Rencana

Pembawa masuk pendatang asing adalah pengkhianat kedaulatan negara — Aspan Alias

1 FEB — Bertimbun-timbun dan berbeban-beban isu terhadap BN khususnya pemimpin Umno sejak dua tiga puluh tahun lalu. Kini terbongkar dan menjadi isu yang memakan diri BN sendiri. Itu sebabnya parti atau pemimpin yang baik mereka tidak akan melakukan perkara yang buruk walaupun mereka ada kuasa untuk melindunginya dari pengetahuan umum. Akhirnya apa yang disorok dan dilindungi bertahun-tahun dahulu terkeluar juga dan yang menghadapinya ialah Umno dan BN itu sendiri.

Tidak ada ruang yang cukup untuk menyenaraikan kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukan oleh Umno dan BN terutamanya di zaman pimpinan Dr Mahathir Mohamad dahulu. Budaya yang dicipta Mahathir itu menjadi ikutan kepada semua pemimpin yang mewarisi kepimpinan beliau itu. Kesalahan dan kesilapan Mahathir itu ditokok dan ditambah oleh pimpinan selepas beliau.

Dari masalah rasuah sehingga isu menyalahgunakan kuasa dilakukan oleh pimpinan Umno tanpa had. Mereka merasakan yang rakyat tidak akan tahu apa yang mereka lakukan sampai hari kiamat. Mereka menyangka kuasa yang ada di tangan mereka itu boleh menutupi segala-gala kesalahan mereka. Mereka seolah-olah tidak percaya yang adanya dosa dan pahala. Mereka seolah-olah tidak mahu menerima yang manusia itu tidak mati kerana yang mati hanyalah jasadnya sahaja. Itu sebab dalam sudut ketuhanan ada unsur pahala dan dosa.

Ada di kalangan isu yang tidak baik dilakukan oleh pimpinan negara selama ini boleh di kategorikan sebagai pengkhianat kepada bangsa dan negara (traitor) dan hukumannya mengikut undang-undang adalah berat. Tetapi kerja sehina ini selalu hanyalah dianggap sebagai kesalahan biasa dan tidak masuk ke dalam kategori pengkhianat negara itu.

Isu yang jelas yang boleh disebut sebagai isu pengkhianatan negara ialah membawa masuk pendatang haram dalam jumlah ratusan ribu yang diberi taraf kerakyatan yang menjadi isu besar sejak dahulu terutamanya di Sabah. Ia dilakukan oleh pimpinan besar negara. Tetapi oleh kerana ia dilakukan oleh pemimpin besar negara yang bergelar dan bernama ia tidak diambil tindakan dan sememangnya susah untuk menghadapkan mereka ke muka pengadilan.

Bagi mereka yang menyokongnya pula memberikan alasan yang Singapura yang maju itu pun membawa masuk orang asing dan diberikan kerakyatan. Tetapi kita tidak pula memberi tahu yang Singapura mengambil rakyat asing yang mempunyai pengalaman dan “professional” untuk membangunkan negara termaju di dunia itu. Di sebaliknya kita membawa masuk sampah sarap dan diberikan kad pengenalan untuk kepentingan politik dan undi bagi kerajaan yang memerintah.

Akhirnya mereka yang tidak berpelajaran dan samseng-samseng ini melakukan berbagai-bagai jenayah termasuk membunuh di negara ini dan mereka tidak menyumbang kepada kemajuan negara. Pendatang dari luar ini telah membawa padah dan kesusahan kepada rakyat tempatan. Setiap hari kedengaran jenayah-jenayah yang dilakukan oleh pendatang asing ini yang tidak pernah berlaku dan kita dengari semasa mereka belum dibenar untuk dibawa masuk ke negara ini.

Tidak salah jika kita andaikan yang penjenayahan yang begitu banyak berlaku dalam negara ini adalah di sebabkan pimpinan yang tidak bertanggungjawab dan pengkhianat negara. Pengkhianat negara bukan sahaja gerobolan komunis tetapi juga pemimpin yang bertanggungjawab membawa masuk ramai pendatang haram yang dijadikan rakyat negara ini.

Kalau kita kira kerosakan kepada harta benda dan nyawa rakyat lebih ramai lagi dilakukan oleh pendatang asing yang diberi kerakyatan dan yang dibenar bermastautin di sini dari kerosakan yang dilakukan oleh komunis dahulu. Membenarkan orang asing datang dan melakukan jenayah sama besarnya dengan kesalahan yang dilakukan oleh pengganas komunis dahulu. Tindakan membawa masuk pendatang haram dan memberikan kerakyatan dengan niat politik ini amat menjejaskan kedaulatan (sovereignty) negara merdeka dan ia merupakan pengkhianatan yang tidak ada tolok bandingnya kepada negara.

Saya berharap hasil dari RCI mengenai pendatang yang di berikan taraf kerakyatan ini akan dapat menyelesaikan masalah ini dan jika ianya dilakukan dengan sengaja oleh mereka yang bertanggungjawab maka mereka ini wajar kita takrifkan sebagai pengkhianatan kepada negara dan perlu di bawa kemuka pangadilan tanpa memilih bulu.

Ramai berharap RCI ini tidak akan menghasilkan seperti hasil dari RCI tentang perlantikan hakim-hakim dahulu yang tidak ada siapa yang diambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Kita mesti ingat pengkhianat kepada negara juga ada dua jenis seperti perompak dan penyamun juga, iaitu pengkhianat kolar biru dan kolar putih. Membawa pendatang asing kedalam negara ini dan memberikan kerakyatan merupakan pengkhianatan kolar putih yang dilakukan oleh mereka yang berkuasa, bergelar dan bernama ini.

Kita mesti lakukan apa yang termampu untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi. Cara yang pertama ialah dengan menolak mereka yang melakukan jenayah ini dan jangan di berikan mereka peluang untuk mendekati kuasa. Jika mereka masih berkuasa banyak lagi musibah yang mereka akan lakukan terhadap negara kita. — aspanaliasnet.blogspot.com

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

Comments