Rencana

Pulihara Pasar Payang, nasi dagang, keropok lekor — Hassan Mohd Noor

25 FEB — Tidak lengkap jika berkunjung ke Kuala Terengganu, anda tidak singgah seketika di Pasar Besar Kedai Payang. Begitu juga tidak sempurna kalau tidak menikmati keenakan nasi dagang. Perdana Menteri Najib Razak juga tidak ketinggalan mengunjungi Pasar Payang dalam rangka kunjungan ke negeri Terengganu pada Sabtu lalu.

Sejurus tiba dari Kuala Lumpur, Najib terus ke Pasar Payang yang terletak di kawasan muara Sungai Terengganu. Beliau kemudiannya ke Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan bersarapan di sana dengan menikmati nasi dagang berlaukkan ikan tongkol atau ikan aya. Kehadiran Najib adalah bagi memenuhi program Jelajah Janji Ditepati.

Semasa berucap kepada ribuan penduduk Terengganu di Dataran Syahbandar, Najib memberitahu, ketika singgah di Pasar Payang, beliau dapat melihat keropok terbaik di dunia yang dibuat daripada ikan tamban dan sejenis kayu yang boleh dimakan. Di stesen bas pula Perdana Menteri dapat merasai nasi dagang yang terbaik di dunia. Begitulah Pasar Payang dan nasi dagang, dua produk yang menjadi sebutan bagi setiap orang yang berkunjung ke Kuala Terengganu.

Sebenarnya di Pasar Payang, serba-serbi produk Terengganu boleh didapati. Di situ boleh ditemukan pelbagai jenis keropok dengan berbagai-bagai jenama, nasi dagang, kuih muih, batik, songket, sutera dan barangan logam. Di bahagian bawah dikhususkan untuk pasar basah yang turut menjual sayur, buah-buahan, ikan dan daging. Di tingkat satu pula, terdapat gerai-gerai yang menjual pelbagai barangan termasuk kraf tangan, keropok dan pakaian. Tidak hairanlah, seperti disebut, Pasar Besar Kedai Payang ini perlu dikunjungi oleh setiap pengunjung yang melawat Terengganu. Di sana ada oleh-oleh untuk dibawa pulang. Bagaimanapun Pasar Payang mendapat perhatian baru-baru ini apabila kerajaan negeri bercadang membangunkan semula pasar itu pada pertengahan tahun ini. pembangunan ini menimbulkan sedikit kontroversi.

Kehadiran Najib ke kawasan itu juga diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk membantah pembangunan semula itu. Kumpulan ini sudah tentu sependapat dengan pihak tertentu yang membantah pembangunan ini dengan menyatakan ikon warisan negeri itu akan hilang. Baguslah jika ada anak muda yang belum lahir ketika Pasar Payang diwujudkan mempunyai semangat untuk “melindungi” pasar itu. Kumpulan kecil termasuk segelintir anak muda ini mempunyai pelbagai alasan untuk menidakkan pembangunan semula pasar itu.

Hakikatnya, beberapa hari sebelum kedatangan Najib, kemelut berkaitan pembangunan semula itu sudah berakhir biar pun masih ada pandangan pro dan kontra dalam kalangan peniaga di situ. Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said selepas pertemuan dengan Jawatankuasa Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil cawangan Terengganu meminta pembangkang menghentikan fitnah berkaitan pembangunan semula Pasar Besar Kedai Payang dan tidak mempolitikkan isu itu untuk meraih sokongan rakyat. Pembangunan semula pasar itu dibuat setelah ia disahkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (bahagian Forensik) berikutan kerosakan struktur rasuk di bawah pasar itu yang menempatkan jualan barangan basah.

Kata Ahmad, peniaga perlu berfikiran terbuka dan berani menerima pembaharuan selaras dengan hasrat Terengganu untuk terus maju dan terkenal sebagai destinasi pelancongan. Yang lebih penting, beliau memberi jaminan semua peniaga sekarang akan dikekalkan, tanpa sebarang perubahan ketara, hanya usaha menaik taraf pasar kepada keadaan yang lebih selesa dengan pelbagai kemudahan moden dan canggih. Reka bentuk kedai juga akan diperbesarkan, laluan pengunjung yang lebih luas, berhawa dingin serta kemudahan tangga bergerak (eskalator) untuk kemudahan pengunjung.

Mengikut perancangan, pasar baru empat tingkat itu akan mengandungi 1,000 lot perniagaan. Projek bernilai RM400 juta itu juga bakal dilengkapi sebuah hotel 23 tingkat dan pangsapuri 30 tingkat dengan 500 lot parkir. Setiap pembangunan semula, pasti akan ada perubahan. Adakah setiap pembangunan semula itu perlu mengekalkan suasana yang ada sedangkan peluang untuk melakukan perubahan sewajarnya boleh dilakukan? Tidak dinafikan peniaga-peniaga bersedia menerima perubahan baharu tetapi sedikit sebanyak masih ada keraguan. Sudah pasti isu-isu perkaitan dapat diselesaikan dengan baik oleh kerajaan negeri. Sudah menjadi resam yang baharu tidak akan sama yang lama. Yang patah akan tumbuh tetapi yang tumbuh tidak mungkin sama dengan yang patah.

Pasar Payang bukan untuk orang Terengganu semata-mata. Ia perlu dipromosikan untuk menarik perhatian para pengunjung membeli-belah di situ. Biarlah apabila disebut Kuala Terengganu, maka Pasar Payang akan menjadi tempat yang mesti dikunjungi untuk membeli-belah. Contohnya di Bandung, setiap orang akan ke Pasar Baru untuk membeli-belah. Di sana ada serba- serbi termasuk kain dan pakaian seperti di Pasar Payang. Maka Pasar Payang juga perlu dijadikan sedemikian.

Bagi menjaga ikon warisan, nama Pasar Besar Kedai Payang akan tetap kekal walaupun akan berwajah baru. Orang akan tetap berkunjung ke sana jika segala-galanya ada di situ dengan suasana yang lebih selesa. Apa yang penting, peniaga harus mengekalkan atau memperbaiki mutu produk jualan mereka. Dan pada masa yang sama mengawal harga jualan.

Jangan apabila sudah ada bangunan baru, rasa nasi dagang tidak seenak dulu, keropok lekor pula hilang rasanya yang sebenar. Begitu juga kualiti batik, tenunan songket dan sutera pula perlu dipertingkatkan. Dalam erti kata lain, kita perlu memulihara, memulih dan memelihara atau pulihara produk yang sudah sebati dengan Terengganu. Jagalah Teganu kita! — utusan.com.my

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

Comments