Rencana

Sejarah wakaf koperat di Malaysia — Ahmad Mohsein bin Azmi

5 Nov — Pembangunan wakaf korporat di Malaysia telah bermula sejak penubuhan Wakaf Annur Korporat Sdn Bhd (wancorp) yang diterajui Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Wancorp yang dinilai pada RM200 juta pada 2006 telah berjaya meningkat kepada RM538.5 juta pada tahun 2011. Wancorp menjadikan projek klinik Wakaf Annur sebagai asas menyumbang kepada masyarakat apabila lebih 800,000 pesakit telah dirawat dengan hanya bayaran RM5. Bantuan kesihatan ini turut dinikmati oleh bukan Islam. Projek klinik Wakaf ini telah menjangkau 17 cawangan diseluruh negara. Wancorp juga menyumbang kepada pinjaman tanpa riba melalui Wakaf Dana Niaga untuk perniagaan kecil-kecilan. Wancorp juga menaja rumah kebajikan anak yatim, 8 buah masjid dan sekolah agama.

Wakaf Korporat adalah satu bentuk entiti korperat yang diwakafkan oleh pemegang saham atau penyumbang dana sebagai kaedah untuk menjana kewangan berterusan untuk membiayai projek-projek kemasyarakatan. Syarikat wakaf tersebut adalah diasaskan secara sendirian berhad kemudiannya menjalankan aktiviti perniagaan secara biasa untuk menjana keuntungan. Dari hasil keuntungan itulah projek bantuan wakaf boleh dilaksanakan tanpa merisaukan dana terputus.

Yayasan Wakaf Malaysia pula ditubuhkan pada 23 Julai 2008. Pada tahun 2010 sahaja lebih 300 wakaf bazaar di masjid-masjid seluruh Malaysia telah siap dibina bagi menjana pendapatan kepada masjid-masjid tersebut. Yayasan Wakaf Malaysia juga telah membantu pembinaan sekolah-sekolah agama.

Banyak bantuan gagal berkekalan akibat dana terputus yang diluar kawalan pelaksana. Namun dengan menggunakan perniagaan sebagai pemangkin dana bagi aktiviti-aktiviti tersebut, ia dilihat mampu berkekalan bahkan boleh menjana dana yang lebih besar akibat keuntungan melalui perniagaan.

Kertas ini akan membincangkan masalah perundangan dalam mengiktiraf keistimewaan syarikat berstatus wakaf, pendaftaran, tadbir urus syarikat wakaf, kuasa syarikat, penubuhan lembaga pemantau syarikat wakaf, bidang kuasa mahkamah, dan keseragaman undang-undang dan pentadbiran.

Status wakaf korperat

Pada asasnya, pemilik syarikat wakaf adalah allah, kerana apabila sesuatu harta diwakafkan, maka ia menjadi milik allah. Namun syarikat tidak boleh dijalankan dengan membuat keputusan ghaib oleh itu manusia jugalah yang akan mentadbir syarikat walaupun tidak memiliki syarikat tersebut. Sebagai contoh, Wancorp dinamakan sebagai pemilik dan pihak majlis agama diwakili didalam mesyuarat lembaga. Hal ini berbeza dengan pentabiran syarikat biasa dimana pemilik atau pemegang saham terbesar mempunyai kata akhir dalam sebarang keputusan. Oleh itu bagaimanakah keputusan lembaga pengarah syarikat wakaf harus dibuat? Adakah ia perlu mengikut keputusan majlis agama semata-mata atau membenarkan pengarah syarikat wakaf/ pemegang amanah yayasan membuat keputusan secara bermuafakat dan bersama-sama secara berobjektif.

Adakah wajar menggunakan kaedah two-tier board atau sekadar satu lembaga pengarah eksekutif? Kaedah two-tier board kebiasaannya diamalkan untuk mengambil kira kepentingan stakeholders seperti yg di amalkan di jerman. Kemungkinan untuk berlaku salah guna juga akan dikurangkan kerana kuasa keputusan eskekutif dan penasihat diasingkan. Eksekutif hanya menjalankan tugas selepas mendapat kebenaran dan sentiasa dipantau oleh lembaga penasihat dan perancang. Yang lebih penting, kesemua pihak diwakili di lembaga penasihat dan mempunyai hak dan kuasa sama rata untuk membuat keputusan. Kaedah ini diamalkan oleh yayasan iqra dimana pemegang amanah menjadi lembaga penasihat manakala jawatakuasa eksekutif menjalan tugas eksekutif.

Adakah model wakaf koperat lebih sesuai menggunakan model pendaftaran yayasan? Lembaga pengarah adalah pemegang amanah kepada yayasan yang ditubuhkan. Namun begitu kelemahan utama yayasan adalah pemilihan ahli pemegang amanah adalah dibuat secara perlantikan terus menteri atau hanya dicadangkan. Perlantikan seperti ini dikhuatiri membuka ruang kepada perlantikan tidak layak atau memilih bulu. Pendaftaran yayasan adalah dibuat di bahagian undang-undang jabatan perdana menteri dibawah peruntukan akta pemegang amanah 1952. Bagaimana pula jika sekiranya pemilik syarikat bercadang mewakafkan perniagaannya sebagai harta wakaf. Adakah kelak ia perlu ditubuhkan dengan status yayasan atau hanya dikekalkan status syarikat sedia ada.

Apakah komposisi yang sesuai bagi sebuah lembaga pengarah syarikat berstatus wakaf? Selain pengarah yang mahir dalam perniagaan dan pengurusan wakaf, sekurang-kurangnya ahli pengarah juga perlu terdiri dari wakil majlis agama Islam dan mufti, pihak lembaga pemantau, wakil kerajaan dan wakil masyarakat. Namun pemilihan ahli pengarah mestilah dibuat di mesyuarat tahunan syarikat. Pemilihan pengarah berdasarkan pengalaman dalam bidang perniagaan, pelaburan, shariah dan pentabiran perlu di ambil kira memandangkan pengarah/pemegang amanah ini mempunyai tugas khusus kepada masyarakat dan bukan tugas peribadi.

Persoalan seterusnya siapakah pula ahli syarikat wakaf tersebut? Pada asas pihak utama yang penting sebagai ahli adalah penyumbang dana dan masyarakat yang bakal menerima bantuan wakaf. Namun masih perlu dibincang adakah hanya ahli berdaftar sahaja yang layak untuk menghadiri mesyuarat atau sebaliknya. Kerana ia boleh diseleweng kerana pendaftaran boleh dibuat sebelum mesyuarat untuk mendapatkan undi lebih oleh pihak berkepentingan. Tan Sri Ali Hashim berpendapat semua pihak adalah ahli kepada syarikat wakaf. Namun begitu perlu dibuat sistem pendaftaran supaya ianya direkodkan.

Adakah boleh membenarkan ahli lembaga wakaf dari bukan Islam? Perkara ini adalah keputusan ijtihadi tetapi penulis lebih berpendapat penggunaan kepakaran bukan Islam boleh digunakan dalam urusan pentadbiran tetapi tidak diberi kuasa untuk membuat keputusan.

Pendaftaran

Persoalan utama berkaitan pendaftaran wakaf koperat. Dimanakah ia patut didaftarkan? Mungkin ia perlu didaftar di beberapa agensi untuk memenuhi syarat syarikat wakaf. Sebagai contoh sebuah syarikat wakaf perlu didaftar dibawah ROC, JAWHAR dan Majlis Agama negeri berkenaan.

Apakah syarikat ini tertakluk kepada undang-undang Akta Syarikat? Mungkinkah Akta Syarikat perlu dipinda berkaitan modal syarikat kerana pada hakikat modal syarikat wakaf bukan berdasarkan saham mahupun jaminan. Apatah lagi modal itu boleh ditambah hasil sumbangan derma orang awam. Oleh itu agak mustahil syarikat tersebut dinilaikan pada nilai saham atau jaminan.

Tadbir urus

Kejayaan sesebuah syarikat bergantung kepada tadbir urus yang betul dan berobjektif. Oleh kerana syarikat mempunyai objektif utama untuk menjana pendapatan bagiaktiviti yang dicadangkan oleh pewakaf. Maka objektif kelangsungan dan kelestarian pendapatan syarikat haruslah menjadi objektif utama. Prestasi lembaga pengarah juga perlu disemak untuk memastikan aset wakaf tidak disalahguna. Audit dan laporan perlu disediakan kepada pihak pemantau dan orang awam untuk menilai prestasi lembaga pengarah. Amalan terbaik seperti terdapat dalam tadbir urus koperat biasa seharusnya diamalkan bersesuaian dengan semangat wakaf. Walaupun peraturan tadbir urus koperat tidak diwajibkan kepada syarikat komersil, namun mengambil kira kepentingan wakaf kepada stakeholders, maka tadbir urus wakaf perlulah diwajibkan kepada kesemua pengurusan wakaf koperat. Antara perkara tadbir urus yang perlu diberi perhatian adalah termasuk menyediakan laporan tahunan berkaitan aktiviti serta menyatakan perancangan akan datang untuk semakan orang awam. Selain itu, tadbir urus yang baik juga mementingkan pemilihan ahli pengarah yang telus dan bebas seperti peranan independent director yang mewakili majoriti pemegang saham di syarikat koperat.

Kuasa syarikat

Syarikat wakaf sudah tentu perlu diberikan kuasa-kuasa bersesuaian dengan matlamat menjana pendapatan. Oleh itu kuasa seperti memasuki kontrak, membeli, menjual dan melabur dalam bidang tertentu perlu ditetapkan supaya dana terkumpul tidak dibelanjakan diluar perancangan wakaf. Persoalan penting tentang kuasa syarikat untuk berhutang, ini kerana jika hutang tersebut gagal dijelaskan ia akan menjejaskan kewangan syarikat bahkan akan merugikan harta wakaf. Bagaimana pula sekiranya syarikat wakaf mencagarkan harta wakaf sebagai imbalan untuk sesuatu pembiayaan? Perkara ini perlu diberi perhatian dengan peruntukan berkaitan kanun tanah negara dan enekmen berkaitan wakaf. Namun begitu syarikat wakaf perlu patuh kepada larangan-larangan shariah seperti transaksi ribawiyah atau perkara haram dalam urusan perniagaan kerana perkara itu akan mencemarkan kesucian dan keberkatan harta wakaf. Syarikat wakaf juga wajar diberikan hak menggunakan saluran undang-undang untuk mendapatkan tuntutan yang adil di mahkamah.

Lembaga peraturan (regulator)

Mengambil kira kuasa kerajaan negeri dalam memutuskan dan sebagai penjaga amanah harta wakaf. Sewajarnya setiap majlis agama adalah pihak yang berkuasa untuk mengawal peraturan-peraturan mengikut kuasa seperti ditetapkan menurut senarai kedua (state list) dalam perlembagaan persekutuan. Walaupun wujud kritikan terhadap prestasi majlis agama dalam menguruskan harta wakaf sebelum ini, kuasa Sultan dan kerajaan negeri tidak perlu dipinda bahkan diperkukuhkan dengan memperkenalkan enekmen wakaf bagi setiap negeri.

Oleh itu mana-mana syarikat wakaf yang ingin mengumpul dana atau melaksanakan projek wakaf di negeri tersebut perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh majlis dan mufti negeri berkenaan.

Hal ini adalah penting kerana peranan sultan sebagai pelindung agama dan majlis agama Islam sebagai pemegang amanah orang ramai lebih terjamin.

Yang ingin dimajukan adalah harta wakaf dan bantuan wakaf kepada masyarakat. Memansuhkan kuasa atau hanya sekadar memindahkan kuasa tidak menjamin pengurusan wakaf yang efisien. Syarikat wakaf hanya diberikan kuasa pengurus atau menjadi amil manakala sultan dan majlis agama tetap memiliki kata putus tentang harta wakaf di dalam negeri tersebut. Seperti Bank Negara Malaysia mengawal semua bank di Malaysia maka Majis Agama seharusnya menjadi regulator yang mahir dan berwawasan.

Badan pemantau dan penyelaras

Undang-undang yang berbeza akan memberi keputusan berbeza mengikut negeri dan mewujudkan pelaksanaan yang berbeza.

Namun begitu perlu ditimbang untuk mewujudkan badan pemantau dan peyelarasan diperingkat persekutuan untuk memastikan majlis agama dan syarikat-syarikat wakaf mampu memperbaiki prestasi dan mengekalkan keterbukaan (transparency) dalam setiap laporan aktiviti dan laporan kewangan.

Badan pemantau juga sewajarnya memberi panduan tentang penyediaan laporan yang mudah dirujuk dan difahami oleh orang awam. Badan pemantau dan penyelaras juga perlu mengadakan mesyuarat dengan wakil setiap majlis agama untuk menyelaras maklumat dan keputusan am.

Turut boleh dipertimbangkan ialah peranan badan pemantau untuk memberi penanda aras kejayaan sesuatu syarikat wakaf dengan penarafan prestasi. Ini lebih memudahkan penyumbang dana wakaf untuk menilai prestasi dan memilih syarikat wakaf yang benar-benar berkemampuan dan berjaya melaksanakan misi wakaf.

Antara lain badan pemantau dan penyelaras boleh menetapkan ratio komposisi lembaga pengarah yang ideal supaya keputusan diperingkat syarikat benar-benar diperhalusi dan mendapat keputusan terbaik.

Bidang kuasa mahkamah

Pada masa sekarang bidang wakaf terletak pada kuasa mahkamah shariah bagi menentukan kesahihan wakaf menurut syara’. Namun begitu banyak kes undang-undang dibawa ke mahkamah civil kerana melibatkan pertikaian tanah, pendaftaran menurut kanun tanah negara dan sebagainya.

Cadangan perundangan baru masih mengekalkan kuasa mahkamah shariah sebagai pelindung kepada kepetingan wakaf memandangkan hakim mahkamah syariah memahami teks fiqh dan mampu memutuskan perkara wakaf berkaitan hukum syara’. Bagi pendaftaran wakaf di peringkat persekutuan menurusi cadangan menwujudkan pendaftaran syarikah berstatus wakaf dibawah peruntukan akta syarikat 1967 maka perkara itu perlu diputuskan di mahkamah civil. Secara ringkas mahkamah sivil hanya memutuskan perkara yang di aktakan oleh kerajaan pusat dan mahkamah syariah memutuskan perkara yang di enekmenkan oleh kerajaan negeri.

Keseragaman undang-undang 

Ketidakseragamaan boleh mengundang perbezaan dan kecelaruan sistem perundangan. Namun begitu adalah penting bagi mewujudkan akta wakaf koperat supaya tanggungjawab dan kepentingan wakaf koperat diperkukuhkan di peringkat negara secara keseluruhan. Pindaan yang perlu dibawah akta syarikat juga perlu untuk memberi keistimewaan kepada syarikat berstatus wakaf.

Namun sekiranya mana-mana syarikat wakaf berminat menjadi mutawali (administrator) kepada mana-mana wakaf dibawah kerajaan negeri maka syarikat wakaf tersebut mestilah mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dibawah peruntukan enekmen wakaf negeri.

Ini tidak bercanggah dengan peruntukan perlembagaan dan tidak mencampuri kuasa kerajaan negeri yang mempunyai hak eksklusif bagi mentadbir urusan harta wakaf yang berada di negeri tersebut.

Kesimpulan

Semoga dengan kesungguhan kerajaan untuk mejayakan misi membangunkan sistem wakaf akan mendapat kerjasama semua pihak. Masyarakat perlu diberikan kefahaman bahawa agama islam bukan sekadar agama ritual tetapi juga mementingkan pembangunan ekonomi yang menyeluruh. Kebergantungan kepada sistem kapitalis akan merosakan masyarakat bawahan kerana ia tidak mampu mengimbangi kepentingan semua pihak. Kemerosotan ekonomi negara eropah adalah bukti sistem kapitalis sedang tenat akibat hanya mementingkan kaum pemodal tanpa mengambil kira kepentingan masyarakat bawahan.

Tidak mustahil suatu hari nanti industri wakaf juga mampu berkembang dengan pesat seperti perkembangan industri perbankan islam. Berdasarkan potensi yang ada, Malaysia mampu menjadi pemacu utama dalam usaha memodenkan sistem wakaf dan mengembalikan kegemilangan sistem ini. Kita mempunyai kepakaran dalam bidang wakaf di INCIEF dan usaha penyelidikan universiti perlu digiatkan untuk meneroka kaedah-keadah terbaik bagi memastikan sistem ini. Wajar juga dikhususkan fakulti wakaf atau cluster penyelidikan wakaf dari universiti tempatan.

 

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

Comments