Rencana

Revolusi memanjang: Mengenal yang hak daripada yang batil — Kassim Ahmad

6 APRIL — Dalam masa dua tiga dekad ini, banyak peristiwa telah tercetus menggulingkan diktator di Eropah dan di Asia Barat. Peristiwa-peristiwa ini telah diberi nama revolusi, seperti revolusi halus di Czechoslovakia pada Disember 1989 dan revolusi-revolusi di Tunisia, Mesir dan negara-negara Arab lain mulai Disember 2010 membawa ke 2012. Adakah peristiwa-peristiwa ini suatu kebangkitan, atau kerosotan? Apakah punca atau punca-puncanya?

Melihat kepada negara-negara yang telah melalui gerakan-gerakan sosial aman ini, di antara punca-puncanya pemerintahan diktator atau autokratik, kadar kemiskinan dan penagguran yang tinggi, rasuah dan kenaikan harga barang-barang. Nyatalah semua ini tidak baik bagi mana-mana  masyarakat pun dan penentangan terhadapnya wajar. Namun demikian, penentangan itu satu aspek saja dari masalah ini. Satu aspek lagi penyelesaiannya. Kedua-dua aspek ini tidak boleh dipisahkan.

Semua gerakan ini telah berjaya menggulingkan pemerintahan-pemerintah autokratik tersebut, tetapi pembaharuan-pembaharuan yang diperlukan (pertumbuhan ekonomi, pemerintahan yang demokratik, telus dan cekap dan penghapusan rasuah) tidak atau belum berlaku. Apakah ia akan berlaku? Jika tidak, masalah tidak selesai; huru-hara akibatnya.

Ramai yang mengesan punca gerakan-gerakan penentangan aman ini kepada pengarun tulisan-tulisan meluas seorang pengarang Amerika, Gene Sharp (lahir 1928), seorang profesor sains politik di Universiti Massachusetts, Dartmouth.

Sejauh mana anggapan ini benar atau tidak, nyatalah isu-isu ekonomi-sosial yang menjadi asas gerakan-gerakan penentangan ini perlu ditangani dengan baik. Nampaknya, gerakan-gerakan raksasa ini tidak mempunyai pemimpin-pemimpin yang jelas. Bukan satu tetapi ramai kumpulan yang menyertainya. Di Mesir, umpamanya, setelah Mohammed Morsi dari pertubuhan Ikhwan’ul-Muslimin dipilih menjadi presiden, belum ada apa-apa perubahan yang berlaku. Sebaliknya, akibat daripada ketiadaan apa-apa perubahan, berlaku pula penentangan besar-besaran terhadapnya.

Apakah pelajaran yang boleh kita dapat dari revolusi di Mesir ini? Nyatalah, sesuatu perubahan sosial yang diperlukan mesti dirancang. Meruntuhkan order yang lama saja tidak cukup. Perancangan yang rapi membangunkan satu order baru mengganti yang lama mesti ada.

Sejarah membuktikan bahawa rakyat ramai, di bawah keadaan yang sesuai, boleh dipengaruhi untuk bertindak baik atau jahat. Revolusi Amerika (1775-1783) contoh revolusi yang membawa kepada kebaikan; Revolusi Perancis (1789-1799) membawa kebaikan dan juga keburukan. Revolusi Rusia (1917) ganas dan membawa kepada pemerintahan kediktatoran komunis yang kemudiannya dengan cepat ditumbangkan. Begitu juga dengan revolusi komunis China (1945-1952).

Revolusi anti-kolonial yang melanda Asia dan Afrika selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua membawa kepada kemerdekaan bagi banyak negara-bangsa baru, termasuk India, Indonesia, Vietnam dan Algeria melalui perjuangan-perjuangan bercampur aman dan berdarah.

Nabi Muhammad (570-632), pada pendapat saya, memimpin sebuah revolusi contoh (622-632) yang paling baik dalam sejarah. Ia tidak bermula dengan tunjuk perasaan beramai-ramai. Ia bermula dengan sebuah falsafah yang mentakrifkan matlamat sosial dan humanis yang dituju, melalui penggubalan perlembagaan untuk negara-bangsa yang diinginkan dan melalui perjuangan bersifat humanis untuk merealisasi matlamat perjuangan itu. Kejayaan revolusi ini dan impaknya dalam sejarah dunia amat besar.

Namun demikian, kita tahu bahawa sejarah tidak meningkat tunggal garis menegak. Ada kalanya ia merosot dan garisnya berpatah balik. Namun demikian, dari segi jangka panjang, sejarah memperlihatkan evolusi budaya manusia. Demikian berlaku kepada semua revolusi; demikian kepada revolusi Islam pimpinan Nabi Muhammad.

Alam Raya dan sejarah bukti kepada wujudnya suatu kuasa yang memimpin masyarakat manusia dalam semua tahap evolusinya. Kuasa ini telah merakamkan ajarannya dalam kitab-kitab suci, termasuk kitab-kitab Taurat, Injil dan Quran. Di antara semua kitab suci ini, Quran memiliki satu mekanisme dalaman (Kod 19; Quran, 70:30) yang menjaminkan kesahihannya sepanjang zaman. Saya percaya Quranlah yang akan menyelamatkan manusia dari penyelewengan-penyelewengannya dan akan membawa dia ke mercu kejayaan dan kesempurnaan. —kassimahmad.blogspot.com

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

Comments