Rencana

Pemilih dalam pilihan raya umum di Malaysia — Amin Ahmad

January 23, 2013

23 JAN — Sebagaimana dijelaskan sebelum ini, demokrasi bermaksud “pemerintahan daripada rakyat” dan cara praktikal untuk menterjemahkan maksud ini ialah melalui pilihan raya. Justeru, pemilih atau pengundi adalah faktor penting yang mesti diberi perhatian.

Jumlah pengundi

Sejak pilihan raya pertama diadakan pada tahun 1955, jumlah pengundi telah bertambah dengan pesat. Pada tahun 1955, bilangan pengundi ialah seramai 1,280,000 dan pada tahun 2008 jumlah ini mencapai 10,922,139 orang. Ini bermaksud telah berlaku pertambahan jumlah pengundi sebanyak lebih 10 kali ganda dalam tempoh 53 tahun.

Jumlah pertambahan terendah pemilih ialah sebanyak 6.12 peratus atau 551,898 orang. Ini berlaku antara tahun 1995 dan 1998.

Jumlah kenaikan tertinggi ialah pada tahun 1959, sebanyak 69.62 peratus iaitu seramai 891,027 orang. Namun, dari segi bilangan pemilih, jumlah kenaikan tertinggi ialah seramai lebih satu juta orang. Ini berlaku pada tahun 1969, 1982, 1990 dan 1995.

Kita boleh membuat pelbagai tafsiran terhadap angka-angka ini. Dengan persaingan sengit yang dijangka bakal berlaku dalam pilihan raya akan datang, sudah tentu persoalan ini menarik untuk dibincangkan.

 Retrospektif — pertambahan terendah pemilih

Pertambahan terendah antara tahun 1995 dan 1999 boleh dikaitkan dengan kontroversi semasa pilihan raya ke-10 mahu dijalankan. Menurut rekod berita, dikatakan seramai 600,000 pengundi baru yang telah mendaftar tidak dapat mengundi semasa pilihan raya umum yang dijalankan pada November 1999. SPR menjelaskan nama-nama mereka belum digazetkan untuk dimasukkan ke dalam daftar pemilih induk.

Kita boleh melihat ini sebagai satu ruang langka yang perlu dibaiki. Dalam era teknologi moden pada hari ini, saya yakin pendaftaran boleh dibuat dengan lebih pantas. Berikutan kontroversi ini, bermula tahun 2002, SPR telah melaksanakan Sistem Pendaftaran Pengundi Sepanjang Tahun (SPSST). Ini boleh dibuat di mana-mana kaunter berkenaan - pejabat SPR, pejabat pos dan sebagainya.

Daftar pemilih tambahan akan digazetkan setiap suku tahun (3 bulan). Sebelum ia digazetkan, daftar ini akan dipamerkan untuk semakan awam di pusat-pusat pameran di seluruh negara. Lazimnya, pejabat SPR dan pejabat pos akan digunakan untuk tujuan ini.

Namun saya berpendapat makluman berkenaan pameran ini kepada orang ramai masih terhad. Adalah wajar media massa digunakan secara meluas bagi memaklumkan kepada orang ramai untuk membuat semakan di tempat-tempat berkenaan.

Selain daripada lokasi yang dinyatakan, dengan kemudahan teknologi pada masa kini, orang ramai juga boleh membuat semakan di laman web.

Retrospektif — pertambahan tertinggi pemilih

Berdasarkan rekod, terdapat beberapa faktor yang boleh dikaitkan dengan pertambahan jumlah pemilih pada tahun-tahun tersebut.

Sebagaimana dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, pertambahan besar bilangan pemilih pada tahun 1959 mungkin berpunca daripada pemberian kerakyatan secara berperingkat di bawah apa yang dikenali sebagai prinsip jus soli. Selain itu, ia merupakan pilihan raya pertama yang dikendalikan oleh SPR sendiri.

Pada tahun 1969, beberapa peristiwa berlaku. Sabah dan Sarawak yang bersama membentuk Malaysia pada tahun 1963 tidak ikut mengadakan pilihan raya pada tahun 1964 tetapi mengadakan pilihan raya bersama pada tahun 1969. Konflik yang terjadi sebelum itu seperti keluarnya Singapura daripada terus bersama Malaysia juga mungkin menjadi sebahagian dorongan untuk orang ramai keluar mengundi.

Tahun 1982, Dr Mahathir baru menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Hussein Onn dan Anwar Ibrahim yang merupakan tokoh badan bukan kerajaan pada masa itu mengumumkan penyertaannya ke dalam Umno. Selain itu semangat politik di negara majoriti muslim juga turut meningkat disebabkan pengaruh Revolusi Iran.

Pada tahun 1990 Umno Baru didaftarkan selepas berdepan krisis besar sehingga menyebabkan Umno diharamkan. Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn, mantan Perdana Menteri pertama dan kedua yang juga mantan Presiden Umno telah ikut berkempen menyokong pakatan pembangkang pada masa itu.

Pada tahun 1995 pula, sebagaimana sedang disiasat oleh Suruhanjaya, wujud dakwaan pemberian hak mengundi segera melalui pemberian kad pengenalan kepada lebih 600,000 orang warga asing. Selain itu lanjutan persaingan selepas perpecahan dalaman Umno juga mungkin mendorong orang ramai untuk terlibat.

Pertambahan pengundi menjelang PRU-13

Menurut rekod, sejak tiga pilihan raya terakhir yang diadakan, jumlah pertambahan pengundi ialah pada kadar 6-8 peratus sahaja. Namun, dalam jawapannya di Dewan Negara, Datuk Lim View Kong, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjelaskan bahawa sejak tahun 2008 hingga tahun 2011, seramai 2.27 juta pengundi baru telah mendaftar diri sebagai pemilih. Ini bermaksud pengundi baru bertambah sebanyak sekitar 20 peratus, dan ia tidak mengambil kira pendaftaran pengundi baru tahun 2012.

Pertambahan ini jauh lebih ramai berbanding rekod pertambahan pengundi terdahulu. Saya belum pasti tentang jumlah pertambahan pemilih bagi tahun 2012. Sekiranya purata pertambahan pemilih antara 2008 hingga tahun 2011 boleh diambil untuk menganggar pertambahan pengundi baru bagi tahun 2012, maka jumlah keseluruhan pengundi baru untuk pilihan raya umum ke-13 boleh mencecah sehingga 2.8 juta orang, atau peningkatan sekitar 25 peratus daripada jumlah pemilih dalam daftar induk pada tahun 2008.

Apakah kenaikan ini berpunca daripada kesedaran baru berikutan keputusan pilihan raya umum 2008 dan persaingan sengit yang dijangka berlaku dalam pilihan raya umum ke-13?

Atau apakah dakwaan masalah daftar pemilih yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak mempunyai asas untuk dibetulkan?

Persoalan ini mestilah dilihat di luar konteks politik kepartian. Sebagai warganegara bertanggungjawab kita semua mempunyai tugas untuk memastikan pilihan raya yang bakal berlangsung nanti berintegriti.

* Amin Ahmad ialah Pengurus Projek dan Operasi di IDEAS. IDEAS dinamakan antara organisasi yang akan bertugas sebagai pemerhati dalam PRU-13 di semenanjung Malaysia. Jika minat menjadi pemerhati PRU-13, sila emel resume, gambar, kawasan parlimen dan DUN anda mengundi ke amin@ideas.org.my

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi