Rencana

Tangkapan Adam Adli: Pemimpin kerajaan tidak berjiwa besar — Khalid Ismath

May 20, 2013

20 MEI — Adam Adli Abdul Halim nama yang tidak asing lagi dalam gerakan mahasiswa dan anak muda. 

Sejak isunya menurunkan bendera tertera gambar perdana menteri pada 2011, beliau semakin menjadi ikon kepada generasi muda yang memberontak impikan kejatuhan rejim. 

Pada awal saya mengenal gerakan mahasiswa kiri setelah saya keluar daripada jemaah Islam kampus, antara individu yang terus melatih dan memberi tunjuk ajar kepada saya ialah Adam Adli selain daripada Syukri Razab. 

Setiap kali dalam mesyuarat, Adam banyak membawa idea yang bersifat kiri dan melihat isu tanpa memberi kepentingan pada mana-mana parti. 

Hari ini, bukan ujian dan dugaan pertama Adam dalam berhadapan dengan pihak rejim yang sememangnya bersikap angkuh dalam melayan tuntutan anak muda. Adam pernah ditumbuk, dibelasah dan diancam dengan pelbagai ancaman ganas daripada pihak parti yang memerintah.

Isu pokok selain daripada kita mahu bebaskan Adam ialah isu kebebasan bersuara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini bukan main lagi berkempen mahu melayan dan mendengar suara akar umbi, rakyat jelata. 

Namun, setelah memulakan penggal baru, beliau mula bertindak seperti zaman mahathir dengan wujudnya arahan demi arahan untuk menahan aktivis-aktivis yang bermula dengan tangkapan golongan blogger muda seperti King Jason dan MiloSuam sehinggalah hari ini penahanan aktivis mahasiswa, anak muda bernama Adam Adli.

Malah, turut dikhabar anginkan lagi, ada puluhan lagi nama yang tersenarai untuk ditahan kerana mewujudkan ancaman kepada negara berikutan kempen turun ke jalan raya. 

Bagi saya, sekiranya kebebasan bersuara yang hanya bersifat seringkas ini pun cuba dinafikan oleh pemerintah, maka adalah lebih baik kita isytiharkan bahawa Perlembagaan negara ini telah dirogol. 

Adam Adli yang hanya satu sosok tubuh yang sememangnya tidak mampu untuk mewujudkan keganasan dan huru-hara, telah dibayangkan oleh kerajaan sebagai seorang individu yang maha berbahaya kepada sistem perjalanan pemerintahan negara.

Namun begitu, kerajaan tidak henti-henti melakukan serangan demi serangan kepada kumpulan muda seperti ini walaupun kerajaan sendiri pernah nyatakan bahawa mereka ini merupakan suara minoriti yang mendapat sokongan paling sedikit di universiti dan dalam kalangan anak muda. 

Sewajarnya, kerajaan harus melihat bagaimana sifat radikal dan darah muda dalam diri anak-anak muda ini dalam konteks yang sihat. 

Apabila mereka bangkit dengan semangat atas nekad dan tekad untuk mempengaruhi masyarakat supaya berjuang mempertahan kedaulatan negara dan melawan penipuan, bermakna mereka sedang mengadu kepada pemerintah bahawa wujud arang dalam sebuah telaga yang mengandungi air yang jernih. 

Satu kisah yang pernah diriwayat pada zaman purba. 

Seorang pemimpin kepada rakyat didalam sebuah negara datang kepada ketua agamanya, mengadu masalah yang melandanya. 

Jesteru, ketua agamanya itu datang membawa segelas air jernih dan memasukkan arang ke dalam gelas tersebut. 

Ternyata, warna jernih itu berubah menjadi kotor. 

Kemudian ketua agamanya bawa beliau ke sebuah telaga. 

Juga didalamnya air yang jernih. 

Lantas memasukkan sejumlah sama arang ke dalam telaga itu. 

Namun, tidak berubah pula warna kejernihan air didalam telaga tersebut. lantas, ketua agamanya itu memberitahu, inilah perbezaan mereka yang berjiwa besar. 

Saya andaikan kiranya Najib dan juga menteri dalam negerinya yang baru, sekiranya mereka ini berjiwa besar, maka tidak perlulah isu remeh seperti ini dilayan seolah benar-benar berbahaya kepada negara. 

Perkara paling pokok, apabila kerajaan bertindak sebegini zalim, maka lebih ramai rakyat akan benci kepada pemerintahannya. 

Namun, kiranya kerajaan menangani isu ini dengan baik dan berjiwa besar serta secara minda terbuka menerima kritikan, saya yakin, lebih ramai rakyat dan penentang kerajaan akan berlembut hati sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Datuk Saifudin Abdullah, mantan timbalan menteri pengajian tinggi kepada warga mahasiswa yang seterusnya telah menarik sokongan mahasiswa hatta yang berpartikan daripada Pakatan Rakyat untuk sentiasa menyokong dan meletak kepercayaan kepada beliau walaupun beliau seorang pemimpin Barisan Nasional. 

Semuanya kerana “berjiwa besar” dan “terbuka”. 

Akhir kata, bebaskanlah Adam Adli dan raikanlah kebebasan bersuara. 

Percayalah wahai kerajaan, bahawa turunnya rakyat ke jalan raya adalah sebahagian daripada tuntutan yang dibenarkan oleh perlembagaan negara. semuanya berlangsung dengan damai, dan berikanlah ruang untuk anak muda seperti Adam berkata-kata! 

* Khalid Ismath merupakan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

 

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi