Rencana

TPPA ancamam baru kepada kedaulatan ekonomi negara? - Ismail Hashim Yahaya

August 04, 2013
Latest Update: August 04, 2013 01:26 pm

Apa yang menjadi perdebatan hangat daripada kebimbangan dan kerisauan kebanyakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negara berhubungan dengan rundingan Perjanjian Persahabatan (adakah benar-benar sahabat) Trans-Pasifik (TPPA) ialah persoalan kedaulatan dan keputusan menentukan hala tuju  ekonomi dan dasar negara.

Nampaknya di sebalik agenda penjahahan proksi dan kemanusiaan yang sedang berlangsung di Timur Tengah, jika kita teliti dua gergasi ekonomi dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) sedang menggerakkan usaha mengumpil wilayah-wilayah kedaulatan ekonomi negara Selatan.

Di samping sorotan media mengenai perkembangan isu di Timur Tengah, perhatian harus diberikan kepada initiatif ini kerana kesannya amat besar dan parutnya begitu mendalam sekali.

Inisiatif ini menyentuh sejauh manakah negara Selatan dapat membuat dan melakarkan dasar pembangunan dan ekonomi mereka dengan sebebas mungkin.

Kita tidak mahu mereka menjadi tawanan dalam pematuhan kepada rundingan perdagangan yang berbentuk 'soft power'. Melalui catatan sejarah yang berkaitan dengan rundingan perdagangan, British telah banyak kali menipu dan memanipulasi pemimpin kita melalui perjanjian yang bermula dengan kedatangan lanun Francis Light ke Kedah.

Adalah tidak difahami kenapakah patung Francis Light masih tegak berdiri di hadapan muzium Pulau Pinang? Apakah maksud perlambangan di sini?

Tidak keterlaluan jika dikatakan ia merupakan isu terpenting yang menentukan antara kejayaan dan kegagalan ekonomi sesebuah negara Selatan itu.

Ia dapat dianggap sebagai bentuk penjajahan semula melalui perjanjian perdagangan. Apa yang penting untuk diperkatakan ialah perbadanan dan syarikat pemilikan kerajaan, kapitalis dan usahawan tempatan dalam sektor-sektor sensitif dan utama seperti perbankan, utiliti, kewangan, perkhidmatan awam, pertanian, industri-industri malah berkaitan syarikat kecil dan sederhana serta layanan tempatan dan status bumiputra akan dicabar melalui perjanjian perdagangan seperti TPPA umpamanya.

Syarikat-syarikat gergasi yang beroperasi mendapati beberapa insentif, sokongan dan layanan yang diberikan kerajaan negara Selatan menafikan mereka peluang perniagaan dan meningkatkan pelaburan.

Umum mengetahui korporat tempatan sama ada dimiliki kerajaan atau yang diperbadankan memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara.

Di samping itu syarikat-syarikat tempatan juga menerima bantuan kerajaan serta insentif dan sokongan dalam pelbagai cara seperti pinjaman kepada industri kecil dan sederhana, bantuan kepada petani, subsidi dan pelepasan cukai untuk penyelidikan dan pembangunan atau pembelian teknologi, keistimewaan dalam pemerolehan kerajaan dan penyediaan prasarana?

Sehuhungan itu layanan tempatan terutamanya kepada syarikat bumiputra juga turut diberikan dalam bentuk geran, subsidi dan pemberian kredit dan kontrak kerajaan.

Insentif, sokongan serta layanan tempatan inilah yang dicemburui dan dikritik sebagai tidak adil oleh korporat negara maju. Perkara ini turut mendapat sokongan kerajaan negara maju dan berusaha untuk mengumpil pasaran tertutup dan dilindungi ini.

Segala sokongan kerajaan kepada syarikat tempatan dilihat sebagai halangan kepada korporat multinasional untuk mengembangkan pasaran ke dalam wilayah-wilayah yang sensitif dan dilindungi ini.

Kemasukan Jepun ke dalam rundingan TPP di saat-saat akhir memperlihatkan betapa pentingnya ia dan Tokyo tentu tidak mahu ketinggalan atau terlepas peluang merebut dan menguasai pasaran negara Selatan atau negara sedang membangun ini.

Apa yang menjadi kebimbangan sekarang ialah keupayaan kerajaan negara maju untuk mempengaruhi kerajaan negara sedang membangun merubah atau meminda rangka kerja polisi dan dasar pembangunannya.

Usaha-usaha ini dapat dilihat melalui TPPA dan Perjanjian Persahabatan Perdagangan dan Pelaburan (TTIP). Sub-bahagian mengenai syarikat pemilikan kerajaan adalah bahagian ketara dalam TPPA.

AS dan Australia sedang mengetuai usaha supaya terdapat peraturan untuk mengekang atau membataskan peranan kerajaan dalam ekonomi.

Kedua-dua negara maju ini mempersoalkan isu layanan tempatan, isu yang pernah diutarakan dalam rundingan perkhidmatan berkaitan perdagangan di rundingan pusingan Uruguay Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Dalam isu ini, mereka mahukan kerajaan tidak bersikap monopoli iaitu bertindak dalam cara yang diskriminatori iaitu dalam urusan perniagaan dan pelaburan kerajaan tidak boleh mrmberikan keistimewaan dan insentif kepada syarikat tempatan.

Mereka juga tidak mahu syarikat milik kerajaan atau diperbadankan atau saham minoriti kerajaan melalui proksi mendapat keistimewaan berbanding syarikat asing dalam kegiatan komersial.

Perkara yang sama juga berlaku dalam rundingan TTIP, perjanjian antara AS-EU.

Jika tidak dibantah atau dinasihati, ia akan membuka laluan menjadi sustu rancangan menyeluruh dan standard kepada rundingan perdagangan dua hala antara kerajaan pada masa akan datang. Malah kerajaan negara maju berharap peraturan ini akan dimasukkan ke dalam rundingan WTO yang dianggotai oleh lebih 130 negara.

Ia akan menyempitkan ruang kepada negara untuk memberikan kepada syarikat tempatan berkembang dan maju dan berkembang di pentas antarabangsa. Syarikat yang baru ditubuhkan tidak dapat berlindung di bawah insentif dan skim bantuan dan perlindungan kerajaan,

Ia juga akan menjejaskan rancangan kerajaan negara Selatan yang membangunkan model gabungan kerajaan dan swasta bagi mengembangkan korporat tempatan bukan sahaja di prringkat tempatan malah di pentas global.

Contohnya negara seperti Korea Selatan, China, Thailand, Indonesia, Taiwan termasuk Malaysia telah merintis memajukan model pembangunan di mana sektor swasta dan awam bergabung dalam memajukan negara supaya syarikat tempatan dapat bersaing di pentas global.

Kejayaan negara Asia Timur melalui koloborasi kerajaan, perbadanan kerajaan dan syarikat swasta telah membawa kepada pertumbuhan ekonomi menggalakkan.

Mana-mana negara yang menyertai TPPA atau rundingan dua hala perdagangan yang lain harus bersedia melakukan perubahan drastik dalam dasar, undang-undang dan peraturan yang boleh atau dapat menjejaskan ekonomi tempatan dan masyarakatnya.

Namun bagi negara maju isu sensitif seperti subsidi yang merupakan amalan distorsi perdagangan yang dilaksanakan negara seperti AS tidak dimasukkan ke meja rundingan TPPA  atau rundingan FTA melibatkan Eropah.

Jika agenda ini menjadi peraturan antarabangsa yang baru maka negara seperti Malaysia haruslah merancang dan melakar semula rancangan pembangunan dan ekonominya supaya prospek pembangunan tidak terjejas di masa depan. - 4 Ogos, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi