Rencana

Tarik balik semua petisyen, selamatkan wang - Mohd Sayuti Omar

July 31, 2013

Hari ini mahkamah meneruskan lagi siri penolakan petisyen pilihan raya, kali ini untuk empat kerusi parlimen semuanya membabitkan kerusi di Selangor. Kerusi itu ialah Kuala Selangor, Sungai Besar, Sabak Bernam dan Sepang.

Penolakan itu mengekalkan keputusan pilihan raya lalu, kerusi Kuala Selangor, Sungai Besar dan Sabak Bernam kepada calon Barisan Nasional (BN) manakala kerusi Sepang kepada calon PAS, Hanifa Maidin. Mahkamah juga mengenakan kos luar biasa kepada pempetisyen sebanyak RM50,000.

Oleh kerana mahkamah seakan sudah ada keputusan awal dalam meneliti kes petisyen ini, di mana semuanya setakat ini ditolak dengan alasan teknikal yang remeh, elok kalau parti yang mengemukakan petisyen mengkaji balik daripada meneruskan petisyen mereka dibicarakan.

Tidak ada guna menghabiskan wang untuk dibayar kepada pengurus pilihan raya dan pihak yang dipestiyen. Lebih baik wang itu digunakan untuk memperkasakan parti masing-masing bagi persiapan menunggu pilihan raya umum ke 14 yang sudah tidak lama lagi. (Empat tahun setengah bukan lama).

Sikap mahkamah berhubung petisyen ini tidak berubah. Walaupun Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim meminta Ketua Hakim Negara mencampuri dan meneliti trend mahkamah dalam membuat keputusan, tetapi Ariffin Zakaria tetap membisu. Kononnya beliau selaku ketua hakim tidak boleh memberi apa-apa ulasan. Melanggar kod kehakiman barang kali.

Sehubungan itu, mungkin perlu dipinda Akta Suruhanjaya Pilihan Raya supaya membuang ruang dan hak untuk membawa mana-mana kes pilihan raya ke mahkamah. Dengan tiada peruntukan undang-undang dan hak itu maka parti politik tidak perlu bersusah payah menyediakan bukti serta wang dan berjujutan ke mahkamah untuk mendapat keadilan setelah mereka merasakan ditipu ataupun diselewengkan oleh mana-mana pihak atau dalam pelbagai bentuk sepanjang proses pilihan raya.

Pakatan Rakyat dianggarkan akan membelanja lebih RM3 juta untuk membiayai kos petisyen. Wang sebanyak itu satu jumlah besar. Dengan menarik balik petisyen ahli  juga tidak terbeban kerana selalunya bila parti memerlukan wang untuk sesuatu tujuan ahli yang akan dikerah untuk mendapatkannya. - msomelayu.blogspot.com, 31 Julai, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi