Rencana

Pelantikan pemerhati pilihan raya umum ke-13 — Amin Ahmad

February 01, 2013

1 FEB — Pada tanggal 31 Januari 2013 telah berlangsung acara pewatikahan pemerhati domestik pilihan raya umum ke-13 bagi semenanjung Malaysia. Acara sederhana ini diadakan di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebanyak lima buah organisasi diberikan watikah ini: Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Merdeka Center for Opinion Research (Merdeka Center), Center for Public Policy Studies (CPPS), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Gabungan Bertindak Orang Kelainan Upaya (OKU).

Sebelum ini organisasi lain juga turut dijemput iaitu National Institute on Electoral Integrity (NIEI), Proham dan Transparency International-Malaysia (TI-M). Namun ketiga-tiga organisasi telah menarik diri dari awal hingga yang terakhir pada awal Januari yang lalu.

Di Sabah dan Sarawak sejumlah organisasi lain akan dilantik.

Sejarah pemerhatian pilihan raya

Sebenarnya pemerhatian pilihan raya bukanlah baru. Meskipun umumnya pilihan raya mula diambil sebagai cara praktikal untuk pemilihan kerajaan, proses pengundian telah mula dijalankan lebih awal dalam hal-hal lain.

Kes paling awal dicatatkan berlaku pada tahun 1857 di mana perwakilan daripada negara Austria, British, Perancis, Prussia, Russia dan Turki telah bersetuju membentuk sebuah suruhanjaya untuk memerhati pengundian berkaitan isu pertikaian kawasan Moldavia dan Wallachia.

Pemerhatian pilihan raya hanya mula berkembang selepas Perang Dunia ke-2, apabila banyak negara mula dibina semula. Ia semakin menjadi kebiasaan dalam dua dekad terakhir.

Pada tahun 2005, Kofi Annan selaku Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ketika itu telah menyatakan sokongan kepada Pengisytiharan Prinsip Pemerhatian Pilihan Raya Antarabangsa.

Ia merupakan usaha pertama untuk menggariskan kod amalan pemerhati bagi memastikan integriti objektif dan pemerhatian pilihan raya yang tidak memihak.

Pengalaman pemerhatian di Malaysia

Di Malaysia pemerhatian pilihan raya sebenarnya telah berlaku sejak 1980-an lagi, pada skala kecil dan berkembang kemudiannya. Pernah ada usaha untuk mewujudkan keanggotaan pemerhati yang terdiri daripada Ketua Hakim, Ketua Audit Negara, Majlis Peguam, Ahli Akademik dan wakil badan bukan kerajaan. Selain itu, pemerhati daripada negara-negara Komanwel juga pernah terlibat.

Selepas PRU-10 pada tahun 1999, berikutan beberapa kes yang berlaku, banyak dakwaan dan juga bantahan dibuat terhadap perjalanan pilihan raya tersebut. Rentetan itu sejumlah aktivis masyarakat telah bermesyuarat dan setuju agar sebuah organisasi ditubuhkan untuk menjalankan tugas-tugas pemerhatian pilihan raya ini. Justeru pada 18 Oktober 2003, Malaysians for Free and Fair Elections (MAFREL) ditubuhkan sempena PRU-11 yang dibuat pada Mac 2004.

Sejak itu, MAFREL telah dianggap oleh orang ramai sebagai sebuah badan yang khusus dan paling berpengalaman di Malaysia dalam menjalankan tugas sebagai pemerhati pilihan raya. Bahkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut memberikan kepercayaan besar kepada MAFREL untuk terus menjalankan tugas dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil kemudiannya.

Namun, bermula pilihan raya kecil Hulu Selangor, MAFREL sudah tidak lagi diberikan akreditasi oleh SPR untuk menjalankan tugas tersebut. Menurut SPR, MAFREL tidak lagi dilantik kerana gagal untuk menghantar laporan pemerhatian di sembilan siri pilihan raya kecil sebelum itu. Selain itu MAFREL juga turut didakwa memihak dalam memberikan kenyataan.

Sebagai seorang yang pernah terlibat menjadi sukarelawan pemerhatian pilihan raya MAFREL, saya mengerti sepenuhnya cabaran dalam menjalankan tugas sebagai pemerhati pilihan raya. Isu yang dibangkitkan oleh SPR berkaitan MAFREL sebenarnya perlu difahami bersama agar masalah ini tidak berulang dan tidak ditangani secara pertentangan.

Saya sedar MAFREL merekrut pemerhati pilihan raya secara terbuka di mana pemohon akan diberi latihan berkaitan prinsip dan kaedah gerak kerja selaras dengan piawaian antarabangsa dan undang-undang negara.

Bagaimanapun sukar untuk dipastikan sukarelawan di lapangan dapat mencatatkan keseluruhan pemerhatiannya kecuali apa yang berlaku di tempat mereka bertugas. Tidak dinafikan mungkin ada sebilangan sukarelawan ini tidak bersikap profesional semasa bertugas dan tidak mahu menghantar laporan pemerhatian kepada jawatankuasa pusat yang perlu memprosesnya.

Mungkin kenyataan yang ditafsir memihak semasa menjalankan tugas pemerhatian berlaku kerana skop paling mudah dilihat ialah penggunaan premis dan jentera kerajaan semasa kempen dibuat. Ini bagaimanapun berbeza jika kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan ditadbir oleh parti berbeza.

Jika ini berlaku peluang untuk melihat penggunaan premis dan jentera kerajaan boleh menjadi lebih berimbang meskipun kita tahu peruntukan kerajaan persekutuan jauh lebih besar.

Sebab itu jika boleh ahli politik yang memegang jawatan dalam kerajaan mengambil contoh terbaik yang ditunjukkan oleh YAM Tunku Abdul Rahman. Beliau cukup sedar dengan pemisahan kerja-kerja politik kepartian dan tugasnya sebagai Perdana Menteri. Semasa tempoh kempen, beliau mengambil cuti dan menggunakan kenderaan peribadi untuk berkempen.

Hal-hal lain seperti pemberian wang sebenarnya agak sukar untuk dibuktikan kecuali pengumuman-pengumuman yang sering dibuat oleh ahli politik sendiri.

Pemerhati PRU-13

Sebagai organisasi yang diberikan akreditasi oleh SPR untuk menjalankan tugas pemerhatian PRU-13, IDEAS sebenarnya percaya bahawa pilihan raya adalah amalan berkepentingan ramai. Justeru IDEAS yakin bahawa tugas pemerhatian pilihan raya sebenarnya bukanlah tugas badan-badan yang diberi akreditasi semata-mata. Orang ramai perlu mengambil tahu hak dan tanggungjawab masing-masing dan bertindak bersesuaian dengannya.

Maka, IDEAS mengalu-alukan minat banyak pihak untuk menjalankan pemerhatian sendiri sepanjang tempoh antara pembubaran parlimen sehingga keputusan pilihan raya diumumkan. IDEAS juga akan mengambil sekiranya ada bekas sukarelawan pemerhati dalam pilihan raya lalu yang pernah terlibat bersama MAFREL memohon menjadi sukarelawan di bawah gabungan kerjasama IDEAS-Merdeka Center-CPPS.

Berbeza dengan MBM yang mempunyai keahlian ramai di peringkat akar umbi melalui badan-badan gabungannya, dan Gabungan Bertindak OKU yang hanya akan memerhati di dua kawasan Parlimen), IDEAS, Merdeka Center dan CPPS merupakan organisasi kecil yang tidak mempunyai ahli di peringkat akar umbi tetapi hanya terlibat dengan kajian berkaitan demokrasi dan pilihan raya. Maka, ketiga-tiga organisasi ini telah mencapai kata putus untuk menjalinkan kerjasama dalam menjalankan gerak kerja pemerhatian pilihan raya umum ke-13.

Syaratnya mudah: berusia 21 tahun ke atas, tidak diisytihar bankrap atau dijatuhkan hukuman oleh mahkamah dalam apa-apa kesalahan jenayah, tidak memegang sebarang jawatan di dalam parti politik atau aktif dalam kempen parti politik dan boleh bersikap profesional semasa bertugas. Syarat-syarat lain ialah bersedia untuk mengikuti latihan intensif dan menghantar laporan pemerhatian dalam tempoh yang akan dimaklumkan semasa latihan.

Sebagai organisasi yang diberi akreditasi, keistimewaan yang akan diperolehi IDEAS dan organisasi lain sepertinya ialah akses ke pusat penamaan calon, akses ke pusat mengundi, akses ke pusat penjumlahan undi dan juga menghantar laporan rasmi untuk perhatian SPR dan semua pihak.

Bersama memastikan integriti pilihan raya

Meskipun telah menyatakan rasa tidak setuju kerana jawatankuasa pemandu juga tidak dibenarkan bercakap kepada media, organisasi-organisasi yang menerima watikah sebagai pemerhati mahu terus terlibat demi memastikan proses pilihan raya yang akan dibuat berlangsung dengan penuh integriti.

Sebagaimana semua pemerhati pilihan raya di seluruh dunia, pemerhatian pilihan raya dibuat untuk memastikan prosesnya diadakan dengan jujur, teratur, aman, bebas dan adil. Ia tidak semestinya dicapai melalui pertentangan semata-mata. Ia boleh dicapai dengan cara baik jika setiap pihak dapat memberikan komitmen dengan iltizam yang jitu. Parti-parti politik, penjawat awam, penyokong dan pengundi, SPR bahkan pihak pemerhati pilihan raya juga mempunyai tanggungjawab tersendiri dan bersama bagi memastikan proses pilihan raya berjalan sesempurna mungkin.

* Amin Ahmad ialah Pengurus Projek dan Operasi di IDEAS. Jika anda berminat menjadi sukarelawan pemerhati PRU-13, hantarkan resume ringkas (1-2 muka surat), gambar berwarna serta maklumat parlimen dan DUN di mana anda mengundi ke amin@ideas.org.my

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi