Rencana

Slogan senajata kempen pilihan raya — Prof Madya Abdul Rahim Saleh

March 17, 2013

MAC 17 — Iklan merupakan alat penting bagi calon dan parti politik dalam kempen pilihan raya. 

Menurut Robert Denton dalam buku bertajuk “The Primetime Presidency of Ronald Reagan” terbitan 1988, peranan iklan adalah amat penting kepada calon mempengaruhi pengundi dan pekerja parti di dalam  pilihan raya zaman moden. 

Ia  menjadi kuasa kempen dan komunikasi politik. Beliau berkata jika iklan digunakan setiap hari bagi menjual produk dan khidmat, iklan juga boleh menjual calon dan fahaman politik. 

Kajian Nimmo dan Felsberg  pada 1986 mendapati calon pilihan raya hendaklah menawarkan diri mereka sebagai jenama berbeza dalam kategori produk dan khidmat politik. Iklan komersial menggunakan cogan kata seperti “Kini semua orang boleh terbang” oleh Air Asia atau “Sedapnya…” oleh KFC mempengaruhi pengguna. 

Iklan politik menggunakan slogan sebagai seruan bagi mempengaruhi pengundi dan mengembleng pekerja parti meningkatkan aktiviti berkempen. 

Kempen bermula dengan penerbitan manifesto parti bertanding. Iklan politik mula memainkan peranan pada 1952 dalam kempen pilihan raya Presiden Amerika Syarikat. 

Calon presiden pada tahun itu, Dwight Eisenhower membelanjakan US$1 juta untuk iklan kempen beliau menentang pencabar Adlai Stevenson. 

Perbelanjaan iklan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat tahun lalu  antara Barack Obama dan Mitt Romney meningkat kepada US$2 bilion. 

Sementara itu, perbelanjaan iklan kempen pilihan raya umum Malaysia pada 2008 dianggarkan berjumlah RM200 juta. 

Keputusan pilihan raya umum tersebut mengejutkan Barisan Nasional apabila kehilangan kerusi majoriti dua pertiga  parlimen dan kalah lima dewan undangan negeri. 

Pelbagai tinjauan dibuat mengenai tsunami politik tersebut tetapi tiada kajian sama ada slogan kempen iklan Barisan Nasional “Selamat, Aman dan Makmur” juga gagal mempengaruhi pengundi dan mengerakkan ahli parti berkempen berbanding dengan slogan tiga serangkai pakatan pembangkang iaitu “Jom Ubah” (DAP), “Negara berkebajikan”(PAS) dan “Harapan baru untuk Malaysia” (PKR). — beritaharian.com

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi