Rencana

Selagi BN berkuasa, Taib akan terus bermaharajalela — Aspan Alias

April 06, 2013

6 APRIL — Taib Mahmud, yang enggan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), adalah petunjuk besar yang kekuatan pimpinan Persekutuan itu penting. Itulah sebabnya seorang Perdana Menteri itu tidak boleh mempunyai masalah undang-undang dan moral.

Sebuah negara berdaulat tidak akan mempunyai Perdana Menteri yang peribadi dan moralnya dipersoalkan oleh masyarakat dan rakyatnya. Itu sebabnya mana-mana Perdana Menteri yang dipersoalkan oleh rakyat tentang rekod peribadi mereka, pimpinan mereka akan berhadapan dengan berbagai-bagai masalah dan akhirnya rakyat yang menanggungnya.

Jika seorang Perdana Menteri itu tidak bersih dari sudut undang-undang dan moral peribadi, Perdana Menteri itu tidak akan mampu bertindak kerana beliau tidak akan dihormati oleh banyak pihak. Perdana Menteri yang tercalar imejnya dengan masalah moral tidak akan mampu bertindak terhadap kesalahan pimpinan yang di bawah mereka.

Dua minggu lepas saya ada menulis yang kes Taib Mahmud ini amat sukar untuk diperbetulkan. Walaupun Najib telah menyerahkan isu Taib Mahmud ini kepada SPRM, Taib dengan terang-terangan tidak mahu memberikan kerjasama beliau kepada SPRM. Sebaliknya Taib memberikan alasan yang SPRM itu nakal terhadapnya.

Najib mungkin bersungguh tidak mahukan Taib Mahmud memimpin Sarawak lagi, tetapi Najib tidak berdaya untuk meminta Taib untuk bersara atau pun berundur dari kedudukan yang beliau pegang sejak 30 tahun dahulu. Sebabnya mudah. Jika Taib dikatakan terpalit dengan isu rasuah yang besar-besar, Perdana Menteri seperti Najib tidak mungkin dapat melakukan perubahan di Sarawak. Saya telah menulis, jika Najib meminta Taib berhenti dari memimpin Sarawak kerana isu rasuah yang keterlaluan itu, Taib akan membalas balik dengan menunjukkan “middle finger” beliau kembali kepada Najib.

Penolakan Taib untuk bekerjasama dengan SPRM itu merupakan memberikan Najib “middle finger” itu kepada Najib. Najib sendiri mempunyai masalah yang berlori-lori, bagaimana beliau hendak menyelesaikan masalah Taib di Sarawak? Taib boleh mempermainkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia yang dilantik oleh Yang di Pertuan Agong itu kerana Taib sudah menjadi seorang Maharaja besar di negara ini.

Saya merasakan SPRM perlu memulakan tindakan undang-undang terhadap Taib kerana keengganan beliau tidak mahu bekerjasama dengan SPRM itu. Saya berpendapat SPRM yang dilantik oleh Yang di Pertuan Agong itu tentu ada peruntukan yang membolehkan Taib ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah kerana keengganan beliau bekerjasama dengan SPRM itu.

Tetapi pendeknya saya bermaksud jika seorang Perdana Menteri tidak bersih dari segi undang-undang dan moral kes seperti kes Taib Mahmud ini tidak akan dapat diselesaikannya dengan baik. Najib sendiri mempunyai masalah yang sama, tidak mungkin beliau mampu untuk bercanggah dengan Taib Mahmud dalam semua isu.

Kita sedang menunggu dengan sabar apakah tindakan Najib terhadap Taib yang telah mencerobohi undang-undang negara itu. Isu ini juga merupakan isu yang boleh dijadikan asas pertimbangan dalam pilihanraya kali ini.

Kita memerlukan karektor yang kuat untuk menyelesaikan isu seperti ini dan karektor ini tidak ada di dalam barisan kepimpinan Umno (MKT) sekarang ini. Jika Perdana Menteri itu tidak mempunyai kekuatan mental, moral dan tidak bersih dari isu rasuah, isu Taib tidak akan dapat diselesaikan. Jika BN menang dalam PRU ini, Taib akan terus bermaharajalela.

Fikir-fikirkanlah. — aspanaliasnet.blogspot.com

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi