Rencana

Pilihan raya, seruan islah dan politik akhlak — Mohd Syazreen Abdullah

April 26, 2013

26 APRIL — Dalam melalui kehidupan dan melaksanakan sebuah perjanjian amanah khalifah di bumi, keadaan luar mahupun dalam sentiasa mencabarkan kehendak manusia itu supaya bertindak dan melepasi saat yang menuntut sifat dan potensi mereka kepada arah tindakan. Tuhan menjanjikan mereka bahawa tidak akan menghadapi rintangan yang tidak sanggup mereka atasi, mereka akan sentiasa melalui dengan bebas pada lorong setiap kejadian dan berhenti pada pergantungan yang tidak punya harapan. 

Pada satu sisi kotradiksi akan menentukan penguasaan yang membentuk sifat manusia kerana kewujudan manusia didunia ini juga dilengkapi dengan sifat jasad dan roh. Dua sifat ini bukanlah sifatnya terpisah semata-mata melainkan makhluk secara misterius dalam kedua elemen ini yang disebut pada kewujudan ketiga iaitu jati dirinya sendiri.

Diri sangat berkaitan erat dengan jasad dan roh, oleh sebab itu pada satu sisi, ia dianggap sebagai jiwa haiwani (al-nafs al-hayawaniyyah) ketika berhubungan dengan jasad, dan pada sisi lain, sebagai jiwa rasional (al-nafs al-nathiqah) ketika berhubungan dengan roh kerana perlu jelas bahawa roh manusia sifatnya tidak mati dan sentiasa sedar akan dirinya. 

Fakulti akal, hati, disini merupakan perkara perinsip yang akan membawa manusia itu pada tindakannya. Sesungguhnya pencarian mencapai kebenaran, tidaklah manusia itu gagah tanpa disulami dengan cahaya yang dipandu oleh subjek iaitu Tuhan maka didalam sifatnya diri manusia itu sudah diisi suatu bentuk fitrah yang menuntut manusia mencari dan menyaksikan Tuhan dalam segala bentuk pencapaian dan tindaklaku mereka. 

Fitrah seperti yang disebut  Ibnu Manzhur dalam Lisan al-‘Arab bahawa suatu bentuk atau keadaan yang memerlukan  karakter yang dipersiapkan untuk menerima agama. Disini dilihat bahawasanya terdapat suatu perjanjian asali manusia dan Penciptanya yang menuntut rasa semulajadi manusia kepada kehendak agama. Menjadi manusia beragama adalah menuruti sifat dan nalurinya untuk menjalankan segala bentuk kebaikan dan ia mengerti tanggungjawab dirinya sebagai pinjaman dan akan dipulangkan kepada pemiliknya, maka dia akan memenuhi segala bentuk hutang yang akan dibayar suatu masa nanti dan tidaklah dia meletakkan kezaliman pada dirinya kerana ia tahu tugas dan fungsinya.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.”

Peringatan ini memfokuskan perhatian kita pada tugas dasar menjadi khalifah di bumi. Ketundukan, iaitu menjadi hamba dalam erti yang luas sebagai makhluk yang meletakkan adab pada dirinya dan alam semesta. Manusia beragama mereka yang percaya kepada perinsip kebenaran suluhan wahyu. Manusia beragama juga memelihara keseimbangan kehidupan dengan memiliki panduan nilai kebaikkan maka dengan berpegang kepada perinsip ini, mustahil bagi mereka untuk merosakkan nilai alam semesta. Mereka akan melanjutkan perjalanan dengan menghormati nilai-nilai kemanusian, mempercayai kedudukan sesuatu tempat pada letaknya keadilan. 

Mereka sentiasa memelihara hubungan antara kehidupan dan tugas yang diamanahkan sesuai dengan tujuan penciptaanNya dan tidak pula mereka mengabaikan ataupun meletakkan sifat batil, mazmumah, segala kefasadan pada diri mereka dan hubungkait pada kehidupan dan tugas. Maka disini, penting manusia itu memahami dan beriman kepada kepercayaan nilai-nilai agama dalam mengurus segala sistem kehidupan mereka dan membentuk sebuah refleksi kepada masyarakat dalam mencorak budaya dan pengamalan hidup.

Kesedaran perinsip nilai agama dalam sebuah kebangkitan hadarah 

Agama bukanlah semata bentuk ibadat ritual tetapi sarat nilai yang membentuk kehidupan dalam bentuk pengamalan dan tujuan. Hubungan yang membentuk hadarah sememangnya tidak boleh dihilangkan sifat kewujudan nilai agama, kerana agama membentuk manusia yang mencorak tentang peradaban bangsanya dan sosialnya. Malik Bennabi menyifatkan bahawa fenomena beragama adalah yang sentiasa wujud dalam sifat manusia yang membentuk karakter dari manusia yang primitif kepada manusia yang bertamadun. Di sini Bennabi menyatakan bahawa penekanan idea keagamaan ini membentuk sebuah peradaban walaupun sesuatu tamadun itu ditinggalkan fisiknya tetapi peninggalan idea keagamaan menunjukkan budaya dan sosiologi dimana peradaban tersebut sememangnya wujud berkehendak beragama menuntut fitrah manusia melaksanakannya. Jelas disini menunjukkan bahawa agama adalah kekuatan yang melahirkan peradaban tetapi jika tiada unsur tersebut ianya membentuk sebuah kota dan manusiannya didalam kejahilan. 

Sesungguhnya hubungkait antara kesedaran beragama, ilmu pengetahuan dalam kebangkitan hadarah hakikatnya tidak boleh dipisahkan dalam membentuk sebuah masyarakat madani. Agama datang dengan risalah untuk membina masyarakat yang berdiri atas nilai keadilan, nilai ehsan, mengangkat kemuliaan manusia, memberi kebebasan hak dalam menuntut kepercayaan. Konsep manusia beragama adalah meninggalkan segala bentuk keangkuhan tetapi adalah membawa sifatnya rahmatan lil alamin tanpa menyempitkan makna dan tujuan perlaksanaan untuk semua manusia dan bukanlah ia bergerak atau dikhususkan kepada manusia tertentu atau individu yang sempit yang tidak ada akhlak dan adab meletakkan penjenamaan agama demi kepentingan individu atau kumpulan. Kebangkitan hadarah bukanlah suatu yang dibangunkan dalam nilai berbentuk dogmatik ataupun doktrinisasi mahupun budaya pembodohan yang membawa fenomena sebuah kejatuhan berfikir masyarakat tetapi masyarakat madani adalah yang percaya kepada perinsip nilai kebaikkan didalam beragama, menjadikan budaya ilmu dan tradisi ilmu sebagai jalan mencari kebenaran.

Hadarah hendaklah diangkat suatu kemajuan atau pembangunan yang difahami didalam pandangalam Islam yang jelas bukanlah konsep kemajuan seperti difahami di Barat. Penyelewengan ma’na pembangunan yang sebenar telah menimbulkan budaya nilai-nilai akhlak yang baru yang merosakkan manusia itu dalam keadaan sedar. Konsep pembangunan tidak lagi meletakkan konsep faham beragama dan akhlak dalam projek islah pembangunan malah menjadikan ukuran kebendaan dalam usaha kemajuan. Konsep kemajuan atau pembangunan telah memisahkan cara masharakat berfikir dan menjadikan dualisma dalam kehidupan. Ianya bertentangan dengan konsep Hadarah yang membuang segala bentuk ketidakadilan, kezaliman dan kefasadan sama ada berbentuk individu mahupun fisiknya.

Negara kota yang tinggi nilainya sangat menekankan ketinggian nilai budi, kekuatan sosiobudaya yang mengangkat martabat keilmuan, para agamawan yang meletakkan sandaran kebenaran pada tempatnya. Sebuah negara kota yang gagal melaksanakan segala perinsip nilai berbentuk keagamaan, akhlak pastinya mengundangan kehancuran begitu juga ketidakadilan akan membawa kehancuran kepada peradaban atau sebuah negara kota. Pencabulan dalam bentuk moral, pencabulan dalam bentuk intelektual dan menghasilkan korupsi. Segala pencabulan dan ketidakadilan pastinya dilihat dalam bentuk yang perlahan mengalami proses kejatuhan bangsa dan negara kerana dilindungi keadaan masyarakat yang pelbagai dan penduduk yang ramai tetapi proses kejatuhan itu sentiasa bergerak menuju kehancuran jika tidak dibaiki, maka disebut Ibnu Khaldun bahawa dinasti yang melakukan pencabulan terhadap keadilan maka akan digantikan sebelum bandar itu mengalami kebinasaannya dan memerlukan sebuah proses islah yang baru untuk membaiki segala kerosakkan yang berlaku.

Konsep amanah menuju pengislahan sebenar

Kekuatan masyarakat akan menjadi realiti dicelah-celah kesempurnaan dan kematangan unsur-unsur kekuatan, didalam keadaan yang efektif dan kordinasi yang benar. Unsur-unsur tersebut ialah ilmu pengetahuan, kekayaan dan kemampuan berperang. Ilmu pengetahuan terjelma pada para ulama( cendikiawan) dan kekayaan terjelma pada para ekonomi, pekerja dan kaum hartawan sedangkan kemampuan berperang terjelma pada angkatan bersenjata dan para panglimanya. Hakikatnya kesemua unsur ini memerlukan untuk menghasilkan sebuah politik yang bijak dan kepimpinan yang teguh jika sebaliknya akan menghasilkan kerosakkan dan masyarakat akan menjadi lemah. 

Para cedikiawan ataupun para intelektual sangat memainkan tanggungjawab dalam usaha proses pengislahan dan memainkan fungsinya dalam memberi pencerahan kepada masyarakat tentang sesuatu fakta dan kebenaran. Mereka bukan sekadar menjadi sebagai tukang menulis dan tukang fikir masalah di universiti semata-mata tetapi berusaha mengerah akal budi untuk menyelesaikan segala masalah masyarakat yang menimpa yang menuntut para cerdik pandai menyelesaikan masalah tersebut. Para pentadbir dan pengurus sentiasa sedar bahawa suatu tanggungjawab pada diri mereka untuk melakukan amanah segala perbuatan mereka. Mereka beramanah menyampaikan kebenaran dan menjatuhkan kebatilan, para politikus beramanah melaksanakan sistem tadbir urus dengan baik berlandaskan perinsip agama.

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh, sehingga Allah mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrikin laki-laki dan perempuan; dan sehingga Allah menerima tobat orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ibn ‘Ashoor didalam kitabnya At-Tahrir wa at-Tanwir menyebut Amanah disini sebuah ketaatan, perkara yang diamanahkan kepadanya dan dituntut memelihara dan menjaganya tanpa menjejaskannya. Ianya juga sebuah ketaatan bukan sahaja merujuk kepada ketaatan kepada nilai ibadah berbentuk tanggungjawab fardiyah muslim seperti solat, puasa, memelihara kehormatannya tetapi merangkumi konsep yang lebih luas seperti ketiadaan penipuan dalam perbuatan tindaklaku, amanah dalam bentuk intelektual dalam menyampaikan amanah ilmu dan golongan ini disebut sebagai khalifah dimuka bumi yang sesungguhnya kesalahan baginya mengkhianati segala bentuk amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya dan amanah yang terbesar adalah membawa manusia kepada kebenaran dan mengangkat risalah Tauhid. Seperti sudah dinyatakan bahawa insan itu mempunyai perjanjian (mithaq) dengan penciptaNya akan tetapi sekiranya ia zalim terhadap perjanjian ini dan meletakkan dirinya dalam lembah kebinasaan dan dipengaruhi seluruh dirinya kepada nafsu ammarah. Maka sesuatu persoalan tentang tanggungjawab bagaimana jika pemimpin yang korupsi dan bermasalah mampu berlaku adil dalam rencana hukum dan perundangan sekiranya ia gagal melaksanakan amanah terhadap dirinya.

Sesungguhnya pengislahan yang bermaksud perbuatan keatas seseorang atau sesuatu yang membuatnya baik, teratur ,adil sesuai dengan segala nilai yang tinggi.Konsep Islah adalah membawa kepada kebaikkan dan keadilan serta meruntuhkan kezaliman, kejahilan,korupsi dan penindasan segala kefasadan yang berlaku dimuka bumi ini. Islah yang disebut oleh Az-Zarqani di dalam bukunya “Manahil al-'Irfan” yang merujuk jenis islah dibahagikan dengan banyak kategori seperti pengislahan dalam bentuk pengurusan urustadbir Negara (Islah as-siyaasah al-hukmi ad-dauli) supaya didasari dalam nilai keadilan dan kesamaan hak warganegara. Islah akhlak (Islah al-akhlaq) iaitu membimbing manusia kepada jalan kebaikan bukan jalan perpecahan. Az-Zarqani juga menyeru kepada sebuah islah masyarakat (Islah al-ijtima) dimana seruan mengubah masyarakat dengan konsep penyatuan tanpa ada perbandingan darjat dan meletakkan hanya nilai taqwa kepada Tuhan yang membezakan antara manusia. Konsep pengislahan segalanya mestilah bermula didalam diri insan itu supaya ianya tidak berlaku zalim terhadap Manusia lain. Menjadi kewajiban dalam sebuah “Madinah Fâdhilah” mestilah dipandu kepada syariat yang mengurus tadbir itu adalah pemimpin yang beramanah dan beradab dalam meletakkan urusan politik dan sosial. Sistem urus masyarakat dan negara mestilah di seimbangkan menurut kemaslahat sosio masyarakat mengikut fleksibiliti bukan hanya penekanan berbentuk penghakiman yang keras yang tidak membawa kepada keseimbangan. Faham sejagat itu mestilah berkaitan dengan semua manusia dan ia datang dalam usaha membawa bentuk pilihan yang selaras dengan kehidupannya dalam norma ketuhanan dan bukanlah inisiatif dalam bentuk penentangan terhadap kebenaran. 

Urusan sebuah urus politik semestinya menetapkan dan mengambil kira kepada manusia yang menjadikan nilai kekuatan mengurus dan mengenal hakikat spiritual supaya tidak menjadikan masyarakat atau negara berada didalam kematian dan penuh kerosakkan. Maka ini seperti yang diungkapkan oleh Malik Bennabi diakhir penulisannya berkaitan politik dan moral sesungguhnya ilmu tanpa kesedaran hanyalah merosakkan jiwa maka politik tanpa akhlak hanyalah sebuah negara yang musnah.

Kefahaman menuju sebuah politik akhlak

Al-Farabi dalam karya besarnya Ârâ Ahl al-Madina al-Fâdhilah ada menekankan kepada penyatuan bangsa dan pemimpin yang kuat dan amanah dalam memimpin maka idea madina fadhilah akan terhasil didalamnya sebuah masyarakat madani yang secara penuhnya mengamalkan gaya hidup penuh dengan sarat nilai kebaikan dan nilai keagamaan dan suatu perkara yang sangat disentuhnya politik bukanlah matlamat tetapi kebahagiaan (sa’âdah) yang diperolehinya melalui aktiviti didalam urusan masyarakat dan melaksanankan urusan politik dalam bentuk moral dalam apa sahaja bentuk tindakan memperolehinya. Ini sangat berbeza dengan perinsip Machiavelli yang meletakkan kekuasaan dan moral adalah sesuatu yang terpisah. Ianya juga berbeza pada pandangan seperti Emmanuel Kant mahupun Russel yang meletakkan bahawa idea moral sebagai landasan cara berfikir seorang penguasa dan ianya bukan sekadar alat strategik semata-mata tetapi suatu kewajiban moral oleh pemimpin. 

Di Barat, pengalaman politik yang dimainkan oleh penguasa agama dan pemimpin telah memberi refkleksi kepada cara berfikir masyarakat ketika itu. Mereka menyaksikan bagaimana agama digunakan dalam kepentingan sebuah politik kekuasaan akhirnya memberi jawapan kepada pemisahan agama itu dalam segala urusan akal mereka dan tidak campurtangan urusan agama dalam kehidupan mereka. Maka melahirkan golongan yang melampau dalam meletakkan takdir kehidupan mereka, Tuhan bukan lagi panduan tetapi akal merupakan panduan segalanya dan manusia itu berkuasa dalam takdir manusia. Sejak kemalangan peristiwa yang menimpa Barat, berlakunya segala bentuk korupsi akhlak mahupun nilai yang hanya berpandukan pada falsafah manusia semata.

Pengalaman di Barat sememangnya melalui tragedi dan ianya sangat berbeza dengan Islam yang diutuskan wahyu tentang kebenaran risalah, Diutuskan Para Nabi untuk menyampaikan kebenaran membawa manusia kepada akhlak dan nilai yang mulia. Konsep keadilan adalah etika yang mengawal masyarakat daripada tindaklaku yang tidak bermoral manusia seperti korupsi, rasuah, pengagihan harta rakyat mengikut tuntutan syarak, bertindak penindasan kepada hak manusia. Segala perkara ini telah diingatkan dalam Quran tentang para munafiqun atau para penzalim akan hal ini supaya tidak mereka lalai dengan habuan dan kecintaan dunia sehingga mengabaikan kebajikan masyarakat dan hak bangsa. Para pemimpin hendaklah amanah membahagikan harta kekayaan mengikut keutamaan di dalam Quran. Politik Akhlak berpandukan panduan wahyu merupakan kewajiban untuk melahirkan masyarakat yang berdiri pada asas keadilan yang tidak melampau batasan sikap dan tingkah laku.

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Khatimah dan seruan islah

Manusia berilmu adalah penganut kebenaran yang begitu tulus sehingga semua yang mereka fikirkan adalah untuk menstabilkan keadilan di muka bumi, dan bersedia ketika diredhai-Nya, untuk membuang semua keinginan dan harapan peribadi mereka. Mereka sentiasa percaya tentang keyakinan pada perinsip nilai kebaikkan dan membuka segala pintu kebaikkan mahupun menerima hati untuk semua manusia lain dengan menyambut penuh kasih sayang bukan persengketaan, penghinaan, pengkhianatan dalam hubungan. Mereka akan berusaha bertanding dan memimpin dengan penuh hikmah dalam sarat nilai bukan sarat persaingan kotor dan kebencian.

Mereka tidak menjadikan kepentingan individu ataupun perasaan hasad sesama insan seperi teori “selfish” Thomas Hobbes didalam politik kehidupan. Manusia bertamadun sentiasa tunduk penyerahan kepada arahan Tuhan bukan tunduk kepada kekuasaan manusia yang bermasalah dan meletakkan akhlak dalam perinsip dasar kehidupan tanpa aturan perinsip akhlak mustahil bagi manusia itu untuk hidup didalam perjalanan yang menghormati dan melindungi nilai-nilai kemanusiaan. 

Para Khalifah adalah mereka yang diamanahkan bekerja hanya untuk Tuhan dan mereka merasakan kebebasan dalam ruangan kurniaan itu mencapai kebahagiaan yang menyelamatkan manusia dari kebinasaan kehidupan. Mereka sentiasa sibuk mencari kekurangan diri sendiri dari mengurus keburukan orang lain. Sebaliknya, mereka memberi contoh akhlak yang baik kepada orang lain. Mereka menutup segala keaiban dan jauh meletakkan budaya fitnah sebagai dalam akhlak mereka. Maka budaya politik mestilah dijauhkan dengan mencampurkan budaya yang jauh dari nilai akhlak dan etika. Politik matang bukan sekadar memenuhi bentuk fakta dan hujah semata-mata tetapi mesti dengan bersandarkan dan meletakkan konsep “adab” dalam diri insan dan mahupun urusan kehidupan.  

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi