Rencana

Spekulasi Musa Hassan sangat dangkal dan tidak bertanggungjawab — Mohd Azmi Abdul Hamid

12 FEB — TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS) kesal seorang lagi individu, kali ini bekas KPN Tan Sri Musa Hassan turut bermain api untuk berspekulasi bahawa haru-hara seperti Arab Spring akan berlaku bila ada pihak yang kalah dalam pilihanraya.

Kami kesal kenyataan seperti ini boleh keluar dari seorang yang sepatutnya lebih tahu implikasi dari spekulasi yang tidak bertanggungjawab dan merbahaya ini. Malah ini petanda negara  akan memboleh pihak berkuasa bertindak hanya dengan kenyataan bersifat spekulasi semata-mata.

Malah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata, sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak yakin akan berlaku Arab Spring kerana berpendapat bahawa rakyat sudah matang dan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan negara semakin meningkat.

Soalnya sejak 12 kali piliharaya yang terdahulu, pihak pembangkang yang sudah banyak kali kalah dan tidak dapat menumbangkan kerajaan, namun persoalannya bilakah pernah berlaku huru-hara yang dicetuskan oleh pembangkang yang kalah itu.

Ternyata Musa sebagai orang yang telah lama tahu mengenai keselamatan dalam negeri hanya membuat spekulasi dangkal. Pada hakikatnya yang berlaku ialah betapa pihak pembangkanglah yang sering ditekan dan diperlakukan secara paling tidak demokratik dalam pilihanraya, namun maseh tidak ada peristiwa ketegangan berlaku yang beliau katakan itu.

Kenapa pula Musa kali ini berspekulasi bahawa huru-hara akan tercetus. Adakah beliau turut mengetahui keputusan yang bakal berlaku ataukah beliau tahu penipuan sedang diatur oleh pihak tertentu untuk mengekalkan kuasa.

Kami kesal dengan sikap dan kenyataan Musa yang tidak berubah pemikirannya seolah beliau tahu bahawa suatu kejutan akan berlaku dalam PRU 13 .

Sekali lagi nampaknya orang seperti beliau berspekulasi bahawa Arab Spring boleh berlaku di negara ini sekiranya pihak yang kalah pilihan raya umum akan datang tidak puas hati dengan keputusannya.

Soalnya kenapa pula beliau tidak yakin jika pihak kerajaan yang kalah akan ada pihak yang menggunakan penyokong-penyokong mereka membuat huru-hara dan rusuhan bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat .

Sepatutnya yang dinasihati ialah supaya jentera pengurusan pilihanraya iaitu SPR memastikan plihanraya berjalan secara adil dan bersih. Maklumat ini yang sepatutnya dikumpul oleh pihak polis.

Musa kelihatan ghairah untuk mempertahankan ISA walaupun ramai yang menjadi mangsa ketidakadilan akibat undang-undang ISA atas nama pencegahan .

Padahal beliau sendiri berhadapan dengan pertuduhan oleh bekas pegawai kanannya sendiri Datuk Ramli Yusuff ketika beliau selaku KPN. Ramli mendakwa punya bukti kukuh Musa terlibat dengan tokoh kongsi gelap Goh Cheng Poh dan BK Tan.

Kami hairan ketika beliau mengutarakan pandangan bahawa “dulu agensi perisikan Amerika, CIA menyerap masuk bagi menghuruharakan sesebuah kerajaan tetapi sekarang Yahudi dan Barat menggunakan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menerap konsep liberisme dan sebagainya.”

Persoalnnya apakah beliau boleh menafikan bahawa kerajaan yang mengambil syarikat Yahudi dari Israel untuk menasihati Perdana Menteri. Juga apakah beliau boleh menafikan Malaysia pernah menyerah seorang yang dianggap pengganas oleh CIA atas arahan US dalam operasi “rendition”, lalu orang tersebut ditangkap dan disiksa. Bukankah ini menunjukkan bahawa Malaysia terus berada dibawah telunjuk Amerika.

Jelas, Musa kini sedang dilanda sindrome pendakwaan secara selektif sekaligus sindrom penafian yang maseh tidak hilang dari dirinya sejak beliau tamat perkhidmatan selaku KPN.

Dengan mengeluar kenyataan tanpa berdasarkan fakta bahawa fitnah terus-terusan pemimpin pakatan pembangkang terhadap kerajaan pusat sebagai perasuah dan lemah adalah sangat tidak bertanggungjawab. Musa harus memberi pandangan berasaskan maklumat dan fakta yang benar , bukan kenyataan umum untuk menuding pihak tertentu.

Sebagai bekas KPN, Musa harus lebih khuatir keselamatan negara ditadbir oleh pemimpin-pemimpin yang rasuah, yang terlibat dengan jenayah, salahguna kuasa, pelindung jenayah dan menyalahgunakan kewangan negara .

* Mohd Azmi Abdul Hamid adalah Presiden TERAS.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

Comments