Rencana

Tarif lektrik dan bonus lima bulan kakitangan TNB -  Dr Azman Ibrahim

December 18, 2013

Khabarnya kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal terima durian runtuh. Saya hanya mampu mengucapkan tahniah atas rezeki yang bakal mereka terima.

Mereka juga warga dan rakyat seperti kita, punya tanggungan dan beban kewangan. Mereka juga bekerja untuk memberikan khidmat kepada majikan dan negara.

Mungkin ada perkiraan tertentu yang mewajarkan anugerah bonus ini diberikan kepada mereka.

Semoga dengan bonus yang dikira agak besar ini, kakitangan TNB akan melipatgandakan lagi kecemerlangan hasil kerja.

Kenaikan tarif elektrik yang bakal dinikmati bermula tahun hadapan bukan salah kakitangan TNB. Mereka adalah pekerja, bukannya pembuat dasar dan polisi. Yang menentukan dasar dan polisi sesebuah GLC seperti TNB adalah kerajaan yang memerintah. Kenaikan tarif elektrik bukannya ditentukan oleh CEO TNB, tetapi ditentukan oleh kerajaan BN setelah dibincangkan dalam Kabinet dan diumumkan oleh menteri yang bertanggungjawab.

Saya tidak mempertikaikan kakitangan yang cuma bekerja mematuhi arahan majikan apatah lagi untuk memandang serong terhadap mereka. Sebahagian daripada mereka bukannya orang lain, sanak saudara kita juga.

Bila tarif elektrik naik, kakitangan TNB pun turut bayar bil elektrik seperti kita. Yang tidak perlu bayar bil elektrik sendiri adalah PM, Timbalan PM dan menteri.

Sebab itu mereka boleh umumkan kenaikan tarif elektrik tanpa ada kerut kesal di wajah. Mereka tidak menanggung beban sebagaimana yang ditanggung rakyat.

Sebagai indikatornya, apabila sesebuah syarikat itu mampu memberikan bonus untuk kakitangannya bermakna prestasi syarikat tersebut mencatatkan keuntungan.

Kalau laporan kewangan sesebuah syarikat mencatatkan kerugian, bukan setakat bonus tidak diberikan malah kadang-kadang staf pun boleh dibuang untuk mengurangkan kos operasi.

TNB adalah antara syarikat GLC yang setiap tahun mengumumkan jumlah keuntungan yang diperolehi. Rasanya kita tidak pernah dengar laporan kewangan TNB mencatatkan kerugian. Syabas atas prestasi baik tersebut.

Alangkah baiknya sekiranya keuntungan TNB yang berjumlah ratusan juta ringgit ini mampu dikongsi dengan semua rakyat. Tentunya rakyat tidak minta bonus sama ada 5 bulan, 4 bulan, 3 bulan, 2 bulan ataupun setengah bulan bonus. Cukuplah sekadar tarif elektrik tidak dinaikkan kalau sekali pun ia tidak diturunkan. Ia sudah cukup mengembirakan kami rakyat bawahan.

Kalau dinaikkan sekali pun, kami tetap akan guna bekalan elektrik daripada TNB. Mustahil kami akan beralih menggunakan generator. Itulah ibaratnya nasib rakyat marhaen bagaikan mentimun dengan durian. – 18 Disember, 2013.

* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi