Rencana

Subsidi untuk siapa? ― Noor Amin Ahmad

12 Nov ― Saban tahun apabila belanjawan negara dibentangkan ramai yang menanti apa pemberian kerajaan kepada mereka. Tambah menarik kali ini kerana ia berlangsung sebelum pilihan raya umum ke-13. Maka kita dapat menyaksikan pihak pembangkang turut mengemukakan belanjawan alternatif.

Ini satu perkembangan yang sihat. Sekurang-kurangnya kini pengundi mempunyai peluang untuk membuat perbandingan. Persaingan lazimnya memaksa para pesaing berusaha keras untuk menjadi lebih baik. Harapnya pada masa akan datang seluruh rakyat boleh mengakses pelbagai dokumen rasmi dan tidak rasmi dengan lebih bebas. Ini penting agar analisa dan penilaian yang dibuat dapat membantu semua pihak membuat keputusan lebih baik.

Mentaliti subsidi?

Hakikat bahawa ramai hanya bertanya apa pemberian kerajaan kepada mereka cukup untuk memberi gambaran bahawa mana-mana pemimpin kerajaan sekalipun pasti akan berdepan dengan situasi sukar – mengekalkan populariti dengan cuba memenuhi permintaan ramai dan pelbagai ini atau membuat keputusan ekonomi yang sebenar. Suka atau tidak, seringkali ekonomi diuruskan secara politik berbanding yang sepatutnya.

Semasa menjadi salah seorang panel perbincangan belanjawan di sebuah saluran televisyen swasta bulan lepas, saya sempat melontarkan kebimbangan terhadap ‘persaingan negatif’ di kalangan parti dan pimpinan politik yang ada.

Saya merujuk kepada kecenderungan mereka bersaing untuk menawarkan apa yang sering disebut sebagai ‘peruntukan untuk kebajikan’. Semakin ramai yang ingin diberi bantuan dan semakin banyak yang hendak ‘dipercumakan’.

Beberapa fakta

Seringkali antara sebab mengapa pemberian dan subsidi seperti ini diberikan ialah kerana ada jurang ekonomi dalam masyarakat. Dalam satu kenyataan daripada Jabatan Statistik Malaysia pada pertengahan tahun ini, pendapatan per kapita rakyat Malaysia didakwa telah meningkat hampir 50%, menjadi sekitar US$9,700 (RM30,623) setahun.

Namun, kita tidak pasti berapa ramai yang telah melepasi tahap tersebut jika mengambil kira jumlah penerima BR1M dan kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang tertinggi di Asia dalam Indeks Ketaksamaan Ekonomi.

Menurut dokumen FAQ Belanjawan 2012, mereka yang layak memohon Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) mestilah berpendapatan bulanan di bawah RM3,000. Bilangan penerima dianggarkan seramai 5.2 juta isi rumah atau 79.5% daripada keseluruhan isi rumah.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim hanya 4.35 juta isi rumah yang layak menerima. Sebanyak 2.16 billion telah diagihkan. Dalam kenyataan terkini, penerima BR1M dalam pusingan kedua dijangka bertambah sebanyak 10%.

Selain ini banyak lagi pemberian lain oleh kerajaan antaranya subsidi minyak, makanan asasi, elektrik, pendidikan dan kesihatan. Untuk ini sahaja peningkatan berlaku daripada 1.3% jumlah perbelanjaan kerajaan pada tahun 1990 kepada 14.3% pada tahun lepas.

Apa yang tidak dilihat?

Fakta-fakta ini menarik untuk diteliti. Kita dapat melihat ironi. Jumlah penerima pemberian kerajaan dijangka meningkat selepas banyak jenis pemberian dan subsidi diberikan sekian lama. Ia membayangkan semakin ramai rakyat di Malaysia yang bergantung kepadanya.

Persoalan yang perlu dibincangkan bukanlah perlu atau tidak mereka yang berpendapatan rendah dibantu tetapi bagaimanakah cara terbaik melakukannya?

Semasa perbincangan belanjawan tersebut, saya menegaskan pentingnya hal ini diposisikan dengan tepat. Kejayaan dasar pemberian dan subsidi ini sepatutnya diukur bukan dengan pertambahan bilangan penerimanya sebaliknya berapa ramaikah di kalangan pengguna ini nanti tidak lagi bergantung kepadanya.

Tambahan pula, hasrat sebenar pemberian subsidi seringkali tersasar. Lazimnya subsidi ini dijustifikasi untuk mengurangkan kos sara hidup namun dalam kes subsidi petrol sebagai contoh lebih menguntungkan pemilik kenderaan mewah atau pemilik perniagaan mewah berbanding golongan miskin di luar bandar yang hanya menggunakan kenderaan kecil atau mungkin tidak mempunyai kenderaan pun!

Dalam satu kajian berkenaan The Unequal Benefits of Fuel Subsidies: A Review of Evidence for Developing Countries oleh Granado dan rakan-rakan, yang diterbitkan pada tahun 2010, dinyatakan secara purata di negara-negara yang memberikan subsidi minyak, mereka yang berada di suku pertama, iaitu kumpulan pendapatan paling tinggi menggunakan sekitar enam kali ganda minyak ini berbanding mereka yang berada di suku terakhir, iaitu kumpulan pendapatan paling rendah. Bagi subsidi gas pula, kumpulan di suku pertama ini mengguna sekitar 20 kali ganda berbanding kumpulan di suku terakhir.

Dalam satu artikel yang diterbitkan oleh majalah the Economist bulan lalu, dinyatakan satu laporan oleh Asian Development Bank (ADB) menunjukkan 40% subsidi yang diperuntukkan di Indonesia memberi manfaat kepada 10% golongan terkaya di negara tersebut.

Penilaian semula

Secara realistiknya, atas pelbagai sebab, hampir semua negara di dunia mempunyai dasar dan program subsidinya tersendiri. Banyak justifikasi boleh diberikan untuk menyokongnya, begitu juga sebaliknya. Justeru, subsidi positif dan negatif perlu ditentukan. Selain itu aspek pendekatan yang diambil perlu diteliti.

Seringkali kegagalan subsidi berpunca daripada objektif politik, bukan ekonomi sebenar. Jika persoalan ini diposisikan dengan betul mungkin ahli politik tidak akan berbangga dengan peningkatan jumlah penerimanya, kerana ia bukan petunjuk kejayaan dasar dan program subsidi.

* Noor Amin bin Ahmad ialah Pengurus Projek dan Operasi, IDEAS.

** This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

Comments