Rencana

PLKN sudah mati – Edwin Michael

Sebelum saya terjun kepada intipati tujuan artikel ini ditulis, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri kerana beliau adalah penghibur lawak sejati yang tidak jemu untuk hiburkan rakyat Malaysia. Mengagumi Khoemini boleh menjadikan seseorang itu Syiah adalah lawak yang akan dikenang sepanjang zaman. Tahniah Dato’ Seri!

Berbalik kepada tujuan asal saya menulis artikel ini tidak lain tidak bukan adalah untuk mempersoal sesuatu yang amat menganggu pemikiran saya. Bencana banjir yang melanda negara terutamanya negeri-negeri di Pantai Timur dan juga dibeberapa buah kawasan di Sarawak nyata menjadi fokus utama setiap rakyat Malaysia.

Ramai yang mempersoalkan kredibiliti regim pemerintah yang dikatakan lembap dan sengaja melewatkan bantuan kemanusiaan terutamanya di Kuantan akibat fahaman politik yang berbeza. Ada juga yang membandingkan cara regim pemerintah membantu mangsa-mangsa bencana alam di luar negara dan di negara sendiri. Presiden Kelab Putera 1Malaysia dan pasukannya yang sentiasa bersiap sedia untuk membantu mangsa bencana alam di luar negara tiba-tiba ghaib apabila negaranya sendiri di landa musibah banjir. Pelik.

Soalan saya, dimana pula perginya para pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ini sewaktu negara dilanda krisis bencana? Mengapa Kementerian Pertahanan tiada kerahan pelatih-pelatih yang mungkin angkanya mencecah jutaan orang ini untuk turun membantu mangsa-mangsa banjir? Apa sebenarnya fungsi PLKN ini dikala negara dilanda bencana alam?

Wang pembayar cukai hangus begitu sahaja setiap tahun untuk menanggung program yang nyata dihalalkan atas nama khidmat negara tetapi pelatihnya sedikitpun tidak mampu untuk berkhidmat kepada negara. Kementerian Pertahanan perlu jelaskan kepada rakyat Malaysia apa bentuk khidmat negara yang boleh diharapkan daripada pelatih PLKN ini?

Jika khidmat para pelatih ini hanya sekadar bergotong royong maka lembik sungguh mereka ini. Malah patut malu dengan anak-anak muda Unit Amal PAS yang sanggup redah banjir semata-mata untuk membantu rakyat. Ini baru namanya khidmat kepada negara!

PLKN disasarkan kepada golongan belia bercirikan pembentukan jati diri pelatih, integrasi nasional, memupuk patriotisme dan semangat kesukarelaan. Mana semangat kesukarelaan para pelatih ini? Atau Jabatan Latihan Khidmat Negara dan Kementerian Pertahanan menerusi modul yang digunakan dalam PLKN gagal menerapkan semangat kesukarelaan?

Di negara luar seperti India, Amerika Syarikat dan Korea Selatan, para pelatih khidmat negara ini dikehendaki untuk turun membantu mangsa-mangsa bencana alam mahupun bencana akibat manusia. Dalam kata yang mudah, PLKN di negara ini umpama hidup segan mati tak mahu. Apa justifikasi wujudnya PLKN ini yang hakikatnya sedikit pun tidak berfaedah kepada rakyat sewaktu negara dilanda krisis bencana.

Bagi saya dan pastinya majoriti masyarakat Malaysia, PLKN sudah mati! – 13 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments