Rencana

Politik ‘gesture’ menjelang pilihan raya ― Ismail Hashim Yahaya

April 03, 2013

3 APRIL ― Menjelang pilihan raya suasana media dan lanskap politik negara akan diceriakan oleh hiruk-pikuk permainan bahasa dan tanda serta isyarat sebagai sebahagian dari wacana politik semasa.

Bermula dari pemerintah yang cuba menyakinkan rakyat dengan BR1M-nya, manifesto PR sehinggalah kepada pembubaran parlimen seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, persoalan “gesture” dalam komunikasi politik tidak dibicarakan apa lagi disentuh dalam arus politik perdana.

“Gesture” sebagai sebahagian daripada kemahiran komunikasi bukan lisan di mana ahli politik menjadikannya sebagai instrumen untuk menegas, memperkuat dan menyakinkan kita tentang mesej, ideologi atau prinsip dan makna yang disampaikan.

Meminjam kenyataan tokoh semiotika Indonesia, Yasraf Amir Piliang menegaskan kembali bahawa politik pada dasarnya adalah permainan gesture dan bahasa sebagai sebahagian dari wacana politik.

Bagi saya, jika diteliti kesimpulannya politik kebelakangan ini adalah gesture itu sendiri. Bahkan ramai orang akan yakin dengan pergerakan isyarat bukan lisan para pemimpin semasa berucap apabila menonton di skin TV atau di majlis ceramah politik.

Politik gesture ini memperlihatkan keprihatinan kepada rakyat melalui contoh bantuan yang diberikan kerajaan dengan gerak bukan lisan yang diperlihatkan melalui imej di kaca TV misalnya.

Tetapi apa yang lebih membimbangkan, gesture politik kini tidak memperkuat makna dan mesej politik, tetapi telah dikelirukan, dengan menonjolkan diri sebagai seseorang ahli politik yang ideal berbanding idea, makna, dan ideologi politik sendiri.

Tidak ramai yang meneliti atau nampak peranan gesture dalam politik dan peranan komunikasinya untuk meyakinkan khalayak.

Dalam ceramah atau ucapan di kaca TV atau juga di skrin Youtube misalnya setiap potensi tubuh (body) dikerahkan untuk menegaskan mesej, ideologi, makna dan nilai-nilai politik.

Melalui gesture politik juga, ahli politik mengerahkan segala potensi tanda tubuh (body signs) — mata, mulut, tangan, jari — sebagai sebahagian daripada pelbagai cara “ untuk memperkuat mesej dan makna politik.

Tambah Yasraf gesture adalah tindakan khusus bersifat “membawa”, “menjaga”, dan “mendukung” bahasa.

Oleh itu gesture berada di antara “cara” (means) dan “matlamat” (ends), tetapi ia sendiri bukannya matlamat itu.

Melalui gesture, mesej dan makna diperkuat tetapi ia sendiri bukan makna.

Jika diteliti ia berfungsi menampakkan sesuatu sebagai “pengantaraan” (mediate), iaitu medium: gesture memungkinkan ekspresi bahasa lisan, tetapi ia sendiri bukan ekspresi bahasa lisan.

Gestur merupakan tonggak kepada pelbagai cara yang digunakan dalam konteks bahasa komunikasi dan wacana politik (political discourse): ucapan, tulisan, sentuhan, dan peralatan material —yang masing-masing memiliki fungsi semiotik, tetapi secara bersama-sama membangun komunikasi bermakna.

Fungsi gesture adalah memperkuat ekspresi, pengucapan, tekanan dan kekuatan bahasa komunikatif lisan sehingga dapat melipatgandakan kesan komunikasi.

Gesture politik diperlukan ketika ahli politik berada dalam situasi perdebatan yang mengharuskan mereka terlibat dalam permainan bahasa (language game).

Politik adalah sebuah gesture iaitu cara yang murni lagi praktikal yang memungkinkan ideologi atau prinsip politik dimanifestasikan.

Akan tetapi, kecenderungan gesture politik yang melampau menyebabkan praktik politik itu tercabut dari prinsip atau pendirian politiknya.

Tercabutnya praktik politik dari prinsip atau pendirian, bermakna tercabutnya gesture dari makna bahasa, tanda dari realiti, menciptakan suasana di mana gerak-geri politik dan gesture politik lebih diraikan daripada prinsip dan makna politik.

Akan tetapi jika segala tenaga, fikiran dan kesedaran ahli politik menumpu dalam memikirkan penampakan luar (citra, gaya dan gerak isyarat zahir) sebagai cara dalam menarik perhatian dan menyakinkan rakyat sehingga tiada lagi ruang bagi pemikiran dan perjuangan ideologi politik itu sendiri.

Politik yang telah dirumuskan menjadi gerak isyarat sahaja menyebabkan fungsi penampakan luar, citra dan tanda menjadi perkara yang dipentingkan yang akan mengambil alih fungsi ideologi dan keyakinan.

Inilah yang terjadi kepada ahli politik kita, segala kehebatan dan keyakinan dipertunjukkan semasa memberikan ceramah, gerak isyarat bukan lisan begitu menyakinkan penonton daripada kebenaran hakikat itu sendiri.

Akibatnya, terjadilah pergantian tanda-tanda yang nyata dengan citra dan gerak isyarat palsu. Tanda dan gerak isyarat palsu telah menjadi realiti itu sendiri dan disimpulkan sebagai kebenaran.

Dalam penguasaan terhadap gerak isyarat dan tanda, komunikasi politik terputus dari pesan dan pendirian politik kerana ia merupakan gesture dari mesej yang nonpolitik ( seperti nyanyian, tarian, sektsa dan pantomim) sebagai cara menarik perhatian massa.

Komunikasi politik berubah menjadi “komunikasi untuk komunikasi” atau disebut juga “ekstasi komunikasi” (syok sendiri), di mana komunikasi telah kehilangan tujuan, prinsip dan pendirian yang terperangkap di dalam model-model komunikasi popular.

Politik lalu kehilangan fungsi perwakilan iaitu fungsi penjanaan idea dan gagasan realiti politik melalui pelbagai tanda, sebagai cerminan imej realiti.

Di sini wujud hubungan simetri antara tanda dan realiti, antara gesture dan prinsip, antara gerak-geri politik dan keyakinan politik.

Ketika politik sudah kehilangan fungsi perwakilannya, fungsi gesture berubah menjadi fungsi mitos, bukan untuk menegaskan idea dan prinsip, tetapi justru mengelirukan dan mengaburkannya melalui permainan tanda-tanda.

Kini, wacana politik didominasi “penanda hampa” (empty signifier) yang terputus dari realiti, di mana selalu ada dinding pemantul (reflector) antara tanda dan dunia realiti.

Misalnya, pernyataan dan gesture politik: “ inilah manifesto kami dan akan dilaksankaan selepas kemenangan dalam pilihan raya, kes rasuah ini harus diambil tindakan dan dikendalikan dengan secepat mungkin” atau kerajaan akan meluluskan projek berjumlah sekian… atau “selepas pilihan raya nanti masalah ini akan diselesaikan” adalah penanda-penanda hampa kerana tidak mungkin “ diambil tindakan segera atau diselesaikan selepas pilihan raya dengan “secepat mungkin!”

Oleh itu kemasan sesebuah gesture tidak mencerminkan isi dan realitinya. Gerak isyarat selalu memantulkan kembali ke realiti tanda kerana ia tidak didukungi realiti.

Gesture politik hanya menampilkan “derealisasi tanda” (derealisation of sign), di mana idea dan konsep di sebalik tanda terputus dari dunia realiti.

Misalnya, gesture seseorang ahli politik kanan pemerintah yang mengatakan tiada masalah dalam parti berhadapan dengan piihan raya apabila banyak masalah yang masih beum diselesaikan menjelang pengumuman Perdana Menteri menyatakan Parlimen dibubarkan.

Permainan tanda dan gesture di dalam wacana politik menimbulkan persoalan serius kepada kebenaran politik kerana permainan tanda tidak pernah dapat diuji secara definitif di dalam pengujian dunia realiti sebab ia selalu menolak proses penilaian.

Permainan gesture ini dapat dilihat kepada permainan tanda kepada diri seperti ketika di hadapan orang kampong panampilan lebih warak berbanding kawasan bandar penampilan lebih eksekutif.

Gesture selalu “berhelah” dan “menghindari” dari diuji kebenarannya kerana fungsi gesture kini adalah “menutupi” kebenaran itu.

Wacananya menuju kepada menyelubungi kebenaran. Oleh itu “saat kebenaran” (moment of truth) tiada lagi dalam wacana politik, ia diambil alih oleh “saat citra” (moment of image).

Politik yang kehilangan asasnya kini terperangkap dalam permainan bebas citra dan gerak isyarat.

Dalam sebuah proses “pencitraan” (imagisation) dan “gesturisasi” (gesturisation) yang dikejar di dalamnya dunia realiti politik bukanlah kebenarannya, tetapi menggunakan kekuasaan murni (pure power) dengan memanipulasi tanda dan gesture untuk menyembunyikan kebenaran agar tidak kelihatan di mata awam.

Gesture kini tidak lagi berfungsi memperkuat makna politik, tetapi telah mengaburikannya menjadinya tidak lebih daripada satu gerak isyarat pencipyraan sahaja bagi penonjolan diri dan menceriakan imej di depan khalayak.

* Penulis adalah Timbalan Dekan Fakulti Komunikasi dan Media,, Universiti Selangor, kampus Shah Alam.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi