Rencana

Rampasan kuasa tentera Mesir dan pembunuhan penunjuk perasaan aman - Mohamed Azmin Ali

Kami mengutuk tindakan tentera Mesir pada Sabtu lalu yang mengeluarkan arahan 'tembak untuk bunuh'  penyokong pro-Morsi di Kaherah yang menunjuk perasaan secara aman.

Penjelasan yang diberikan oleh kerajaan sementara untuk menjustifikasi tindak balas itu sebagai langkah mempertahankan diri tidak boleh diterima berdasarkan pelbagai laporan bebas mengenai kejadian itu.

Adalah jelas bahawa kerajaan sementara berpakat dengan tentera untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penunjuk perasaan aman terutama ahli Ikhwan Muslimin untuk melemahkan pergerakan dan melumpuhkan bantahan mereka terhadap rampasan kuasa tentera.

Tidak syak lagi bahawa rampasan kuasa itu merampas kejayaan rakyat Mesir menumbangkan rejim Mubarak pada 25 Januari 2011.

Dengan menggulingkan Presiden Morsi yang dipilih secara demokratik dan meletakkan kerajaan sementara yang berfungsi seperti boneka, tentera melanggar hak demokratik rakyat Mesir dan pemerintahan era Mubarak dikembalikan melalui dekri ketenteraan.

Sikap dan reaksi masyarakat antarabangsa, khususnya Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, jelas menunjukkan "double standard" mereka apabila ia berkait dengan demokrasi bagi kerajaan Islam. Nampaknya bagi Amerika, Kesatuan Eropah dan juga beberapa negara Arab, antara diktator tentera dan kerajaan Islam yang dipilih oleh undi popular, kediktatoran tetap pilihan yang lebih baik.

Kami menyeru masyarakat antarabangsa untuk menamatkan kepura-puraan ini dan melakukan perkara yang betul dengan meletakkan tekanan ke atas tentera Mesir untuk mengembalikan kerajaan Morsi yang dipilih dengan sewajarnya, melepaskan mereka yang ditahan tanpa syarat dan mengelakkan sebarang pertumpahan darah lagi.

* Mohamed Azmin Ali ialah Timbalan Presiden PKR.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments