Rencana

Seperti anda, kami juga sayangkan Malaysia — Sara Ayuni Hamdan

February 01, 2013

1 FEB — Kini, pendapat seseorang tentang isu-isu yang berlaku di dalam negara sering tidak dilihat dan dinilai sebagai pandangan daripada warganegara yang cinta akan negaranya, tetapi ditafsirkan sebagai mewakili mana-mana parti politik. Generasi yang lebih berusia selalu tidak percaya bahawa anak muda boleh berfikir dan membuat keputusan sendiri. Lebih malang lagi, sebilangan besar golongan muda turut menyatakan hal yang sama jika pandangan rakan mereka itu tidak sealiran dengan pandangan mereka. Mudah terpengaruh dengan dengan idea-idea parti politik katanya.  

Tidak ada salahnya jika ingin menyertai parti politik. Menyertai parti politik adalah pilihan; bukan satu kewajiban. Namun, untuk berbakti kepada masyarakat dan negara, tidak semestinya hanya dengan menyertai parti politik. Kita boleh mula berpolitik dengan menjadi warganegara yang aktif dan mempunyai pandangan tersendiri dalam sesuatu isu. Warganegara yang aktif dan bertanggungjawab memposisikan diri dalam masyarakat,melihat tiap apa jua masalah secara objektif dan tiap isu yang berlaku itu sebahagian daripada masalah kita.

# 1 Masalah awak, masalah saya juga

Jika berlaku kenaikan yuran pengajian di universiti, kita boleh mula memulakan diskusi bersama rakan-rakan untuk melihat pandangan mereka terhadap isu ini. Adakah hanya kita (2-3 orang) sahaja yang terasa kesannya? Apa relevannya kenaikan yuran dan justifikasinya? Adakah pelajar daripada fakulti atau pusat pengajian lain turut sama merasakan apa yang kita rasa? Jika benar hal ini telah memberi kesan kepada ramai pelajar, apa yang harus kita lakukan? Minta kerjasama daripada Majlis Perwakilan Pelajar, mungkin? Semuanya bermula dengan sikap ingin tahu, mula mempersoal, menimbang baik buruk dan jalan alternatif.

# 2 Saya buat survey, bukan jual barang

Terdapat pelbagai kajian yang dijalankan oleh universiti dan institusi-institusi penyelikan. Kesemuanya ini bakal jadi sumber rujuk untuk pembuat dasar , polisi dan makalah akademik. Cabaran utama dalam melakukan bancian ini adalah kurangnya kerjasama daripada masyarakat. Segelintir responden bersikap acuh tidak acuh sahaja dalam menjawab survey, dan ada antara mereka yang langsung tidak berminat untuk turut serta dalam kajian. Jika ada yang berminat untuk menjawab survey, hanyalah pak cik dan mak cik yang telah benar-benar berusia (barangkali mahu teman untuk berbicara). Warganegara yang aktif harus mengambil peluang yang ada untuk menyatakan pandangan mereka melalui saluran yang ada, misalnya menjawab bancian-bancian yang dijalankan. Walau hanya seorang, anda tetap ada kuasa untuk membuat perubahan.

# 3 Tak perlu jadi cybertroopers!

Kita harus mula bercakap dan luaskan pergaulan,bukan hanya dalam kumpulan kita sahaja. Keluarlah daripada suasana selesa, keadaan apabila pandangan kita dan rakan-rakan kita seiringan sahaja, tanpa dipersoalkan,hanya ikut-ikutan sahaja. Bersama dengan kawan-kawan daripada latar belakang yang berbeza, mulakan diskusi. Saat itu kita mula sedar kekurangan diri dan tahu apa yang perlu dibaiki. Kita juga lebih memahami mereka yang berlainan kehidupan dengan kita,dan saat itu kita semakin sedar yang tiap seorang dari kita ini ternyata berbeza. Perbezaan latar belakang selalu melahirkan kepelbagaian dalam idea,dan perspektif dalam melihat sesuatu isu. Selain itu, mereka juga pasti berkongsi maklumat terkini berkenaan isu-isu yang berlaku, program-program yang dijalankan dan peluang yang ada untuk menyertai sebarang forum atau diskusi.

Perubahan boleh dimulakan dengan mula menjadi warganegara yang aktif. Kita semua sayangkan negara ini dan mahu hidup dengan harmoni. Ada banyak perkara yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia, bukan hanya sekadar ahli parti A atau ahli parti B.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi