Rencana

Umno tidak boleh terlalu bernostalgia – Zulkiflee Bakar

Esok genaplah usia Umno 68 tahun, satu usia yang cukup matang jika ia disamakan dengan tubuh manusia. Tetapi pemimpin dan ahli parti itu tidak boleh melayan Umno seperti manusia kerana dalam golongan manusia yang berusia sedemikian ada yang sihat dan masih kuat, ada pula yang sakit dan kemudiannya meninggal dunia.

Umno juga tidak harus dilayan seperti manusia yang berjasa. Mungkin jasanya harus diingati tetapi untuk terus bernostalgia dengan jasa-jasa yang ditaburkan oleh sebuah parti dalam senario politik yang semakin berubah dan pemikiran rakyat yang semakin berkembang, boleh diibaratkan tindakan untuk menempah tempat di kuburan politik?.

Justeru apa yang harus dilakukan oleh Umno dalam usia 68 tahun ialah melakukan tindakan yang terus relevan dengan perkembangan semasa khususnya sebagai benteng utama memperjuangkan nasib orang Melayu dan umat Islam.

Memang benar, kalau mahu dibandingkan pencapaian Umno dengan parti lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Umno masih mendapat sokongan rak­yat apabila menguasai 89 kerusi Parlimen dan ia sekali gus menunjukkan parti induk orang Melayu tetap menjadi pilihan rakyat khususnya orang Melayu.

Tetapi Umno tidak boleh selama-lamanya bernostalgia dengan kejayaan itu kerana jumlah kerusi tersebut masih memaksa Umno meminta bantuan komponen Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan. Malah apa yang perlu difahami, Umno juga gagal mempertahankan beberapa kerusi sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tradisinya milik parti tersebut.

Mungkin jika kerusi tersebut tidak terlepas ke tangan pembangkang, Umno mungkin sudah menawan Selangor dan BN boleh memerintah dalam kedudukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun situasi itu tidak berlaku kerana dalam kalangan pemimpin dan ahli Umno masih lagi tidak berubah sikap, biarpun mereka mengetahui betapa gigih pucuk pimpinan parti berusaha memastikan Umno diterima rakyat.

Penulis yakin orang Melayu masih bergantung harap kepada Umno untuk memperjuangkan hak mereka, orang Melayu masih melihat Umno sebagai benteng mempertahankan Islam dan orang Melayu juga percaya Umno biarpun menjadi tonggak utama dalam BN namun kesejahteraan kaum lain sentiasa terpelihara.

Keyakinan dan kepercayaan yang dinyatakan itu ada dalam kalangan orang Melayu tetapi ini tidak bermakna Umno boleh berasa selesa dengan bergantung dengan nostalgia apatah lagi retorik politik untuk menarik dan mengekalkan sokongan orang Melayu kepada parti itu.

Umno perlu dilihat yakin dan tegas dalam perjuangannya, tidak boleh bersikap apologetik apatah lagi mengamalkan politik bak kata, ‘bangga tidak bertempat, seronok tidak tentu hala’. Ini memandangkan senario politik sudah berbeza.

Pemimpin dan ahli Umno tidak boleh bergantung segala-galanya kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memastikan Umno terus mendapat kepercayaan rakyat.

Kita harus akui, melalui dasar dan langkah yang dilakukan oleh kerajaan melalui gandingan dua pemimpin itu ia mampu memberikan manfaat politik yang besar kepada Umno dan BN. Tetapi malangnya, ada ketikanya atau mungkin seringkali juga berlaku, harapan kedua-dua pemimpin itu tidak sampai ke akar umbi bagi membolehkan rakyat yakin dengan Umno dan BN.

Sebaliknya sehingga ke hari ini, masih ramai pemimpin dan ahli Umno di peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri bertelagah sesama sendiri. Perbuatan berebut jawatan dan bertelagah sesama sendiri masih wujud sehingga melemahkan Umno dalam pilihan raya.

Dalam bahasa mudahnya, masih ramai pemimpin dan ahli Umno yang ‘tidak sedar diri’ dengan mengamalkan perbuatan yang boleh menimbulkan perasaan muak rakyat kepada parti itu, biarpun mereka amat memahami ketelusan dan keikhlasan kerajaan yang dipimpin oleh Najib dalam membela nasib orang Melayu dan umat Islam.

Bagaimanapun, sama ada Umno akan terus kukuh dan unggul seperti mana dihasratkan oleh Najib, bergantung kepada sejauh manakah pemimpin dan ahli Umno bersedia bermuhasabah dan melakukan pembaharuan demi memastikan parti itu terus relevan pada setiap zaman.

Umno harus mengakui cabaran politik terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) cukup getir. Atas sebab itulah mereka harus membuat persediaan dari sekarang untuk meranapkan impian pakatan pembangkang menawan Putrajaya.

Salah satunya memastikan tiada konflik dalaman yang kita harus akui sering menjadi ‘duri dalam daging’ kepada usaha Umno.

Selain itu, demi survival politik Umno juga, parti itu harus memperkukuhkan lagi usaha menarik sokongan orang Melayu dan bukannya dilihat parti yang semakin meminggirkan mereka biarpun mengetahui orang Melayulah yang menjadi faktor kemenangan Umno dalam pilihan raya.

Meneruskan dasar memperjuangkan hak orang Melayu tanpa rasa apologetik mampu menyakinkan orang Melayu Umno sejak dulu, kini dan selamanya masih tidak berubah iaitu mendahulukan bangsa, agama dan negara.

Semoga ulang tahun ke-68 ini akan dijadikan momentum terbaik kepada Umno di semua peringkat memperkukuhkan parti kerana Umno sama sekali tidak boleh berada dalam kedudukan PAS yang diibaratkan seperti ‘lebai malang, menang sorak kampung tergadai’.

Oleh itu, Umno terus kekal menjadi tonggak perjuangan dan payung orang Melayu biarpun ia mungkin akan menyebabkan ada pihak yang tidak selesa. Tetapi pihak yang bersikap demikian perlu menerima hakikat apabila Umno kuat dan kukuh semua kaum merasai nikmatnya, tidak seperti pakatan pembangkang, apabila ada parti di dalam pakatan itu berasa kuat dan memerintah sesebuah negeri, ada kaum berasa dipinggirkan. – utusan.com.my, 10 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments