Rencana

Pandangan terhadap keterlibatan Umi Hafilda ― Abdul Hadi Jusoh

March 10, 2013

10 MAC ― Saya hairan apa lagi yang mahu diharapkan daripada orang seperti Umi Hafilda ini, sehingga masih diberikan ruang oleh TV3 untuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan kitar semulanya, yang sudah boleh dianggap lapuk ditelan dek kewarasan dan kebijaksanaan rakyat.

Pada saya, semakin ditonjolkan insan yang bernama Umi Hafilda ini, maka akan semakin depreciate nilai dan kredibiliti kerajaan, seolah-olah spt menerima “offsetting effect back to premium”, setelah ratusan juta “tax payer money” ditaburkan kepada rakyat atas nama membela nasib dan kebajikan rakyat.

Sayang sungguh, pencatur-pencatur Umno & BN ini tidak berfikir panjang dan masih begitu rendah hikmahnya, pada saat-saat nyawa sudah berada di halkum, tatkala mahu berdepan dengan PRU 13 kubra, yang barangkali inilah kali ke penyudahan di sepanjang legacy Umno bertakhta sejak tahun 1957 di tanahair yang tercinta ini.

Sayang seribu kali sayang, pencatur-pencatur Umno yang diharapkan untuk memikul amanah keupayaan bangsa, umat dan agama ini, tidak pernah mengenal erti serik dan sesal, walaupun sudah banyak kali diuji. Namun, masih lagi mahu mengikat diri mereka dengan segala kefasidan serta kefasikan diri, demi mempertahankan kerakusan dan kezaliman mereka ketika berada di kemuncak kuasa.

Inilah antara bahananya, apabila politik secara amal Islami tidak dihayati dan diteladani di pelbagai peringkat kepimpinan, malah begitu diidolakan politik kapitalis yang sudah terang-terangan menjurus ke arah kebobrokan bangsa, umat dan agama.

Yang difikirkan hanyalah untung politik semata-mata, sehingga apa saja wasilah dan manhaj akan digunakan, demi meraih dan mengekalkan kuasa dan habuan politik. Walaupun, terpaksa membuang jauh-jauh nilai dan akhlak serta akidah diri. Situasi ini juga tidak mustahil untuk turut meresap dan mengakar umbi dalam Pakatan Rakyat.

Sudah nampak benih-benih dan petanda-petandanya pada saat kuasa hanya sebesar biji sawi, perebutan demi perebutan, pertelingkahan demi pertelingkahan, lompatan demi lompatan, hanya semata-mata terkedu akibat apa yang didambakan, apa yang diimpikan tidak dikecapi. Ingatlah, dalam barisan dan pakatan mana kita berada, pejuang-pejuang Islam yang mebawa mesej kebenaran dan keadilan sejati tidak akan sesekali ternoda semangat dan hadaf juang mereka, akibat teruja dengan timbunan ghonimah politik di depan mata.

Ya Allah, berikanlah hidayah serta petunjuk yang benar kepada pemimpin-pemimpin kami agar mereka sentiasa meletakkan iman, Islam dan Ihsan sebagai ramuan perjuangan mereka. Terima kasih

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi