Rencana

Pilihan raya: Pengundi pertama kali dan fakta nombor ― Rizal Abd Rahman

February 20, 2013
Latest Update: February 21, 2013 10:33 pm

20 FEB — Pilihanraya Umum Malaysia kali ke- 13 pada tahun ini bakal menjadi sebuah pilihanraya penting yang pastinya ditunggu-tunggu oleh ramai pihak. 

Sejak tahun 2008, kempen oleh kedua-dua kubu politik semakin hari semakin rancak. Pelbagai taktik digunakan untuk menambat hati dan membina keyakinan pengundi terhadap parti masing-masing. 

Apa yang menarik kali ini adalah jumlah pengundi baru. Jumlah pengundi baru yang melonjak dengan begitu tinggi pada pilihanraya kali ini menjadi antara fokus utama kedua belah pihak yang bercita-cita menang dalam pemilihan.

Data menunjukkan sejak pilihanraya pertama pada tahun 1955, jumlah pengundi bertambah dari tahun ke tahun, selari dengan penambahan jumlah penduduk Malaysia.

Pada tahun 1955, jumlah pengundi hanya seramai 1.3 juta dan pada tahun 2008 terdapat hampir 11 juta pengundi terdaftar di Malaysia. Ini beerti dalam tempoh 53 tahun, peningkatan jumlah pengundi mencecah lebih 10 kali ganda. 

Jumlah kenaikan tertinggi ialah pada tahun 1959 dimana pada ketika itu terdapat pemberian kerakyatan secara berperingkat melalui prinsip jus soli. Taraf kerakyatan telah memberi kelayakan mengundi secara sah kepada golongan tersebut yang akhirnya membentuk 62.69 peratus pengundi baru berjumlah 891,097 orang. 

Jumlah terendah pula dicatatkan antara tahun 1995 dan 1998 dimana hanya 551,898 orang pengundi baru yang mendaftar, mencakupi hanya 6.12 peratus dari jumlah pengundi. Peristiwa ini dikaitkan dengan kegagalan SPR mengazetkan nama pengundi baru dalam daftar pemilih induk. 

Namun, sejak tahun 2008 hingga 2013, sudah terdapat sekitar 2.5 juta pengundi baru, dan jumlah ini merupakan total 25 peratus dari keseluruhan jumlah pengundi di Malaysia. Kehangatan pilihanraya yang lalu dan lumba politik yang terjadi antara tahun 2008 hingga 2013 dikirakan menjadi pendorong utama bagi ramai orang yang layak mengundi untuk keluar mendaftar dan kelak melibatkan diri mereka dalam proses pemilihan pemimpin. 

Parti politik yang bertanding dalam pilihanraya perlu memandang serius terhadap angka ini. Hakikat yang perlu difahami adalah trend sokongan 2.5 juta pengundi baru sudah pasti memberi pengaruh besar terhadap keputusan pilihanraya apatah lagi kecenderungan memihak golongan ini sukar untuk dijangka. Daripada jumlah 2.5 juta ini, 80 peratus daripadanya iaitu sekitar 2 juta pengundi terdiri dari mereka yang berumuran 40 tahun ke bawah. 

Anak muda di media Internet 

Mood golongan belia terhadap kecenderungan politik sebenarnya agak susah dibaca. Bagi mereka yang tidak teliti, hakikat sebenar mengenai sokongan politik belia mungkin disalah tafsir. 

Dari satu sisi berdasarkan media internet yang didominasi oleh golongan ini; berdasarkan trend di laman sosial Facebook, Twitter, komen berita, serta tulisan blog; sebahagian besar anak muda kelihatan cenderung kepada pembangkang. 

Walau bagaimanapun, ia dilihat berpunca akibat sokongan pro-pembangkang kebiasaannya datang dari mereka yang lantang bersuara berbanding anak muda penyokong Kerajaan yang lazimnya tidak begitu peduli menyuarakan pendapat politik mereka di laman sosial.

Justeru golongan anak muda pro-pembangkang dalam media internet sebenarnya tidaklah begitu ramai namun oleh kerana golongan tersebut kuat sorak, mereka nampak heboh. 

Selain itu, kehadiran cybertroopers yang digaji oleh pembangkang meramaikan lagi kerja anti-kerajaan di Internet. Mereka menggunakan akaun-akaun palsu seolah-olah mewakili golongan muda namun ia hanya bertujuan untuk mempengaruhi pandangan publik.

Pilihanraya kampus 

Jika pemberat bagi mengukur sokongan anak muda berpandukan keputusan Pilihanraya Kampus, Kerajaan bolehlah menarik nafas lega berikutan kemenangan besar pimpinan pelajar pro kerajaan dalam Pilihanraya Kampus yang lalu. Dari keseluruhan 20 universiti yang mengambil bahagian, 17 daripadanya dimenangi oleh Aspirasi. 

Hakikatnya keputusan ini tidaklah begitu signifikan kerana menjelang pilihanraya tahun 2008, keputusan Pilihanraya Kampus 2007 pada ketika itu turut memihak kepada Aspirasi dengan kemenangan 19-1. Namun tsunami politik pada Piliharaya Umum 2008 tetap tidak memihak kepada Barisan Nasional.

Selain itu, data menunjukkan dari keseluruhan 2 juta anak muda yang baru mendaftar, jumlah mereka yang kini menuntut di universiti dan terlibat dalam Pilihanraya Kampus hanyalah seramai 176,871 orang, iaitu hanya 8.85 peratus. 

Memenangi hati pengundi pertama kali 

Menjelang pilihanraya umum ke 13, kerja keras Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional nampaknya berbaloi apabila populariti beliau kini berada pada paras yang baik. Segala bentuk bantuan yang disalurkan kepada rakyat melalui jenama 1 Malaysia disambut positif oleh sebahagian besar rakyat terutamanya mereka di luar bandar yang masih memegang komposisi terbesar pengundi di Malaysia.

Walaupun berdepan dengan pelbagai isu, masalah dalaman, perebutan kuasa; Anwar Ibrahim yang mengetuai gerakan pembangkang juga giat menjelajah dan berkempen secara aktif demi membina kekuatan Pakatan Rakyat. 

Sokongan penyokong setia parti politik masing-masing nampaknya semakin jelas. Namun, kedua-dua kubu politik tidak boleh berasa begitu selesa dengan rentak kempen masing-masing. Kehadiran 2.5 juta pengundi baru dalam Piliharaya Umum 2013 yang mewakili kira-kira 25 peratus jumlah pengundi bakal memberi impak yang sangat besar.

Secara psikologi, oleh kerana golongan ini baru pertama kali keluar mengundi, keputusan muktamad mereka masih mampu bertukar di akhir-akhir waktu.

Oleh yang demikian, jentera pilihanraya wajib memberi fokus terhadap kumpulan pengundi pertama kali ini dan harus mengatur strategi serta perang psikologi yang baik agar mampu menjamin undi mereka bila sampai waktunya kelak.

Berdasarkan fakta nombor beerti menjamin sokongan mereka, ia menjamin kemenangan pilihanraya.

* Dr Rizal Abd Rahman adalah mantan Presiden Kelab Umno Luar Negara dan kini bergiat dalam aktiviti kesihatan dan kemasyarakatan.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi