Rencana

PAS hendak dihancurkan dengan Syiah? – Mohd Sayuti Omar

December 13, 2013

Apa yang dimaksudkan oleh Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi orang nombor dua di dalam PAS menganuti fahaman Syiah, adalah sah Mohamad Sabu yang kini adalah Timbalan Presiden PAS.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Abdul Rahim Radzi ketika mendedahkan bukti penglibatan Mohamad Sabu dalam Syiah.

Dalam satu sidang akhbar khas yang dinanti-nanti umum di Putrajaya hari ini, Rahim menjelaskan ada 10 fakta yang dikumpul termasuk maklumat daripada Mohamad sendiri yang boleh mengaitkan Timbalan Presiden PAS itu sebagai Syiah.

Antara maklumat itu kata Rahim ialah, berdasarkan tulisan Mohamad Sabu di dalam Harakah yang menggesa agar mencontohi semangat kepimpinan Imam Khomeini. Selain itu adalah juga hasil temuramah dengan seorang ustaz oleh pegawai agama KDN berhubung penglibatan Mohamad Sabu.

Kekaguman Mohamad Sabu kepada kepimpinan Imam Khomeini semasa memerintah Iran juga turut disebut sebagai bukti. Yang lainnya, mengenai pertemuan Mohamad Sabu dengan Setiausaha Agung Syiah Lubnan, Sayyid Hassan Nasrullah. Jika tidak silap pertemuan ini dirakam dan disebarkan meluas dalam internet. Bukti lain tentang kunjungan Mohamad ke sebuah masjid di Satun, Thailand.

Selain bukti itu juga termasuk kehadiran Mohamad Sabu dalam pengajian Syiah yang dikendalikan oleh ustaz fahaman Syiah di negara ini. Mohamad juga dikatakan sembahyang seperti penganut fahaman Syiah apabila meletakkan batu leper di tempat sujud. Bukti ini menurut pengakuan seorang imam di Kedah.

Kalau diperhatikan kepada bukti-bukti itu, ia tidak cukup kuat untuk mendakwa dan mengheret Mohamad Sabu ke mahkamah atas tuduhan menganuti ajaran Syiah dan disabitkan dengan mana-mana hukum agama. Ia merupakan bukti berbentuk persepsi dan terjemahan 'hanyir' secara bebas. Tidak mudah untuk mempertahankan bukti itu sebagai salah atau sesat dengan kitab-kitab agama, kerana persoalan Syiah subjektif dan khilafiah.

Jelas 10 bukti itu sangat lemah dan sengaja diada-adakan. Bahkan pendedahan bukti itu sekaligus menunjukkan kelemahan pihak KDN sendiri bagi mengemukakan bukti yang lebih konkrit. Pendedahan bukti seperti itu memalukan pasukan PDRM khasnya unit agama. Apabila Zahid menyerahkan kepada KSU isu yang beliau dedahkan, tidak berani mendedah sendiri orang tahulah bau sebenar usus Zahid Hamidi.

Daripada beberapa pembuktikan itu tidak ada pembuktian yang mendedahkan Mohamad Sabu cuba menganjurkan gagasan berlandasan kepada fahama Syiah seperti mana difahamkan. Adakah Mohamad pernah mengajak rakyat bangkit melakukan keganasan mempertahanakan Syiah dan menumbangkan kerajaan menggunakan senjata?

Apakah sekadar sembanyang dengan meletakkan batu leper (entah apa-apa itu) di tempat sujud, satu ancaman kepada keselamatan negara dan akidah? Rasanya masih ada perkara atau kelakuan lebih besar daripada perbuatan itu yang boleh mengancam keselamatan negara dan akidah ummah misalnya Freemesson dan sebagainya. Moleklah kalau para imam dan pemantau agama memperluaskan skop penyiasatan mereka dan tambahlah ilmu agar sesuatu yang disimpulkan itu tidak nampak kebodohannya.

Majlis-Majlis Agama Islam Negeri sendiri masih kabur (belum sepakat) mengenai soal Syiah ini dimana tidak ada penjelasan tuntas berhubung perkara ini sebagai panduan. Syiah itu sendiri tergolong pelbagai aliran. Peliknya dalam satu masa sesetengah orang Malaysia membenci dan mengutuk Syiah tetapi dalam sudut lain sedia berkunjung ke negara yang tegar mengamalkan Syiah? Misalnya Iran yang dikatakan negara berfahaman Syiah. Kalau kerajaan Malaysia bimbang dengan penularan fahaman ini putus saja hubungan diplomatik dengan negara-negara berfahaman majoriti Syiah.

Bukti-bukti yang disebut hari ini juga merupakan perkara yang telah basi (klise) kerana ia sudah diperkata dan didebatkan di kalangan sesetengah ahli PAS yang anti Mohamad Sabu. Bukti-bukti itu juga dijadikan bahan kempen untuk menjatuhkan Mohamad Sabu dalam muktamar lalu. Tetapi ternyata ia tidak berjaya dan Mohamad Sabu ampuh di kerusinya. Ini bermakna ahli PAS tidak menerima alasan dan pembuktikan itu untuk mengaitkan Mohamd Sabu sebagai Syiah sesat tidak mencukupi.

PAS sebagai parti dianggotai Mohamad Sabu tentu lebih tahu sejauh mana ahlinya itu melanggar syariat atau membahayakan kepada akidah umat Islam dan ahlinya. Yang jelas tidak ada apa-apa tindakan daripada PAS. Jadi tidak perlu pemimpin Umno cuba hendak membentukkan akidah orang-orang PAS atau jemaah itu sendiri sedangkan akidah Umno belum tentu benar.

Dalam konteks ini PAS dirasakan lebih arif, adil dan 'fakeh' Islam berbanding KDN dan Zahid sendiri mengenai hal ini.

Mengenai kononnya Mohamad menghadiri pengajian dikendalikan Syiah itu, apakah ustaz berkenaan telah didakwa dan ditangkap? Sepatutnya ustaz itu patut didakwa terlebih dahulu dan disumbat ke dalam penjara? Pandangan yang diambil dari hanya ustaz ahli sunnah wal jemaah tertentu tidak mencukupi kerana mungkin mereka lebih bersifat peribadi dan sesuatu ulasan dibuat ke atas Syiah penuh dengan amarah.

Bila mengenangkan kesungguhan Zahid dalam isu ini menyebabkan timbul dua persoalan di kepala saya. Pertama, kenapa beliau menyerahkan soal Syiah dan pemimpin PAS itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom? Kenapa ia tidak diurus sendiri (pinjaman perkataan Ahmad Yaakub), semasa beliau menjadi menteri agama dulu.

Antara tuduhan yang cuba babitkan Mohamad Sabu dengan Syiah itu bukan perkara baru, misalnya sokongan Mohamad kepada semangat revolusi Iran berlaku sejak tahun 1982 dulu lagi. Bahkah kepimpinan ulama di dalam PAS itu sendiri bersumber daripada kejatuhan Shah Iran, Reza Pehlwi setelah kebangkitan Imam Khomeini. Dan yang berkunjung ke Iran bukan saja Mohamad tetapi masih ada pemimpin PAS lain yang lebih fakeh. Tetapi kenapa ketika itu Zahid hanya mendiamkan diri? Kenapa? Kenapa?

Justeru, saya menduga Zahid ada ageda dan niat tersendiri yang busuk apabila tidak semena-mena mencari populariti dengan cuba mengaitkan Mohamad Sabu dan PAS dengan Syiah itu. Apabila dia letakkan masalah itu ke bahu Jamil Khir seolah-olah beliau sengaja ingin menekan Jamil Khir dengan masalah itu. Dia sendiri mungkin sedar bukan mudah untuk meleburkan Mohamad Sabu dan PAS dengan isu Syiah ini. Boleh jadi ada sesuatu yang tidak beres di antara beliau dengan Jamil Khir maka Jamil Khir harus disusahkan. Ada dendam yang hendak dibalas?

Khabarnya Zahid tidak berpuas hati dengan tindakan Jamil Khir yang membatalkan berberapa proposal semasa beliau menjadi menteri agama. Ada satu projek pembangunan berhampiran rumah saya telah diluluskan ketika Zahid jadi menteri agama tetapi dibatal oleh Jamil Khir. Kita bercerita diwaktu lain perkara ini.

Persoalan kedua, boleh jadi Zahid ada agenda lebih jauh dan lebih kohong daripada itu. Beliau sengaja menimbulkan isu Syiah dan membabitkan pemimpin nombor dua PAS untuk memburukkan PAS itu sendiri. Mungkin dalam pemikirannya kalau pemimpin PAS dikaitkan dengan Syiah menyebabkan PAS sebagai sebuah organisasi boleh diharamkan. Matlamatnya di sini ialah mengharamkan PAS? Atau setidak-tidaknya memecahkan PAS kerana dengan berpecah itu cukup mudah Zahid membina pengaruhnya di dalam Umno bagi menjadi perdana menteri? Hasrat Zahid yang satu ini sudah tidak dapat disembunyikan lagi.

Apakah ini dan itu tujuan dan alasan Zahid? – msomelayu.blogspot.com, 13 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi