Rencana

Pakatan Rakyat: Berbeza tetapi bersatu — Aspan Alias

17 DIS — Saya mendapat banyak pertanyaan tentang perbezaan di antara Karpal Singh dan PAS terutamanya setelah mendengar ucapan Karpal dalam kongress tahunan DAP yang telah berlangsung di Pulau Pinang. Dalam ucapan beliau, Karpal telah berlembut serta mengakui yang PAS merupakan rakan yang terkuat DAP dalam Pakatan Rakyat walaupun ada beberapa perkara yang berbeza di antara kedua-dua parti itu terutamanya tentang isu yang berkaitan dengan agama Islam dan hukum-hukumnya.

Mereka bertanyakan perkara ini kerana saya telah menyertai parti itu di dalam kongress yang sebelum ini pada 8hb Januari yang lalu. Oleh kerana pertanyaan itu datangnya bertalu-talu akhir-akhir ini maka saya merasakan saya perlu memberikan jawapan walaupun ia merupakan jawapan yang pendek sahaja.

Seperti MCA dan Umno juga, maka DAP dan PAS tentulah mempunyai perbezaan di antara kedua-duanya. Kalau tidak ada perbezaan maka tidak mungkin wujud dua parti PAS dan DAP. Perbezaan itu memang satu hakikat dan tidak mungkin kedua-dua parti itu sama. Itulah sebabnya ada elemen permuafakatan di antara kedua-dua parti itu bersama PKR dalam apa yang di sebut sebagai Pakatan Rakyat.

Oleh kerana wujudnya perbezaan-perbezaan inilah maka timbul usaha permuafakatan yang kuat dengan matlamat yang kedua-duanya anggap sebagai matlamat yang baik. Jika tidak ada elemen perbezaan maka tidak mungkin ada permuafakatan. Begitu jugalah dalam BN atau pun Perikatan sebelumnya. MCA dan Umno itu jauh perbezaannya. MCA hanya untuk bangsa Cina dan Umno merupakan satu parti pada asalnya sebagai parti nasionalis Melayu yang sekarang sudah menjadi parti untuk tawkay-tawkay dan kroni pemimpin Melayu yang berkuasa.

Kedua-dua pihak samada dalam BN atau Pakatan Rakyat parti-parti yang menganggotai kedua-dua “coalition” itu merupakan parti-parti yang berbeza. Maka wujud kerjasama di antara parti-parti yang menganggotai komponen BN dan PR itu. Dalam BN itu sendiri, khususnya Umno itu sendiri berbeza dengan Umno yang kita kenali dahulu. Sekarang Umno itu untuk kepentingan gulungan eksklusif sedangkan Umno sebelum ini adalah parti untuk orang Melayu yang ramai-ramai itu.

Walau bagaimana pun ada perbezaan di antara kerjasama Pakatan Rakyat (PR) dengan kerjasama di antara parti-parti dalam BN. Dalam perebutan mengambil hati dan jiwa rakyat yang mengundi, BN selalu memainkan kenyataan-kenyataan Karpal Singh terutamanya yang kadangkala berbeza di antara pemimpin PAS kerana masing-masing mempunyai perbezaan yang berbeza itu. 

Tetapi itulah sebenarnya cara yang baik: masing-masing mesti zahirkan perasaan walaupun ia menunjukan perbezaan. Masing-masing tegas dengan perjuangan masing-masing dan dalam keadaan itu mereka akan mencari jalan untuk mendapatkan jalan tengah yang bersesuaian dengan perjuangan kedua-dua parti yang berbeza itu. Itulah permuafakatan, berbeza tetapi bersatu dalam mencari matlamat yang baik bagi rakyat yang di pimpin oleh masing-masing parti tanpa menanggung perasaan masing-masing.

Tetapi di dalam BN pula sekarang ini tidak ada percanggahan yang ketara di antara kedua-dua parti Umno dan MCA sedangkan mereka berbeza. Malahan perbezaan di antara Umno/MCA adalah lebih besar dengan perbezaan PAS/DAP. Tetapi dalam BN ada pihak yang terpaksa menjadi pak turut dan sanggup maruah partinya dan agamanya di permainkan oleh rakan komponennya. Isu yang paling ketara ialah penghinaan terhadap Islam yang dilakukan oleh Chua Soi Lek di depan mata Najib sendiri semasa Perhimpunan Agung parti MCA baru-baru ini.

MCA tidak langsung memikirkan perasaan orang-orang Melayu Islam dan Najib pula terpaksa berdiam diri kerana bagi beliau menjaga kedudukan beliau dan kroni beliau itu adalah lebih penting dari mempertahankan agama beliau. CSL begitu bebas menghentam agama kita Islam ini tanpa mendapat reaksi dari Najib dan mana-mana pemimpin Umno. Kalau begitu sikap pimpinan Umno maka sudah tentulah tidak ada kenyataan-kenyataan yang bercanggah kerana Umno membiarkan sahaja rakan kongsinya menghina bangsa dan agama sekendak hati mereka (MCA).

Tetapi dalam Pakatan Rakyat ada perbezaan pandangan tentang satu-satu isu khususnya tentang agama dan hukum-hukumnya. Pimpinan PAS dan DAP tidak menyorokkan perasaan mereka dan akan memberikan pandangan itu secara terbuka dan demokratik. Dalam pada itu sentiasa mencari jalan kesederhanaan di antara mereka. Secara rasminya DAP telah mengakui yang parti itu menghormati agama Islam seperti mana Islam dan penganutnya menghormati agama-agama yang lain.

PAS pula menghormati DAP dan parti-parti lain dan akan melaksanakan hukum hudud atau apa-apa hukum yang di syariatkan oleh Tuhan dan Rasulnya untuk orang Islam sahaja. Dengan cara itu PAS tidak meninggalkan kehendak agama Islam tetapi bersama-sama dalam siasah dan bermuafakat bagi mencapai matlamat yang murni itu menjaga kepentingan negara dan rakyat dalam erti kata yang sebenarnya.

Itulah saya sentiasa berkata yang kerjasama di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat adalah lebih meyakinkan dari kerjasama parti-parti yang berbeza dalam BN. Di dalam PR masing-masing akan mempertahankan nilai dan agama masing-masing di samping bekejasama sedangkan di dalam BN Umno terpaksa berdiam diri dengan kutukan MCA terhadap bangsa Melayu dan agama suci kita semata-mata untuk mendapatkan undi bangsa Cina yang MCA sudah tidak dapat menguasai lagi.

Umno terpaksa menjadi parti dayus semata-mata untuk kuasa walaupun agama dan bangsanya telah di hina dan di perlekehkan oleh MCA. Bagi Umno, dayus pun dayuslah, asalkan mendapat kuasa sekali lagi dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Itulah baiknya di sebelah Pakatan Rakyat. Masing-masing boleh menyatakan perbezaan secara terbuka tetapi tidak berpecah kerana masing-masing bersatu dan bermuafakat untuk mencapai matlamat yang satu iaitu untuk mengasuh rakyat untuk hidup saling kasih mengasihi di antara satu dengan yang lain. — aspanaliasnet.blogspot.com

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

Comments