu yang hari ini dipilih oleh Melayu. Kalau itu arah yang dipilih maka semakin besarlah masalah UMNO yang menjadi nadi kepada kaum Melayu sebelum ini dan semakin tidak tepat arah perjuangan UMNO dalam usaha membela Melayu dan mendapatkan undi Melayu.

Adakah semua ini orde Melayu Baru? Adakah Melayu Baru itu tidak lagi terikat pada budaya Melayu yang dipegang lama sebelum ini? Adakah Melayu itu tidak lagi terikat dengan Islam dan politik Melayu yang ada sejak dahulu lagi. Dan adakah mungkin – Melayu bukan faktor penentu dalam PRU akan datang dan ini menjadikan pengiraan politik UMNO untuk merangkul undi Melayu bagi mempertahankan kuasa tersasar jauh.

Maka kita tunggu jawapan pada persoalan ini kelak – selepas keputusan PRU 13 nanti.   

* Artikel ini telah dimuat turun di sini.

** Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi