Rencana

PAS sudah ada 25 kerusi dalam tangan – Mohd Sayuti Omar

November 14, 2012

NOV 14 – Bila orang bertanya saya mengenai kedudukan dan peluang PAS di Kelantan dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang saya menjawab begini; setakat hari ini PAS masih mampu membentuk kerajaan tetapi bukan dengan majoriti lebih 2/3 tetapi dengan majoriti tipis.

Kedudukan ini berdasarkan angka dan suasana semasa. Saya meletakkan PAS melebihi Umno dua atau tiga kerusi saja. Angka hampir sama gagah iaitu PAS 25, Umno 20 kerusi. Saya tidak mahu menggunakan istilah status quo seperti tahun 2004. Kenapa?

Di atas kertas bagi PAS mereka mempunyai 15 kerusi yang betul-betul sedap duduk. Ini berdasarkan kepada jumlah majoriti yang diperolehi dalam pilihan raya lalu. Kalau pun undi wakil-wakil berkenaan merosot hingga 20 persen mereka masih dapat mengawal kerusi mereka.

Kerusi-kerusi itu ialah; Kelaboran (2,212), Pasir Pekan (4,516), Chempaka (4,249), Panchor (3,437), Tanjung Mas (6,112), Kota Lama (5,206), Bunut Payung (4,341), Pengkalan Pasir (2,348), Chetok (2,670), Meranti (3,135), Salor (3,232), Pasir Tumbuh (3,403), Demik (4,799), Tawang (3,278) dan Bukit Panau (4,148).

Kerusi-kerusi ini boleh disifatkan sebagai kerusi paling selamat untuk PAS dan tidak mungkin dapat digugat oleh BN dengan perkembangan dan bentuk-bentuk kempen BN yang ada hari ini. Pas juga tidak perlu menukar atau menyalin calon-calon untuk kerusi ini kecuali ada sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Dengan kedudukan ini secara mudah PAS hanya memerlukan lapan kerusi saja untuk mendapat majoriti mudah, 23 kerusi. Lapan kerusi itu PAS boleh mengambilnya daripada kerusi-kerusi yang dimenangi dengan majoriti antara 1,000 hingga 2,000 undi.

Terdapat 12 kerusi yang dimenangi PAS dengan majoriti antara 1,000 hingga 2,000. Kerusi itu ialah Tendong (1,656), Jelawat (1,022), Melor (1,616), Kadok (1,802), Gual Ipoh (1,663), Kemahang (1,833), Limbongan (1,633), Pulai Chonbdong (1,535), Temangan, (1,239), Mengkebang (1,903), Manek Urai (1,352) dan Perupok (1,270). Sebuah kerusi milik PKR, Guchil (1,000) boleh juga diambil kira.

Berdasarkan status itu PAS dengan mudah akan dapat mempertahankan kerajaan Kelantan. Ertinya paling busuk sehingga hari ini PAS akan memperolehi 25 kerusi ke atas. Sekiranya Pas dapat merampas sekurang-kurangnya tiga dari enam kerusi dimenangi Umno ini bermakna Pas akan berkedudukan selesa memperolehi 28 kerusi.

Terdapat tiga kerusi Umno yang menang dibawah 1,000 undi. Kerusi itu ialah Bukit Bunga (348), Pengkalan Kubur (100) dan Kok Lanas (550).

Pun begitu PAS tidak boleh bersedap hati. PAS perlu juga insaf dan sedar bahawa parti itu mempunyai 10 kerusi yang dimenangi dibawah 1,000 undi di mana kerusi-kerusi ini menjadi idaman utama Umno. Kerusi-kerusi berkenaan ialah; Wakaf Baharu (660), Gual Periok (733), Bukit Tuku (456), Galas (646), Selising (783), Semerak (831), Gaal (323), Kemuning (916), Air Lanas (795) dan Dabong (552). Kerusi-kerusi ini merupakan kerusi ‘senak’ buat PAS dan diletakkan dalam lingkungan warna kelabu.

Seandai Umno dapat merampas kerusi-kerusi ini tanpa kehilangan enam kerusi dimiliki kini bermakna Umno akan memperolehi 15 kerusi. Pencapaian ini merupakan peningkatan kepada Umno di dalam pilihan raya nanti dan merupakan angka yang cukup munasabah buat masa ini.

Bagaimana pun harus diingat, politik itu serba mungkin dan tidak mustahil Umno dengan usaha bersungguh-sungguh akan berjaya merampas kerusi-kerusi dianggap kritikal ini. Sekiranya Pas selesa dengan keadaan hari ini, ia tidak mustahil bagi Umno yang mempunyai semangat juang lebih tinggi dari PAS mampu membuat up-set.

Justeru PAS perlu bertindak segera mengambil langkah bagi memperkukuhkan kerusi-kerusi berkenaan. Salah satu tindakan yang patut dilakukan PAS perlu menukar wakil rakyat yang ada kini kepada muka baru yang lebih dinamik dan komited dengan parti. PAS tidak perlu takut untuk mengorbankan mereka walaupun mereka dari latar belakang ustaz dan senantiasa berjubah dan tasbeh ditangan. Dalam dunia politik tasbeh tidak banyak membantu.

Wakil-wakil rakyat yang mewakil 10 kerusi ‘senak’ berkenaan ialah; Che Abdullah Mat Nawi (Wakaf Baharu), Abdul Fatah Haron (Bukit Tuku), Muhammad Awang (Gual Periok), Arifabillah @ Mohd Asri Ibrahim (Dabong), Wan Hassan Wan Ibrahim (Semerak), Dr Nik Mazian Nik Mohamad (Gaal), Drs Saiful Baharin Mohamad (Selising), Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (Kemuning) hendaklah ditukar dengan muka baru.

Kebetulan pula mereka itu semua bermasalah (kecuali Wan Ahmad Lutfi dan Che Abdullah), jadi elok kalau yang lain itu diusahakan tukar atau pun mereka sendiri mengangkat bendera putih untuk berundur dengan terhormat. Ternyata mereka gagal menunjukkan perfomance sebagai wakil rakyat yang sesuai dengan zaman ini. Sesetengahnya masalah dihadapi adalah masalah moral.

Keperluan menukarkan calon-calon ini juga bukan saja terkira kerana majoriti yang dicapainya rendah, kurang 1,000 tetapi wakil rakyat yang selalu sakit, uzur, malas dan tidak memberi sumbangan besar kepada parti dan kerajaan juga perlu dirihatkan.

Misalnya Adun Melor Wan Ismail Wan Jusoh dan Drs Zainuddin Awang Hamat yang sakit dan bermasalah wajar dirihatkan. Abdul Halim Abdul Rahman (Chetok), Rohani Ibrahim (Tanjung Mas) yang kurang berfungsi perlu difikirkan untuk dirihatkan sama. Mereka ini perlu diberi kefahaman, agar berfikir meletakkan kepentingan parti melebihi dari kepentingan peribadi.

Kebetulan juga mereka ada yang sudah dua penggal atau lebih berkhidmat, seperti Wan Ismail, Abdul Halim, Drs Saiful Baharin, Rohani Ibrahim, Dr Nik Mazian dan Abdul Fatah Haron.

Tidak keterlaluan dikatakan kalau PAS sedia melakukan muhasabah dan membuat pembaiki ke atas calon dan wakil rakyat untuk menstabilkan PAS. Dan sekiranya gelombang ke Putrajaya melantun sampai ke segenap kampung dan ceruk di Kelantan, Umno tidak payah bermimpi untuk merampas Kelantan, kemungkin juga parti itu akan ditimpa sejarah seperti tahun 1990 di mana Umno akan gagal memperolehi satu kerusi pun di Kelantan.

Sejarah dalam kehidupan dan politik juga selalu berulang. Sebaliknya kalau PAS masih merasa complacent dengan keadaan yang ada dan terus mengambil calon berdasarkan laporan dan rekomen dari kawasan (atau dipilih secara dalam berdasarkan kroni) tidak mustahil juga PAS boleh menangis tidak beriramal dan akan berlaku istidraj politik. [wm.kl.12:33 t/hari 13/11/12]

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi