Rencana

PRU-13: Bersatu kita teguh… — Zaini Hassan

18 APRIL — Saya tidak bercadang untuk membuat analisis mengenai calon. Kepada calon yang dicalonkan itu kita ucapkan tahniah. Kita yakin pemilihan itu amat tepat, walaupun ada “soksek” di sana-sini. Sebagai manusia susah untuk dipuaskan segalanya.

Mungkin juga ada yang mahu melihat kejutan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini, namun tidak ada kejutan. Mungkin ada yang mahu melihat Ummi Hafilda melawan abangnya Azmin Ali atau Ezam Mohd. Nor menentang bekas bosnya Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, tapi ia tidak terjadi.

Namun sama ada strategi pemilihan calon itu betul atau tidak, kita tunggu dan lihat. Sama ada pengundi mahu mengundi mereka, juga kita tunggu dan lihat.

Namun semasa saya menaip tulisan ini, saya menerima panggilan daripada seorang sahabat. Begini bunyi sembang pendek itu. “Jika sebelum jadi calon, mereka menegur kita, bertepuk bahu dan bertanya khabar, jangan selepas jadi calon dan menang kelak, mereka lupa daratan. Berselisih bahu pun buat tak tau. Jangan jadi merak buih sudahlah…,” kata sahabat itu dari Hulu Klang, Selangor.

Apa pun kita percaya percaturan undi kali ini masih menjadi penentuan mutlak. Jika calon yang dipilih itu terbaik sekali pun, tetapi jika pengundi tidak mahu memberi, maka akan kalahlah calon itu. Jika pengundi enggan memberi kemenangan kepada sesuatu parti itu, maka kalahlah parti itu.

Dalam tulisan ini saya ingin membuat sedikit analisis mengenai corak pemikiran orang Melayu, yang merupakan majoriti pengundi dalam PRU-13 ini.

Saya pasti corak pemikiran orang Melayu, kini sudah berubah. Jika selama ini mereka berpecah kepada beberapa bahagian, kini mereka mulai bertaut semula. Tapi benarkah mereka sudah bertaut? Benarkah orang Melayu sudah kembali bersatu. Atau jurang itu semakin besar?

Cuit hari ini ingin memetik sedikit ucapan saya di Seminar Pemikiran dan Kepimpinan Melayu anjuran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 11 April lalu. Ucaptama yang disampaikan itu bertajuk: “Pemikiran dan Dilema Melayu Moden.”

“Sebelum kita pergi jauh menganalisis tajuk itu, mari kita lihat Prakata yang ditulis oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada buku saya bertajuk Cuit: Dilema Melayu Moden yang dilancarkan beliau pada 6 Mac 2013 lalu di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur.

Kata beliau: “Bangsa Melayu hari ini betul-betul berada di persimpangan. Kita melihat pelbagai perubahan berlaku di serata dunia yang tidak menjanjikan kehidupan yang lebih baik. Kita juga sedar apa yang kita capai hari ini bukanlah sesuatu yang mudah dan mungkin pada satu masa lampau, sebelum kemerdekaan, kita tidak termimpi kehidupan setanding negara maju seperti sekarang.

Terdapat pula dalam kalangan bangsa kita yang lahir di tengah kemakmuran dan tidak pernah tahu ataupun tidak mahu mengambil tahu betapa sukar dan peritnya perjalanan yang perlu kita lalui untuk sampai ke tahap ini.

Akibatnya, rasa syukur dan terima kasih tidak wujud. Yang wujud cuma rasa tidak puas hati yang disogok dengan aliran pemikiran Barat yang mahukan kebebasan mutlak tanpa memikirkan akibatnya kepada adat resam dan agama kita.

Maka hilanglah jati diri dan terhakislah kesedaran politik yang secara langsung membawa kepada terhakisnya kuasa politik itu sendiri.

Apa yang cukup signifikan dalam Prakata itu ialah apabila beliau berkata begini:

Dilema Melayu masa lampau ditangani ketika orang Melayu sedar bahawa kedudukan mereka terancam dan mereka perlu bersatu untuk mengatasinya.

Dilema Melayu masa kini ialah ramai yang tidak sedar kedudukan mereka terancam dan kerana itu tidak perlu kepada perpaduan malahan ada yang menyokong perpecahan.

Perbandingan yang dibuat itu cukup penting untuk dikaji apabila beliau melihat kepada dua pandangan yang berbeza iaitu semasa beliau menulis buku kontroversinya pada tahun 1971 yang kini cukup bernilai dalam kajian sains politik iaitu bertajuk The Malay Dilemma; berbanding dengan Dilema Melayu Moden masa kini.

Melayu kini bukan seperti Melayu pada tahun-tahun awal kemerdekaan. Itu adalah tahun-tahun kepada perjuangan untuk menuntut hak, keseimbangan dan kesaksamaan antara kaum. Alhamdulillah kini kita telah mempunyai sebuah institusi seperti UiTM hasil daripada perjuangan orang terdahulu.

Tanpa mereka, tanpa perjuangan mereka itu, mungkin perjuangan atau struggles itu akan terus berlaku sehingga ke hari ini.

Namun, suasananya kini sudah berbeza. Melayu kini, menurut Tun Dr. Mahathir ialah “ramai yang tidak sedar kedudukan mereka terancam dan kerana itu tidak perlu kepada perpaduan malahan ada yang menyokong perpecahan”.

Kata-kata itu bukan kosong. Ia amat bererti kepada kita semua hari ini. Angka-angka statistik tidak pernah berbohong. Keputusan PRU-12 pada 2008 adalah realiti dan kenyataan. Penganalisis politik menyifatkan penolakan oleh orang Melayu khususnya, sebagai satu Tsunami Politik yang cukup hebat dalam sejarah politik tanah air.

Orang Melayu telah menolak kerajaan semasa yang mendukung mereka selama ini. Sama ada mereka menolaknya disebabkan oleh faktor-faktor semasa ataupun tidak, ia bukan satu persoalan, tetapi hakikatnya mereka telah menolaknya.

Kajian Norhayati Mohd. Salleh bertajuk: Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12): “Tsunami” Politik Melayu? (April 2008) menyatakan bahawa “Umumnya dimaklumi bahawa dalam PRU-12 lalu Parti Barisan Nasional (BN) telah mengalami pencapaian keputusan terburuk dalam sejarah pilihan raya di negara ini. BN hanya memenangi 140 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi yang ditandinginya.

Di peringkat DUN, BN hanya memenangi 307 kerusi daripada 505 kerusi yang ditandinginya. Daripada jumlah tersebut Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) telah memenangi 78 kerusi Parlimen, MCA 15 kerusi, MIC 3 kerusi, Gerakan 2 kerusi dan People’s Progressive Party (PPP) tidak memenangi sebarang kerusi.

Daripada segi analisis peratusannya boleh dikatakan bahawa calon-calon Parlimen PPP telah tewas 100 peratus, Gerakan 80 peratus, MIC 67 peratus, MCA 62.5 peratus dan Umno 27.3 peratus.

Secara keseluruhannya, BN hanya mendapat 51.2 peratus undi majoriti dan gagal untuk memperolehi 2/3 majoriti di Parlimen.

Persoalannya, adakah penolakan itu, yang kesannya sehingga ke hari ini akan berterusan? Adakah orang Melayu sudah merasakan bahawa kuasa politik bukan lagi sesuatu yang diperlukan? Adakah mereka sudah selesa? Adakah mereka sudah boleh berdiri sendiri?

Dalam konteks kita, saya mengatakan bahawa, orang Melayu dilihat sedang menghadapi satu dilema atau satu perasaan serba salah yang amat berat. Perpecahan Melayu, atau “perbezaan pandangan” — dalam istilah lain yang lebih sederhana - yang berlaku secara sengaja atau tidak, dilihat merupakan satu manifestasi kepada proses kematangan tersebut.

Realitinya, pada pemerhatian saya orang Melayu telah berpisah kepada beberapa bahagian: Melayu Umno, Melayu PAS, Melayu PKR, Melayu DAP, Melayu Liberal, Melayu Atas Pagar dan Melayu NGO.

Masing-masing mempunyai agenda dan haluan politik masing-masing. Jika itu benar, adakah kita masih boleh menganggap orang Melayu itu sebagai kaum majoriti lagi di negara ini?

Ternyata proses kematangan yang disebut tadi telah membuka ikatan-ikatan yang terikat kuat dahulu. Ironinya orang Melayu sendiri yang merungkai dan membukanya. Adakah ini juga dikenali sebagai satu proses demokrasi?

Dalam salah satu tulisan bertajuk “Strategi Pecah, Perintah dan Tawan Pembangkang” (10 September 2009), saya ada menyatakan bahawa PRU-12 pada 2008 telah meletakkan satu petunjuk, yang tidak pernah terlintas di fikiran selama ini, yang orang bukan Melayu boleh menguasai kuasa politik di negara ini.

Ia boleh berlaku jika orang Melayu berpecah. Orang Melayu yang marah, keliru, sakit hati secara protes tidak memberi undi kepada parti pemerintah, yang bangsa mereka sendiri menguasainya.

Protes itu secara tidak sengaja telah memberi petunjuk, yang parti berasaskan Cina seperti DAP pun boleh menguasai negara ini. Negeri-negeri yang dikuasai DAP pada pilihan raya umum lalu ialah Pulau Pinang, Perak, Selangor dan sebahagian besar Wilayah Persekutuan. Negeri Sembilan hampir-hampir dikuasai mereka. Jika Melaka dan Johor pun jatuh ke tangan DAP - maka sebahagian besar Pantai Barat “emas” Semenanjung Malaysia akan dikuasai DAP.

Jika ia berlaku maka empayar DAP itu akhirnya akan menemui titik pertemuannya dengan abang mereka PAP dari Singapura. Apa seterusnya berlaku, belum terlintas lagi di fikiran, namun teorinya mungkin sudah boleh diagak.

Secara akademik, ia tidak mustahil berlaku. Melihatkan perkembangan semasa ia memang boleh berlaku. Jika perkembangan itu membawa kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini, maka Melayu sudah boleh menjangka nasib mereka. Hasil strategi tidak putus asa pembangkang, mereka telah berjaya mewujudkan beberapa puak yang bertelagah dalam kalangan orang Melayu.

Orang Melayu pula dalam masa yang sama terlalu ego dengan pegangan dan fahaman masing-masing. Melayu Umno, Melayu PAS, Melayu PKR dan segelintir Melayu DAP terlalu taksub dengan ideologi kemelayuan, keislaman, keadilan dan kesaksamaan mereka.

Kesimpulannya, sama ada kita suka atau tidak, proses kematangan politik Malaysia sedang berjalan.

PRU-13 ini, yang disifatkan oleh pemerhati politik sebagai mother of all elections akan menjadi satu lagi penyaksian, testimoni dan keterangan kepada satu lagi persimpangan, untuk orang Melayu.

Akhir sekali, saya mahu menyudahi kertas ini dengan pepatah Melayu yang dicipta, hasil terantuk baru terngadah, oleh orang Melayu dulu-dulu yang berbunyi:

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh! — Utusan Malaysia

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments