Rencana

PAS dan doa — Awang Selamat

November 19, 2012

19 NOV — Kalau sudah terbawa-bawa pendekatan ekstrem, hal yang mengarut dan bercanggah dengan Islam pun boleh dilakukan.

Sebab itu, Awang tidak terkejut dengan doa PAS yang meminta Allah SWT agar menjahanamkan Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Doa itu dibacakan selepas solat hajat sempena Muktamar PAS di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru.

Sepatutnya doa itu ditumpukan kepada membina perpaduan ummah, lebih-lebih lagi umat Islam yang baru menyambut Maal Hijrah.

Alangkah baiknya juga jika perhimpunan itu mengambil kesempatan mendoakan keselamatan rakyat Palestin yang kini menghadapi serangan besar-besaran tentera Israel.

Atau berdoa bagi menangani isu-isu kritikal yang mengancam umat Islam seperti penyebaran meluas fahaman pluralisme, liberalisme dan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang menjadi-jadi.

Pada Awang, doa PAS itu sekali lagi mencerminkan cara berpolitik parti tersebut yang merugikan umat Islam. Parti dan kaum lain berpolitik tetapi tidak sampai menyalahgunakan agama. DAP tidak pernah berdoa untuk menjahanamkan MCA dan Gerakan.

Sebenarnya tiada parti politik berlabel Islam di dunia yang bertindak seperti itu melainkan PAS. Ramai yang masih ingat bagaimana pemimpin PAS mengeluarkan fatwa mengkafirkan sesama orang Islam. Seperti yang dijangka Presiden PAS, Hadi Awang mempertahankan doa tersebut. Renungkanlah... — Utusan Malaysia

* Ini adalah pandangan peribadi penulis atau penerbitan. The Malaysian Insider tidak semestinya bersetuju dengan pandangan ini melainkan dinyatakan secara spesifik.

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi