Rencana

Simulasi pilihan raya: Antara altruisme dan cinta demi cinta – A Kadir Jasin

12 JAN – Salah satu kaedah terbaru dan canggih meramalkan atau memastikan sesuatu peristiwa adalah simulasi berkomputer atau dalam bahasa Inggeris, computer simulation. Kaedah ini juga dikenali sebagai permodelan berkomputer ataucomputer modelling.

Hari ini, pelbagai peristiwa dan kegiatan boleh disimulasikan. Misalnya penerbangan. Juruterbang dan juruterbang pelatih kini menghabiskan sama banyak masa “terbang” di dalam kamar simulasi dengan di dalam kapal terbang.

Jadi, apabila ketua ahli ekonomi Bank Islam, Azrul Azwar Ahmad Tajudin menggunakan kaedah itu dan meramalkan yang Pakatan Rakyat (PR) akan mengatasi Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang, kesannya tentulah menggegarkan, terutama bagi sesiapa sahaja yang faham kaedah tersebut.

Beliau memberitahu sebuah forum ekonomi di Singapura bahawa menurut kiraannya, PR berkemungkinan memperoleh 97 hingga 107 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, tetapi tidak cukup untuk membentuk Kerajaan.

Ramalan beliau disiarkan oleh akhbar The Straits Times, Singapura dan dipetik beberapa portal berita alternatif di Malaysia. Seperti dijangka, Bank Islam secara tegas menjauhkan diri daripada ramalan ketua pegawai ekonominya itu.

Saya yakin, bukan Azrul Azwar seorang sahaja yang mempunyai kepakaran, perangkaan dan komputer yang cukup kuat untuk membuat simulasi seperti itu. Mungkin ramai yang lain telah melakukannya cuma tidak menghebahkan penemuan mereka.

Beliau turut meramalkan yang kemenangan tipis PR itu akan menyebabkan pasaran saham jatuh akibat tindak balas sentak lutut (knee-jerk) dan kebimbangan jangka panjang mengenai kestabilan.

Saya telah pun sedikit sebanyak menyentuh hal ini. Pertama, cakap-cakap pilihan raya yang meleret dan berpanjangan telah pun mempengaruhi harga di Bursa Malaysia, khasnya dan dalam arena ekonomi, amnya.

Pada mulanya, pasaran saham bertindak positif. Harga dan jumlah dagangan naik. Tetapi apabila PRU tidak berlaku dan cakap-cakap mengenainya berlarutan, pasaran mula “bimbang” dan harga menjadi tidak menentu.

Contoh klasik kepada ketidaktentuan ini adalah kejatuhan harga saham Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Felda Global Ventures Berhad yang diuar-uarkan sebagai mercu kejayaan dasar ekonomi Barisan Nasional.

Selain itu, pasaran juga menyaksikan banyak usahawan tergesa-gesa mengapungkan syarikat mereka melalui tawaran permulaan awam (IPO) manakala yang lain pula membeli balik saham syarikat mereka daripada orang ramai melaluiprivatisation.

Ini ditambah pula oleh pengaliran keluar modal/wang, selain daripada pengaliran pembayaran biasa. Ada tanda-tanda menunjukkan ramai juga usahawan dan pemodal tempatan yang menghantar keluar modal/wang mereka ke luar negara setiap kali PRU diadakan.

Hal ini berlaku kerana kita mengamalkan dasar pasaran bebas dan dasar tukaran mata wang terbuka, yang membolehkan usahawan dan pemodal membawa masuk dan keluar wang dengan mudah.

Lagipun, taat setia sesetengah usahawan dan pemodal kita kepada negara bukanlah altruisme (bukan semata-mata kerana cinta demi cinta) tetapi kerana Malaysia memberikan mereka peluang mengumpul kekayaan.

Di mana-mana negara pun, khasnya yang mempunyai sistem politik stabil seperti Malaysia, usahawan dan pemodal akan berasa bimbang kalau ada tanda-tanda mungkin berlaku perubahan besar dan mendadak.

Seperkara lagi, usahawan dan pemodal sama ada tempatan atau asing akan membandingkan dasar dan rancangan kerajaan yang sedia ada dengan apa yang dijanjikan oleh pembangkang.

Tidak seperti masyarakat umum yang tidak banyak mengetahui mengenai ekonomi, usahawan dan pemodal bukan sahaja membaca daripada media arus perdana dan alternatif, tetapi mereka juga mempunyai pelbagai saluran untuk memperoleh maklumat mutakhir dan membuat perbandingan serta penilaian.

Kesimpulannya, apa yang dilaporkan oleh The Straits Times dan media alternatif mengenai ramalan dan unjuran Azrul Azwar itu bukanlah sesuatu yang luar biasa atau di luar dugaan. PRU yang bakal menjelang menjanjikan persaingan yang hebat di antara BN dan PR. Wallahualam. – kadirjasin.blogspot.com

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

Comments