Rencana

Pemuda PAS dan pengisytiharan harta — Nasrudin Hassan Tantawi

19 NOV — “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96)

Dewan Pemuda PAS Malaysia, di dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja bertarikh 14 November telah bersetuju untuk mengambil ketetapan berkenaan langkah pengisytiharan harta di kalangan pemegang jawatan dalam parti politik seperti berikut:

1. Secara prinsipnya, DPPM berpegang kepada nilai amanah dan integriti yang tinggi di kalangan pimpinan dan ahli dalam melaksanakan agenda siyasah, dakwah dan tarbiah;

2. Amalan pengisytiharan harta di kalangan penjawat awam adalah sangat baik supaya unsur pecah amanah dan salahguna kuasa dapat dihalang dan dihapuskan, dan DPPM berpendapat amalan ini wajar dipraktikkan oleh pemegang jawatan parti politik yang bertanding untuk memegang tampuk pemerintahan kerajaan;

3. Seluruh kepimpinan DPPM bersetuju untuk melaksanakan amalan pengisytiharkan harta secara sukarela demi menjaga nilai amanah dan integriti peribadi dan parti dengan mengambil langkah-langkah berikut:

i) Menggunakan format yang digunapakai oleh Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai kriteria minima pengisytiharan harta oleh setiap pemimpin dan ahli keluarga;

ii) Pengisytiharan harta oleh setiap AJK DPPM diserahkan kepada Ketua Pemuda untuk disimpan dan dipantau oleh sebuah Badan Hisbah dalaman dan akan diserahkan kepada Presiden PAS dan Mursyidul Am PAS mengikut keperluan semasa;

iii) Selesai proses pemilihan calon pilihanraya, DPPM secara sukarela akan mempamerkan borang deklarasi pengisytiharan harta milik AJK DPPM yang dimanahkan oleh parti sebagai calon pilihanraya, untuk dinilai oleh rakyat keseluruhannya.

Justeru pada detik 1 Muharam 1434H yang penuh mulia, seluruh Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menyerahkan borang deklarasi pengisytiharan harta kepada saya selaku Ketua Pemuda untuk disimpan dan dinilai dari semasa ke semasa, dan sebagai tanda komitmen kami dalam menjaga nilai amanah dan integriti peribadi dan parti, saya telah mengambil langkah pertama dengan mengemukakan deklarasi pengisytiharan harta saya secara terbuka pada majlis penutup Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-53 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, MPKB-BRI, Kota Baru, Kelantan.

* Nasrudin Hassan Tantawi adalah Ketua Pemuda PAS.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis atau penerbitan. The Malaysian Insider tidak semestinya bersetuju dengan pandangan ini melainkan dinyatakan secara spesifik.

 

Comments