Rencana

PRU 13: Bom jangka perkauman berdetik kencang — Anuar Mohd Nor

13 DIS — PRU 13 — kaum Cina sudah buat keputusan — bom jangka perkauman berdetik kencang. Adakah benar kaum Cina telah membuat keputusan — majoriti mereka telah menetapkan tidak akan mengundi BN/Umno. Adakah ini benar. Ini telah disuarakan kepada www.umno-reform2.com oleh salah seorang kepimpinan BN baru-baru ini.

Menurut kepimpinan itu harapan BN/Umno adalah pada undi Melayu dan India sahaja. Ini pasti akan memberi kesan besar kepada BN dengan pengurangan besar undi Cina yang menyokong BN dan ini akan melibatkan kawasan-kawasan bandar dan tepian bandar yang berdesak dengan arus desakan perubahan yang dilancarkan oleh pembangkang.

Kenapa perkara ini berlaku? Kenapa majoriti Cina dikatakan menolak BN dan apa puncanya? Dimaklumkan kepada kami — dalam diskusi ringkas dengan kepimpinan BN ini — punca peralihan sokongan ini adalah kerana sebelum ini orang Cina adalah dalam keadaan ketakutan dan hanya yakin bahawa MCA/BN sahaja yang dapat menyelamatkan mereka. Peristiwa 13 Mei 1969 juga dikatakan faktor mereka terus mengundi BN kerana mereka tidak mahu ada gangguan perhubungan kaum. Ketakutan ini menyebabkan mereka akur dan tidak mengundi parti lain selain dari BN.

Faktor kedua mereka mengundi BN adalah kerana ruangan ekonomi mereka terus dan tetap ada. Peranan besar mereka dalam ekonomi adalah hasil dari ruangan yang diberi oleh kepimpinan BN kepada mereka. Faktor ekonomi adalah pegangan asas penentuan kenapa mereka sebelum ini memilih BN.

Namun hari ini semua sudah berubah, kata kepimpinan BN tersebut. Kaum Cina tidak takut lagi kerana politik saingan BN sudah membesar dan sudah mempunyai kekuatan dan dikatakan akan memperluaskan lagi peluang dan ruangan kaum Cina dalam politik. Janji untuk menyelamatkan kaum Cina — lebih liberal dan menghapuskan demarkasi kaum — dengan menurunkan keistimewaan kepada orang Melayu adalah janji yang dimakan oleh kaum Cina. Janji kesamarataan antara kaum telah dihulurkan sungguhpun mekanisma ini sebenarnya amat diragui pelaksanaannya.  

Selain dari itu parti besar Cina dalam BN yakni MCA dan Gerakan telah dilabel tidak memperjuangkan hak kaum Cina malah hanya akur untuk kepentingan diri sendiri sahaja. Label buruk ini sudah merebak dan ini seakan diterima oleh kaum Cina sendiri. Mereka mengatakan perjuangan DAP yang lebih cauvinis kaum adalah lebih sesuai dan Pakatan Rakyat adalah elemen alternatif yang akan memberi mereka ruangan lebih dari BN yang di dominasi oleh Umno.

Kepimpinan BN ini, dalam hujah kepada www.umno-reform2.com mengatakan bahawa PRU 13 ini akan menjadi sengit kerana peralihan undi Cina dan peralihan ini adalah kerana keyakinan yang dibentuk oleh Pakatan Rakyat bahawa mereka tidak rasis dan akan membuka seluruh ruangan dengan konsep kesamarataan yang dikatakan adil. Ini sukar dilaksanakan — tetapi dijanjikan semata-mata mendesak undi Cina untuk terus diberi kepada mereka.

Oleh itu kata beliau, PRU 13 ini adalah masih terikat sebagai PRU berasaskan kaum dan ini menjadikan satu saingan kepada komponen BN, seperti MCA dan Gerakan untuk memenangi kembali undi Cina. Apa langkah BN sekarang ini? Adakah BN akan melakukan langkah sama dengan PR iaitu membuka ruangan besar untuk mendapatkan semula undi Cina dan membodek undi Cina untuk kembali kepada BN dengan peruntukkan besar kepada kaum ini. Cina hari ini sudah nampak berani mendesak kerajaan untuk ruangan yang lebih luas dan tidak berasaskan keadilan sosial. Mereka menuntut dan sudah berani memperjuangkan agenda kaum yang mana sekiranya dilakukan oleh Umno — ianya dikatakan berasaskan ras. BN tersepit dan BN harus mula keluar dari kemelut persepsi kaum Cina bahawa MCA dan Gerakan tidak memperjuangkan agenda kaum Cina. Sekiranya ini berterusan maka PRU 13 akan menjadi PRU yang amat merbahaya — kerana bom jangka perkauman sudah berdetik kencang. —umno-reform2.com

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

Comments