Rencana

Pemilih tanpa parti penentu dalam PRU 2013 — A. Kadir Jasin

25 MAC — Pilihan raya bukanlah kompleks sangat. Mula mula-mula Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Lepas itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Yang susah ialah memilih parti atau calon untuk diundi. Itu pun bagi pemilih atas pagar dan pemilih baru saja. Bagi pemilih partisan, mereka sudah buat pilihan. Buruk baik, datang hujan atau matahari terik, mereka akan pangkah parti mereka sekalipun mereka tidak senang hati dengan pemimpin parti.

Ada yang taasub kepada parti kerana agama. Masih ramai penyokong PAS, contohnya, percaya iaitu ada kaitan antara akidah dengan mengundi parti itu. Bagi segelintir daripada mereka, mengundi PAS memisahkan antara syurga dan neraka.

Ada yang taasub kepada parti kerana bangsa dan nasionalisme. Banyak penyokong Umno yakin parti itu masih berpaksikan nasionalisme dan perjuangan orang Melayu walaupun ada di kalangan pemimpinnya yang berkata agenda Melayu sudah ketinggalan zaman manakala yang lain pula memperjuangkan keterangkuman (inclusiveness).

Ada yang taasub kepada kaum dan kepentingan kaum. Penyokong DAP, secara sedar atau separa sedar, menganggap parti itu sebagai parti orang Cina. Walaupun DAP memperkenalkan dirinya sebagai parti pelbagai kaum dan melandaskan perjuangan di atas konsep Malaysian Malaysia dan sosialisme namun kepemimpinan, keahlian dan orientasinya adalah Cina. Sejak awal-awal lagi, orang Melayu dan India sekadar biola kedua (second fiddle) dalam parti itu.

Sejak mencapai prestasi baik dalam PRU 2008, DAP nampak lebih ikhlas dan tekun untuk membawa masuk orang Melayu yang boleh memberikan wajah Malaysia kepada perjuangan, tetapi tidak begitu berjaya. Namun dalam PRU kali ini ia mungkin meletakkan lebih banyak calon Melayu-Bumiputera.

Ada juga pengundi yang taasub kepada watak seperti PKR yang berkisar di sekitar perwatakan Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim. Tetapi unsur ketaasuban kepada pemimpin dan pemujaan kultus (cult worshiping) tidak terhad kepada PKR saja. Ciri yang serupa wujud dalam hampir semua parti, termasuk Umno, apabila ada pemimpin yang mengutamakan peribadi mereka daripada dasar dan perjuangan parti.

Dalam PAS ada beberapa watak kultus yang kuat pengaruhnya. Terulung adalah Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pemujaan penyokong PAS terhadapnya sudah mencapai tahap taasub dan pemujaan kultus. Ciri yang serupa turut dipamerkan terhadap Lim Kit Siang (DAP) dan Abdul Taib Mahmud (Parti Bumiputera Bersatu Sarawak).

Faktor pengundi atas pagar

Bagi pengundi tanpa parti dan atas pagar, membuat pilihan lebih rumit. Bilangan pengundi atas pagar dijangka lebih besar kali ini dengan bertambahnya bilangan pemilih baru.

Ramai pemilih baru, termasuk yang direkrut oleh parti-parti politik, tidak berparti. Selain pemilih baru, sebahagian penyokong Umno/BN yang berpaling tadah pada PRU 2008 mungkin kekal sebagai pengundi atas pagar.

Memperoleh undi pemilih baru ini lebih sukar kerana mereka belum biasa mengundi dan tidak terikat dengan mana-mana parti.

Mereka juga lebih sukar untuk dipengaruhi kerana majoriti tidak mengikuti media arus perdana atau tidak yakin kepada MAP. Kemungkinannya mereka lebih terdedah dan mempercayai media baru dan media alternatif.

Dalam konteks ini, penggunaan media baru berasaskan Internet adalah sangat penting. Siapa yang lebih meyakinkan atau lebih lantang akan mendapat perhatian. Tuduhan dan dakwaan yang tidak dijawab akan disimpulkan sebagai kebenaran. 

Aliran pengundian PRU 2013 

Adalah tidak memeranjatkan kalau aliran berikut berlaku pada PRU 2013:

1. Sebahagian penyokong Umno/BN yang merajuk pada PRU 2008 dan mengundi pembangkang akan kembali menyokong Umno/BN;

2. Yang masih berasa marah mungkin tidak akan keluar mengundi atau membuat undi protes dengan merosakkan kertas undi;

3. Umno/BN mungkin dibantu oleh ahli parti yang sebelum ini tidak mendaftar sebagai pemilih tetapi kini sudah didaftarkan dan oleh kegiatan memindahkan pengundi Melayu dari kerusi di mana BN tidak ada harapan menang ke kerusi di mana BN ada harapan merampas balik kerusi daripada pembangkang;

4. Majoriti pengundi baru bandar akan mengundi pembangkang manakala pengundi baru luar bandar akan mengundi BN; dan

5. Aliran pengundian akan mempamerkan ciri polarisasi kaum yang lebih buruk kerana kegiatan merekrut pemilih baru oleh parti-parti politik dibuat berasaskan perkiraan kaum. Wallahualam. — kadirjasin.blogspot.com

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

 

Comments