Rencana

Salahkah Melissa Gooi? Ajarlah Asas Perlembagaan di sekolah — Zaini Hassan

8 JUN — Saya tidak salahkan Melissa Gooi yang mencetuskan kisah menghina Yang di-Pertuan Agong dalam facebooknya. 

Sebenarnya, Melissa dan rakan-rakan facebooknya, Shuh Chien Loo, Hun Kiet Wong, Carol Tay yang berbicara mengenai titah Yang di-Pertuan Agong itu mungkin tidak kenal pun siapa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Mereka tidak tahu pun fungsi-fungsi baginda. 

Bagi Melissa dan rakan-rakan Cinanya, mungkin istilah Yang di-Pertuan Agong tiada makna bagi mereka. 

Saya andaikan Melissa dan rakan-rakannya berada dalam kategori umur 30 ke bawah atau lebih rendah lagi. 

Difahamkan pihak keselamatan sudah menahan dia untuk bantu siasatan. Namun sehingga Cuit ini ditulis, rakan dia masih belum ditemui. Adakah rakan Melissa ini wujud atau sebaliknya di alam maya itu masih belum diketahui. 

Perlu disebut banyak akaun facebook kini adalah palsu atau fake yang diwujudkan dengan niat jahat. 

Namun apa pun, kisah Melissa Gooi itu seharusnya menjadi satu kisah teladan oleh kita semua, juga oleh kerajaan BN yang diberi mandat baru dan oleh barisan jemaah Kabinet yang baru dilantik tempoh hari. 

Bukan masa lagi mahu menongkat dagu memandang ke langit. Sesuatu harus dilakukan terhadap orang seperti Melissa yang semakin hari, semakin tahun, semakin dekad semakin generasi, semakin bertambah. 

Ia memperlihatkan berlakunya satu fenomena kejahilan atau ignorant mengenai sistem kebudayaan kita, sistem kenegaraan kita yang menjalar kepada sistem Perlembagaan Negara kita. 

Walaupun Melissa jahil, saya tidak akan membelanya jika dia dengan sengaja menghina Yang di-Pertuan Agong. Semua orang yang waras tahu itu adalah satu perbuatan yang salah. 

Hakikatnya, oleh sebab Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan, peranan Yang di-Pertuan Agong kebanyakannya hanyalah sebagai istiadat. 

Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan. Cadangan jawatan Yang di-Pertuan Agong timbul berikutan tentangan terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat ingin menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu. 

Perlembagaan menyatakan dengan jelas bahawa kuasa eksekutif, secara teorinya di bawah kuasa ketua kerajaan, dilaksanakan oleh (atau dengan nasihat) Kabinet atau Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri. 

Namun begitu, adakah orang dalam bidang guaman dan undang-undang, siapa yang boleh bercakap mengenai bab Perlembagaan ini? 

Saya menguji anak saya di Tingkatan 2, tahu atau tidak apa itu Perlembagaan Malaysia, jawapan pendeknya, Tak! 

Saya menguji pula dalam kalangan pelajar universiti, ada yang kurang jelas. Ada yang tahu hanya untuk perkara-perkara tertentu yang popular sahaja seperti Perkara 153. Itu pun bukan semua. Yang lain-lain kurang jelas, termasuk mengenai soal bahasa dan kebebasan individu. 

Mereka kelabu hitam apabila saya bertanya lanjut mengenai Perlembagaan Negara. 

Saya tanya mereka tidak belajarkah di sekolah dulu: ?Tidak”. 

Oleh itu saya tidak salahkan Melissa Gooi. Jika Melissa mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina maka saya rasa jatidiri kemalaysiaan dia akan lebih jauh lagi. 

Jika di Sekolah Kebangsaan sendiri pun para pelajarnya jahil, apatah lagi di SRJK Cina atau Tamil? Maka itu, saya tidak salahkan Melissa Gooi. Tetapi saya salahkan sistem pendidikan negara ini. 

Saya masih ingat apabila saya perlu menduduki satu peperiksaan untuk kemasukan ke universiti di Amerika Syarikat lama dulu, kita perlu menjawab soalan-soalan mengenai Perlembagaan Amerika Syarikat. Ujian itu diadakan di Kuala Lumpur. 

Salah satu soalan mudah yang perlu dijawab kalau tak salah saya ialah: Which of the following were Presidents of the United States: a) John Adams b) John Hancock c) John Henry d) John Kennedy. 

Selain Perlembagaan AS, calon juga diminta menjawab soalan-soalan berkaitan dengan sejarah negara itu. 

Apabila membaca modulnya, saya tertarik dengan penjelasannya yang berbunyi: An understanding of the past is necessary for solving the problems of the present. (Pemahaman mengenai masa silam adalah penting untuk menyelesaikan masalah-masalah sekarang). Kita perlu menulis esei mengenainya. 

Kita yang tidak kena mengena dengan sistem negara itu pun kena lulus ujian GRE itu, sebagai prasyarat memasuki ke sesetengah universitinya. Itu pengalaman saya. 

Di Malaysia, saya tidak nampak ujian seperti ini dijalankan. 

Di negara kita tercinta ini, saya tidak nampak ia diajar di sekolah-sekolah. Jika ada, sudah tentu salah satu soalannya ialah: Berikut manakah nama-nama Yang di-Pertuan Agong Malaysia: a) Sultan Muaazam Shah b) Sultan Abdul Malik Shah c) Sultan Ibrahim Shah d) Sultan Abdul Halim Mu?adzam Shah. 

Jika ia diajar sudah tentu ia boleh dijawab. Jika ia diajar sudah tentu Melissa Gooi dan rakan-rakannya “tidak tergamak” untuk mempersendakan baginda Yang di-Pertuan Agong dan institusi raja Melayu negara ini. 

Oleh itu saya syorkan Kementerian Pendidikan yang kini sudah disatukan dan mempunyai dua orang menteri, termasuk oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri, dengan timbalan-timbalan menteri mula memikirkan soal ini. Ia bukan untuk soal hari ini sahaja, atau untuk penggal ini sahaja, tetapi untuk generasi rakyat Malaysia. 

Tak kenal maka tidak cinta. Jika subjek atau mata pelajaran Asas Perlembagaan, misalnya tidak diperkenalkan, seperti mana subjek US Constitution itu, maka selama itulah orang kita akan terus-menerus mempertikaikan Perlembagaan Negara. 

Jangan salahkan pelajar kita atau generasi itu jika mereka juga sudah tidak faham kepada erti dan falsafah Rukun Negara dan Perlembagaan Negara. 

Di Indonesia, pemahaman mengenai Pancasila atau teras Perlembagaan negara itu adalah satu kewajipan. 

Maka itu tidak kira mereka itu Jawa, Cina, Acheh, Padang, Papua dan apa saja etnik di Indonesia, Pancasila telah menyatupadukan jati diri bangsa negara itu. 

Orang Cina Indonesia sesama kaum mereka bercakap bahasa Indonesia di negara itu dengan loghat dan fonetik yang seragam. Orang Cina Malaysia pula bercakap bahasa Melayu dalam pelat kecinaan, kerana orang Melayu pun bercakap dalam pelat kedaerahan masing-masing. 

Saya buat ujian lagi. Kali ini kepada pembantu rumah saya warga Indonesia berusia 35 tahun. Dengan lancar dia menjawab: Pancasila itu ialah asas kenegaraan Indonesia. 

Sepatutnya Malaysia yang mempunyai etnik dan kaum yang semakin menjurang ini sudah lama menekankan konsep itu. 

Namun kita masih berperang kepada perkara-perkara asas mengenai soal keperkasaan bahasa Inggeris, bahasa Melayu, subjek matematik, sains - tanpa mengambil berat mengenai soal teras atau core kenegaraan itu sendiri iaitu Perlembagaan Negara. 

Saya berharap Kementerian Pendidikan dapat memikirkan perkara ini supaya kita tidak lagi melahirkan Melissa Gooi dan rakan-rakannya, untuk hari ini dan generasi akan datang. Ajar subjek Asas Perlembagaan itu mulai di Tingkatan Satu sehingga seterusnya, di semua aliran sekolah. 

Lantiklah pakar-pakar Perlembagaan merangka subjek itu. Lantik juga bekas-bekas hakim seperti Yang Arif Datuk Mohd Nor Abdullah - yang sungguh ironik, penjelasannya mengenai Perlembagaan negara dalam satu wacana baru-baru ini telah disalahtafsirkan oleh orang ramai dan media. 

Bukan salah bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu, tetapi kerana jahilnya rakyat kita mengenai Perlembagaan sendiri. 

Oleh itu, jangan salahkan Melissa Gooi dan rakan-rakannya. Salahkan diri kita sendiri. — utusanonline.com.my

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments