Setitis darah, sebuah kepiluan — Abd Jalil Ali
8 MAC — Suasana hening awal pagi itu dikejutkan dengan tiga letupan kuat. Alam bergegar, dan siulan burung langsung tidak kedengaran. Pesawat pejuang F18 dan Hawk silih berganti berlegar di udara, bisingnya bagaikan memecah gegendang telinga.
Tidak sahaja jet serba canggih yang mengaum di udara, gerak gempur di darat dilakukan serentak dengan serangan mortar. Letupan demi letupan kedengaran, semua menjadi gamam dalam seribu kengerian.
Biasa kita melihat — menerusi TV dan YouTube — letupan dan serangan udara seperti ini terjadi di Gaza atau bahagian-bahagian lain dunia yang tidak habis-habis dengan keganasan, pembunuhan dan peperangan.
Awal Selasa lalu suasana perang itu betul-betul terjadi di bumi kita yang berdaulat. Kampung Tanduo di pesisir timur Sabah yang sebelum ini damai dengan kehijauan pohon kelapa sawit tiba-tiba menjadi kecoh dan porak-peranda.
Meski hanya 20 minit, letupan mortar, gerak gempur dan jeritan pesawat-pesawat pejuang itu cukup untuk menyedar dan menginsafkan kita tentang betapa ngerinya sebuah peperangan. Berdoalah semoga itu tidak berulang, dan kita terus aman.
Memang, seperti yang dijelaskan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, “Ops Daulat” gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya “menepati objektifnya”. Tetapi biarlah ini yang pertama dan terakhir.
Kita memang tidak ada pilihan lain. Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, diplomasi sudah berakhir, rundingan tidak bererti lagi. Setelah 21 hari penceroboh asing bersenjata menyusup dan menguasai Tanduo, cara paling wajar ialah menggempur habis-habisan.
Setakat rencana ini ditulis, pihak berkuasa masih belum memberikan butiran lanjut mengenai “Ops Daulat”. Belum diketahui berapa yang mati di pihak pengganas yang mendakwa tentera kesultanan Sulu. Apa yang pasti tidak ada orang kita yang terkorban dalam operasi tersebut.
Tetapi, dua hari sebelum itu pesisir timur Negeri Bawah Bayu itu sudah disimbah darah. Dalam beberapa pertempuran yang terjadi di Tanduo, Lahad Datu dan Sempurna, 19 penceroboh dari Filipina itu mati. Malang dan sedih sekali, lapan orang anggota pasukan keselamatan kita turut terkorban.
Jariah Abu, 66, dari Cheras, masih digenangi air mata. “Mak, ini perang, mak!” Dia teringat kata-kata anaknya, ketika kali terakhir bercakap menerusi telefon dengan Sarjan Detektif Baharin Hamit, 49, kira-kira jam 10 malam.
“Kami tidak sempat berbual panjang dan saya hanya dapat menasihatinya supaya jangan gopoh, baca Al-Fatihah, dan dia pula meminta saya jangan bimbang,” kata ibu tua itu seperti yang dilaporkan media.
Bayangkan betapa luluh hati ibu apabila keesokan harinya, hanya beberapa jam setelah percakapan terakhir itu, dia diberitahu anak kesayangannya terkorban dalam serangan hendap kumpulan pengganas di Sempurna. Tiada kata dapat diluahkan, kecuali air mata membasahi pipi.
Tidak sahaja Jariah, ramai lagi orang tersayang yang kini meratapi kepergian wira negara itu — isterinya, Sumiati Suara, 51, dan dua anak yang kini tiada lagi ayah tempat bermanja, Muhd Izzat Syafiq, 15, dan Nur Syafiqah 11.
Bumi bertuah lagi berdaulat diceroboh pengganas bersenjata. Lapan orang wira kita gugur, sesetengahnya pada usia masih muda, ketika berhempas pulas mempertahan maruah negara. Setitis darah mereka jatuh ke bumi, begitu ramai yang kehilangan tempat bergantung.
Tiba-tiba sahaja ada anak-anak menjadi yatim, ada isteri menjadi balu, ibu kehilangan orang tersayang, dan sanak saudara jauh dan dekat berendam air mata. Kita semua terhutang budi kepada mereka. Memang, ada imbuhan daripada kerajaan atas pengorbanan mereka. Tetapi yang pergi tidak akan kembali lagi.
Malang sekali, dan amat dikesali, meski darah telah membasahi bumi, nyawa telah melayang, dan air mata terus membasahi pipi, masih ada yang tergamak dan celupar mulut dengan mengatakan tragedi Tanduo “adalah konspirasi dan sandiwara”.
Benarlah, manusia — tanpa mengira status dan latar belakang pendidikan — ada kalanya berfikiran sasau, lalu bercakap bodoh, dan langsung tidak prihatin terhadap perasaan orang lain. Manusia jenis apakah ini? — sinarharian.com.my
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.




